Peminat Perpustakaan

Sunday, July 27, 2008

Laporan (Lewat) Bergambar Bual Bicara Bersama Dr. Danial Zainal Abidin

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Saya mohon maaf bagi pihak DNaZ kerana mengambil masa yang amat lama untuk memasukkan laporan berkenaan program pra-pameran Mukjizat al-Quran 2007 ini iaitu Bual Bicara Bersama Dr. Danial Zainal Abidin. Memanglah program ini telah pun berlangsung pada bulan November tahun lepas. Sepatutnya laporan ini telah lama ada tapi disebabkan saya tidak dapat mencari fail gambar-gambar yang diambil semasa program dan beberapa hal lain yang menyusul menyebabkan saya terabai sedikit. Harap maaf ya.

Program tersebut mendapat sambutan yang amat membanggakan. Kami hanya menyediakan tempat untuk 150 peserta sahaja kerana menjangkakan program Bual Bicara kebiasaannya kurang sambutan. Tapi, alhamdulillah, sambutan di luar jangka hingga melimpah ke luar dewan dan khabarnya ada yang terpaksa duduk di atas lantai. Dengar-dengarnya, semua yang hadir berpuas-hati dengan penyampaian Dr Danial (orang lama dalam bidang ini - ilmu pun banyak).

Bolehlah lihat gambar-gambar yang saya sempat rakam pada hari tersebut. Silakan...


Tarikh: 3 November 2007
Tempat: Dewan Seminar Dar Nur al-Zahra'
Peserta: Terbuka & Percuma

Dr Danial sedang rancak berbicara mengupas buku terbaru beliau, Quran Saintifik. Lepas ni kita saling bertukar pandangan pula.

Kak Ma dan Dila tak dapat nak mengikuti bual bicara kerana bertugas di kaunter. Saya pun hanya jadi tukang ambil gambar dan melayan kerenah pengunjung yang ramai.


Para peserta mendaftarkan diri di luar Dewan Seminar. Harap maaf ya, kemungkinan tak ada jamuan pada hari ini. Kami betul-betul kering semasa program dibuat.


Ramai orang muda yang datang mendengar bual bicara. Baguslah! Semoga ilmu yang diperolehi akan dikongsi pula dengan rakan-rakan yang tidak dapat hadir. Terima kasih datang ya.


Suasana di awal program bermula. Khusyuk mendengar dan dewan pun masih belum padat lagi.

Tetamu jemputan yang bersemangat membicarakan tentang tulisan beliau. Terima kasih Dr kerana sudi menerima jemputan kami walaupun tak seberapa.


Muslimin yang agak ramai pada hari itu. Jarang dapat melihat penyertaan yang ramai dari kaum Adam. Bersyukur sangat.


Kaum Hawa, seperti biasa akan melebihi kaum Adam di dalam kebanyakan program ilmu yang kami anjurkan.


Akhirnya sesi soal-jawab yang begitu mendapat sambutan. Program yang patut tamat dalam masa 2 jam akhirnya mencecah 3 jam. Tak apalah sebab kami tuan rumah. Insya-Allah kami akan buat lagi program ilmu sebegini.

Wednesday, July 23, 2008

Konvensyen dan Karnival Halal Kelantan 2008

Nampaknya tahun ni KKHK datang lagi. Tahun lepas, Maribaca membuka gerai jualan, tapi tahun ini mungkin tidak kot sebab saya baru saja selesai peperiksaan akhir Sem Mei di OUM. Kalau ikut hati tu memang semua program besar yang membuka peluang bisnes ni nak disertai tapi kudrat kami di Maribaca cuma 2 orang, manalah mampu.

Tapi saya pasti akan turut serta dalam beberapa aktiviti yang telah dirancang.

Kalau nak melihat maklumat lanjut silalah ke laman khas KKHK ini di: http://halalkelantan.com.my/

Selamat memeriahkan majlis!

Bagaimana Perpustakaan Memainkan Peranan?

Buku-buku di perpustakaan pula, istimewa perpustakaan awam, harus divariasikan.

Perpustakaan mesti menjadi medan ilmu untuk semua golongan masyarakat, bukannya untuk mereka yang ingin membereskan tugasan pelajaran sahaja.

Sudut membaca untuk kanak-kanak sayogia dizahirkan seiringan kewujudan ruang untuk para remaja dan dewasa.

Pemvariasian buku ini penting kerana para remaja sekarang lebih condong kepada genre novel dan bacaan ringan lain seperti komik sedangkan mereka sepatutnya sudah didedahkan secara asas dengan genre berat seperti keagamaan, politik, sosial, mahu pun genre umum.

Selain perpustakaan awam, perpustakaan bergerak juga mesti diberi perhatian.

Lebih banyak perpustakaan bergerak perlu diwujudkan dan perpustakaan ini juga perlu memperluas skopnya ke semua sekolah, bukannya hanya di sesetengan sekolah seperti yang berlaku sekarang.

Sekolah pula, konsep yang sama seperti perpustakaan bergerak ini boleh diwujudkan iaitu konsep perpustakaan berselerak.

Oleh itu, perpustakaan mini boleh ditemui di mana-mana dalam kawasan sekolah.

Pelajar dapat membaca buku dengan mudah tanpa perlu bersesak-sesak di perpustakaan sekolah.

Sedutan: Wikipedia

Tuesday, July 22, 2008

Kempen Membaca dan Pesta Buku Kelantan

Kempen Membaca 2008

Entah berapa kali sejak awal bulan ini saya melayari internet untuk mencari bahan berkenaan Kempen Membaca 2008 tapi sehingga ke saat saya menaip inipun masih tiada maklumat yang jelas tentang perkara ini.

Saya mencari kata kunci berikut,

kempen membaca (2008), bulan membaca (2008), reading month in Malaysia, galakan membaca

dan sebagainya yang mempunyai perkataan 'membaca' di dalamnya. Semuanya menghampakan.

Apa sebenarnya telah berlaku kepada usaha murni ini? Adakah tahun ini sudah diadakan lagi sambutan ini? Saya cuba ke laman Perpustakaan Negara Malaysia, tapi, itulah, tidak ada pun sebarang berita atau artikel.

Yang saya jumpa ialah laman ini dari Wikipedia, Dilema Budaya Membaca Masyarakat Malaysia. Cuba klik untuk lihat apa yang ditulis. Berikut ialah sedikit sedutan yang saya ambil dari laman tersebut.

"Isu tabiat membaca di kalangan masyarakat Malaysia sentiasa hangat. Laporan Tabiat Membaca yang dibuat oleh UNESCO untuk sesi cerapan 1999 menunjukkan rakyat Malaysia membaca dua buah buku setahun; berbanding hanya dua muka surat dalam laporannya untuk sesi cerapan 1996. Walaupun terdapat peningkatan minat membaca yang agak tinggi, nilai ini masih rendah berbanding negara-negara maju. Pihak kerajaan amat bimbang akan situasi ini dan sememangnya kebimbangan ini relevan kerana hanya dengan masyarakat yang berilmu sahaja, negara dapat maju dan gemilang. atas dasar itu, beberapa tindakan yang positif dan konkrit perlu dilaksanakan segera untuk membendung fenomena tidak sihat ini."

Menarik sangat untuk kita hayati apa yang ditulis di dalam laman Wikipedia itu. Adakah perkara ini dipandang penting oleh setiap kita yang boleh membaca ini? Entah mengapa, masyarakat kita terutama orang Melayu amat lemah minat membacanya. Saya tidak melihat di tempat lain, tetapi di perpustakaan ini sendiri. Saya gembira kerana kami sudah mempunyai ramai pengunjung tetap yang datang terutamanya untuk membaca akhbar dan buku-buku terbaru. Akan tetapi, jumlah paling ramai ialah pelajar sekolah menengah yang secara jujurnya hanya datang apabila musim peperiksaan sudah dekat seperti sekarang ini.

Buku yang mereka baca boleh dikatakan hanyalah fokus kepada buku-buku teks dan rujukan peperiksaan (almaklum peperiksaan sudah dekat). Amat jarang saya nampak remaja sekolah datang untuk membaca buku-buku lain yang agak banyak pilihannya. Banyak buku yang menarik dan sesuai untuk mereka di sini, tapi mereka mungkin tidak berminat.

Saya sedang memikirkan cara-cara yang mungkin akan menarik minat mereka untuk gemarkan buku. Anda ada cadangan? Silalah bantu kami jika ada sebarang cadangan yang sesuai.

Pesta Buku Kelantan (PBK)

(Pesta Buku Antarabangsa KL 2008)


Sedih sekali, tahun ini saya tidak berkesempatan untuk berkunjung ke Pesta Buku Kelantan yang diadakan di Balai Islam Lundang selama 6 hari iaitu dari 14 hingga 20 Julai (telah pun selesai dua hari lepas). Oleh kerana tarikh tersebut bertembung dengan tarikh peperiksaan Sem Mei saya di OUM maka saya langsung tidak ambil pusing akan hal-hal lain. Dalam hati memang terasa sangat hendak ke PBK tetapi masa cukup mencemburui saya. Terkilan sungguh!

Sebenarnya setiap tahun saya mesti ke PBK sama ada menjadi peserta atau pun membeli buku. Saya pun tidak tahu bagaimana sambutan masyarakat Kelantan terhadap PBK tahun ini. Mungkin kurang sambutannya kerana orang ramai mula nak berjimat akibat kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Entahlah...

Sunday, July 6, 2008

Apa Yang Baru di Zahra' Bulan Ini?


KEMBARA ATIQ WAZIF - SATU ANUGERAH

Berkejar Dengan Masa Demi Seorang Anak Istimewa

Buku ini merupakan catatan pengalaman seorang ayah dalam membesarkan seorang anak istimewa bernama Atiq Wazif. Penulisnya, Hasan Suyut, seorang jurutera dan ahli korporat, merakam ketabahan anak kecilnya menanggung kesakitan dan kesengsaraan, ketekunan dan keberanian mengharungi rawatan yang menyakitkan sejak usia si anak masih bayi hingga sekarang, 8 tahun.

Walaupun pakar perubatan telah mengatakan, “Jangan mengharap sangat dari anak ini, dia tidak akan membesar secara normal,” penulis sebagai ayah, tidak pernah patah semangat.

Berkejar dengan masa dalam ikhtiar memulihkan anaknya, penulis membawa keluarganya merentas benua – ke Beijing di Negeri China, ke Timur Tengah, dan seterusnya ke Amerika Syarikat. Hasan bersama isteri dan lima anak mereka kini bermastautin di Florida, AS, meninggalkan sanak-saudara dan kerjaya dalam syarikat yang sedang meningkat naik. Isterinya Dora yang merupakan seorang pendidik cemerlang, sanggup mengambil cuti demi anak yang dikasihi.

Penulis menyulam penulisannya dengan kisah suka-duka yang mewarnai hubungan kekeluargaan dan cerita cinta suami isteri. Dari seorang bapa dan suami yang terlalu sibuk dengan kerjaya hingga kurang memberi perhatian kepada keluarga, kehadiran Wazif benar-benar memberi sinar baru dalam kehidupan penulis sekeluarga.

Kelahiran Wazif memang dirasakan sebagai satu anugerah daripada Allah. “Abang ingat tak masa Wa mengandungkan Wazif dulu, banyak benda-benda pelik berlaku. Mungkin Allah nak beri isyarat pada kita supaya kita bersedia untuk menerima anugerah ini,” kata si isteri pada satu ketika. Kata-kata ini cukup memberi bekas di hati penulis dan menjadi ‘turning point’ yang merubah kehidupan mereka sekeluarga.

Gaya penulisan buku ini, seperti kata Hj. Abu Hassan Morad (pemenang Anugerah Sastera Perdana 2002) yang tercatat di kulit belakang buku, “Cukup mengesankan…. menepati konsep Drama in Real Life!”

Penceritaannya sangat terperinci, mirip gaya novel. Latar masa, latar tempat, perlukisan watak dan setiap patah dialog, begitu segar. Kisah alam mistik perubatan Melayu turut melatari anekdot tangisan dalam tawa, suka dalam duka, susah dan senang yang diharungi oleh penulis sekeluarga…

Konflik mempunyai anak istimewa, konflik rumah tangga dan babak-babak mencemaskan yang diceritakan semula dengan begitu baik, menjadikan buku ini penuh elemen dramatik. Tidak hairanlah seorang pengarah program pendidikan khas di Florida, AS memberitahu penulis, “You can make a movie out of this!”

Menariknya, di bahagian kedua buku ini disertakan Bacaan Bonus, di mana penulis berkongsi segala yang dilalui dan segala yang dipelajari melalui beberapa penulisan yang ditemuinya sepanjang menelusuri kembara anaknya Wazif. Juga berdasarkan pengalaman bertemu beberapa insan yang memberikan impak besar dalam kehidupan seharian mereka sekeluarga.

Ada beberapa penulisan di dalam bahagian ini yang penulis yakin akan memberi manfaat yang besar kepada ramai ibu bapa.

Siapa tahu, kisah Hasan dan anaknya ini akan difilemkan satu hari nanti… Dalam emelnya kepada editor buku ini, Hasan menyatakan keyakinannya, jika buku ini difilemkan dan watak dirinya dimainkan oleh Denzel Washington, filem itu mungkin akan menjadi box-office!

Testimoni

* Buku ini sesuai dan wajib untuk dibaca oleh semua ibu bapa, bukan hanya mereka yang ada anak istimewa sahaja. – Pn. Midah Tairak, Sg Petani

* Buku ini memberikan semangat baru dalam kehidupan kami. – Pn. Zaharah Samad, UIA Gombak

* Diharap buku ini dapat menyemarakkan semangat ibu bapa yang dianugerahi anak-anak istimewa. – Sdr Agus Othman, Kuala Terengganu·

* Saya dah habis baca dua kali. Memang sangat tersentuh dan ada juga terkena batang hidung sendiri… Bacaan wajib untuk sesiapa saja yang ingin tahu bagaimana yang dikatakan kehidupan sebenar. Saya jadikan bahan bacaan wajib untuk staf saya. – Fuad Omar, Johor Bahru·

* Banyak nilai baik yang memberi pengajaran/teladan pada pembaca. Satu lagi saham akhirat yang bermanfaat. – Ahmad Yani A.Manaf, Editor Majalah I.

* Memang menyentuh perasaan bila membaca helai demi helai. – Iskandar (Dr.Bubbles), Kuala Lumpur

* Cara penceritaannya membawa kita rasa dekat dan seolah-olah ada bersama dalam setiap detik yang diceritakan. Buku ini bukan sekadar catatan pengalaman, tapi juga ada motivasi, ada panduan, ada unsur sedih dan hiba… kelakar pun ada. – Mohd Rusdi Abdullah, kolumnis majalah ANIS

Penulis: Hassan Suyut* ISBN: 978-983-097-190-2. * Tebal: 277 ms *
Harga: SM – RM 24.50 / SS – RM 26.50

===========================================================

SIRI SYAITAN MUSUH KITA

X-Files Syaitan Dibongkar!

Buku ini memaparkan fakta dan riwayat hidup makhluk terlaknat yang telah diberi ‘lesen besar’ untuk menyesatkan manusia sejak zaman Nabi Adam a.s. hingga hari kiamat, iaitu syaitan.

Menariknya buku ini, bukan saja gaya penulisannya begitu santai, malah keseluruhan buku dihiasi ilustrasi yang memikat dan gambar foto yang relevan. Sepenuhnya dalam warna-warni, dengan jenis kertas yang berkualiti. Inilah satu-satunya buku yang membongkar rahsia kehidupan syaitan yang dipersembahkan dengan lakaran karikatur-karikatur dan ilustrasi yang menarik (tentunya karikatur syaitan berdasarkan imaginasi pelukis semata-mata).

Melihat pada senarai bahan-bahan rujukannya, buku ini mengandungi fakta, maklumat dan tip-tip dari sumber-sumber yang autentik. Ini bermakna, fakta-fakta yang dimuatkan adalah ilmiah dan boleh dipertanggungjawabkan. Salah satu sumber rujukannya adalah tulisan-tulisan Dato’ Dr. Amran Kasimin, seorang penulis yang cukup dikenali dengan tulisannya berkisar tentang alam jin dan syaitan. Dr. Amran telah menulis kata pengantar untuk buku ini, malah turut menyemak dan mentashihkan isi kandungannya. Melalui buku ini, X-files Iblis dan syaitan habis dibongkar.

Antara lain, pembaca akan menemui jawapan kepada persoalan-persoalan ini:·

  • Yang mana Iblis, yang mana syaitan?·

  • Dari mana asal-usul Iblis dan syaitan?·

  • Apa kaitan syaitan dengan jin?·

  • Di mana bertapaknya empayar ‘Iblis Raya’?·

  • Siapa menteri-menteri dalam kabinet Iblis?·

  • Apa habitat kegemaran syaitan?·

  • Adakah syaitan beranak?·

  • Adakah syaitan tidur?·

  • Apa makanan syaitan?·

  • Berapa jangka hayat syaitan? ·

  • Apa kekuatan dan kelemahan syaitan?·

  • Bagaimana modus operandi syaitan untuk menyesatkan manusia?·

  • Apa pintu-pintu laluan syaitan dalam tubuh manusia?

Pembaca diajak agar jangan takut kepada Iblis dan syaitan, namun jangan pula terlalu berani. Kisah-kisah para nabi dan orang soleh berdepan dengan syaitan, serta tip-tip yang diturunkan, memberi kekuatan tambahan kepada buku ini.


Penyusun: Zakaria Sungib / Hj Badrul Hisham * ISBN: 978-983-097-181-0. * Tebal: 120 ms
Harga: SM – RM21.90 / SS – RM23.90

==========================================


Boleh dibaca di perpustakaan atau boleh juga dibeli di sini untuk koleksi peribadi.

Tuesday, July 1, 2008

Makan tengah hari di Restoran Rasamas, KB Mall

Sebagaimana yang telah dijanjikan, tengah hari tadi kami telah ke Rasamas untuk menjamu selera. Sedap... tapi semuanya tersadai kekenyangan selepas menghabiskan sepinggan hidangan nasi dengan ayam panggang. Tapi semuanya seronok dapat makan percuma dan makanan sedap.

Ayuni dan K.Ma. Ayuni senyap saja makan... K.Ma orang paling lambat siap. Air strawberry (tak nampak dalam ni yang nampak tu air cola Dila dan bandung-cincau K.Chik) pun banyak lagi tu.

Dila dan Siti. Dua-dua kena bersila sebab tak larat nak habiskan makanan. Akhirnya kami pek bawa balik. Tapi syukurlah sebab semua suka hidangan kat Rasamas tu. Lain kali boleh pergi dengan keluarga.

Semalam K.Chik dah pergi cuba makanan kat Rasamas tu.

Latihan mereka bakal berakhir esok...

Setiap kali hendak menulis dalam blog ini memang saya perlu berfikir panjang. Bukan apa, bukan mudah untuk menjadikan apa yang bermain-main di minda ke dalam bentuk tulisan yang seronok dibaca bukan hanya diri sendiri malah mungkin orang yang berkunjung ke sini.

Baiklah, saya tuliskan saja mengikut apa yang terlintas di fikiran ketika ini. Perpustakaan kami, Dar Nur al-Zahra' ini sebenarnya sudah biasa menerima pelajar-pelajar universiti dan kolej untuk menjalani latihan praktikal mereka. Semasa saya di universiti dulu, latihan saya dipanggil latihan industri yang memakan masa 6 bulan ataupun separuh semester. Tapi hari ini, pelajar universiti/kolej hanya menjalani latihan yang hampir serupa selama dua bulan sahaja. Saya tidak pasti pula sama ada mereka akan menjalani latihan praktikal yang lain selepas ini.

Hampir setiap tahun ada saja pelajar yang ingin menjalani latihan praktikal mereka di sini. Begitu juga tahun ini. Kami menerima 9 permohonan dari para pelajar yang sedang belajar di tiga buah universiti iaitu dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sains Malaysia dan dari Universiti Teknologi Malaysia (UiTM). Permohonan paling banyak adalah dari USIM. Kami sebenarnya bersetuju untuk menerima empat orang pelatih tapi akhirnya hanya dua orang yang datang iaitu Siti dan Ayuni dari USIM.

Kedatangan dua pelatih ini sedikit sebanyak telah membantu pihak kami di dalam urusan pengkatalogan buku dan perkhidmatan pelanggan di kaunter. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dan berterima kasih kerana sepanjang dua bulan mereka di sini, mereka telah menyelesaikan tugas mengkatalog kitab-kitab berbahasa Arab yang telah tertangguh beberapa bulan kerana perletakan jawatan pegawai perpustakaan bahagian tersebut. Mereka juga telah menjadi sebahagian dari kami yang bekerja untuk memajukan Dar Nur al-Zahra'. Terima kasih. Syukran.

Hari ini merupakan hari kedua terakhir bagi mereka berdua di perpustakaan kami. Sebagai tanda terima kasih kami kepada mereka, saya bagi pihak Datuk Pengerusi dan Dato' Pengarah bercadang membawa mereka makan tengah hari di Restoran Hayaki atau Four Seasons. (Kakitangan yang lain juga dijemput bersama).

Kepada USIM kami ucapkan terima kasih kerana menghantar wakil untuk melihat perkembangan pelatih-pelatih mereka. Sebagai tuan rumah, kami amat menghargai kerjasama dari pihak universiti/kolej untuk memantau pelajar mereka.

Kami mendoakan agar pengalaman dan latihan yang mereka perolehi di sini akan membantu mereka di masa hadapan kelak. Walaupun pengalaman menjalani latihan di perpustakaan kami mungkin jauh berbeza dengan tempat lain kerana kelainan sistem pengurusan dan perkhidmatan di Dar Nur al-Zahra', kami berharap mereka mendapat serba sedikit gambaran alam pekerjaan di bidang perpustakaan dan pengurusan maklumat. Selain itu, pendedahan kepada pelbagai buku dan kitab yang bagus dan menarik diharapkan akan menjadikan Siti dan Ayuni pelajar-pelajar yang sentiasa mencintai ilmu.

Terima kasih adik-adik kerana membantu kami sepanjang menjalani latihan di sini. Jangan serik untuk berkunjung ke sini lagi walaupun bukan sebagai pelatih tetapi datanglah sebagai kenalan dan rakan kami.

Di kesempatan ini juga, saya mewakili seluruh kakitangan Dar Nur al-Zahra' ingin memohon berbanyak-banyak maaf sekiranya sepanjang adik-adik di sini ada berlaku terkasar bahasa, terkurang bantuan di sana sini atau layanan yang tidak memuaskan hati. Kami berharap segala apa yang diperolehi, dilalui, dialami, dikenali mahupun dirasai sepanjang adik-adik di sini akan kekal di sudut hati adik-adik. Mana yang baik dibuat panduan, yang buruk dijadikan sempadan. Itulah kami di Dar Nur al-Zahra' ini.

Dari:
Kak Chik, Kak Mar, Kak Dila, Pokcik Mat, Pokcik Aziz dan Mokcik.