Peminat Perpustakaan

Sunday, July 18, 2010

Menaikkan motivasi

Kirim buku melalui pos

Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ

2010/07/11

JIKA dilihat dari luar, kedai buku ini kelihatan sama seperti kedai buku lain. Namun apabila kaki mula melangkah masuk ke dalam Q'reazant Enterprise di Bandar Baru Bangi, Selangor, hati seakan-akan teruja melihat dekorasi dan susun aturnya.

SANTAI...ruangmembaca disediakan bagi kanak-kanak.
SANTAI...ruang membaca disediakan bagi kanak-kanak.


Rak buku berkenaan pula dicat dengan pelbagai warna yang menimbulkan suasana ceria dan tenang, sekali gus menepis stigma negatif mengenai kedai buku.

Premis yang menawarkan perkhidmatan pinjaman buku itu bagaikan mini perpustakaan bagi individu yang gemar menjadikan buku sebagai teman dan tempat mencari bahan bacaan.

Bagi pemiliknya, Raja Nazatul Akhma Raja Fuaddin, 28, idea membuka kedai ini tercetus apabila melihat koleksi bukunya semakin banyak dan ruang di rumahnya semakin terhad untuk menempatkan bahan bacaan itu.

Katanya, sejak kecil dia dan adik-beradiknya yang lain diterapkan dengan minat membaca oleh ibu bapa dan hampir setiap bulan pasti ada bahan bacaan baru dibelinya.
"Lama-kelamaan buku semakin banyak dan menimbun sehingga rak buku tidak lagi mampu menampungnya.

"Daripada terperuk 'dihiasi' habuk, saya terfikir ada baiknya jika buku itu dikongsi dengan orang lain dan dari situ tercetus untuk idea untuk membuka kedai ini," katanya yang menjalankan perniagaan bersama adiknya, Raja Ezatul Akhma, 24.

Pada mulanya dia hanya menjalankan servis itu daripada rumahnya, namun apabila jumlah pelanggannya semakin bertambah dia mula berfikir untuk mencari ruang lebih besar dan selesa.

Katanya, sehingga kini dia memiliki hampir 4,000 jenis buku yang merangkumi pelbagai jenis, genre dan bahasa yang mengikut selera pembaca.

Tambahnya, plabagai bahan bacaan, daripada ilmiah hinggalah ringan seperti komik dan majalah boleh didapati di Q'reazant.

Dia berkata, harga kebanyakan buku, terutama yang ditulis oleh penulis antarabangsa, lebih mahal berbanding buku tempatan.

"Sesetengah pembaca kurang berkemampuan mendapatkan bahan bacaan terbabit serta berasakan mungkin tidak berbaloi mengeluarkan belanja besar untuk sebuah buku yang dibaca hanya sekali.
"Justeru, di Q'reazant kami menawarkan pelbagai buku hasil tulisan penulis antarabangsa, termasuk yang menjadi kegemaran pembaca di luar negara," katanya.

Raja Nazatul berkata, setiap bahan bacaan yang ditempatkan di premisnya mendapat permintaan tertinggi pembaca di negara ini.

"Lazimnya setiap dua bulan sekali kami membeli bahan bacaan terbaru sama ada melalui syarikat penerbitan mahupun ketika pameran buku berskala besar.

"Kami hanya memilih bahan bacaan yang menduduki tangga teratas dalam senarai kedai buku terkemuka di negara ini bagi memenuhi cita rasa dan selera pembaca," katanya yang mempunyai memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran), Universiti Putra Malaysia.

Tambahnya, setiap kali 'memborong' buku, dia akan memperuntukkan hampir RM6,000 untuk mendapatkan bahan bacaan yang benar-benar berkualiti.

Sementara itu, Raja Ezatul menolak persepsi masyarakat yang sering melabelkan seseorang yang menggemari buku sebagai ulat buku dan kurang bersosial dengan masyarakat luar.

"Jika dilihat di negara Barat, membaca menjadi budaya mereka, malah kita boleh melihat di mana-mana saja mereka akan membaca jika ada waktu terluang.

"Cuma di negara ini, minat membaca di kalangan masyarakat masih rendah dan dan secara tidak langsung mengundang pandangan skeptikal sesetengah masyarakat kepada individu (gemarkan buku) berkenaan," katanya.

Sejak kedainya beroperasi tiga tahun lalu, sambutan diterima memuaskan dan kebanyakan pelanggannya adalah golongan perempuan berusia 20 hingga 30 tahun.

Lebih menarik, Q'reazant turut menawarkan servis pinjaman buku secara dalam talian dan pelanggan boleh membuat pilihan buku melalui laman webnya.

Katanya, pembaca boleh melanggan pakej disediakan dengan bayaran tertentu secara bulanan dan buku yang dipesan akan dikirim kepada pembaca dengan menggunakan perkhidmatan Pos Laju.

"Bayaran dikenakan termasuk kos penghantaran. Kami menjalin kerjasama dengan Pos Malaysia bagi memudahkan proses penghantaran buku yang dipesan.

"Apabila pelanggan mahu memulangkan semula buku, mereka hanya perlu memaklumkan kepada kami dan anggota Pos Malaysia akan terus ke rumah mereka untuk mengambil buku itu. Cukup mudah," katanya.

Bagi pinjaman dalam talian, tiada tempoh masa pinjaman ditetapkan, sebaliknya mereka perlu membayar yuran pinjaman setiap bulan.

Raja Ezatul berkata, bagi pembaca yang meminjam terus daripada kedai, mereka perlu membayar deposit dan sewa bagi setiap buku dipinjam.

"Apabila mereka (pelanggan) memulangkan buku, kami akan mengembalikan semula wang deposit. Had tempoh pinjaman sebuah buku adalah 30 hari. Setiap kelewatan dikenakan caj RM0.50 sehari," katanya.

Selain itu, Q'reazant mengadakan bengkel membina kemahiran komunikasi dan sains untuk kanak-kanak yang berusia empat hingga enam tahun pada Sabtu minggu pertama dan ketiga setiap bulan.

Katanya, mereka juga mengadakan kelas tuisyen berskala kecil bagi murid sekolah rendah untuk mata pelajaran Matematik, Sains dan bahasa Jepun.



>INFO
> Ditubuhkan sejak 2007 dan terletak di Bandar Baru Bangi
> Memiliki lebih 4,000 jenis buku pelbagai genre dan bahasa
> Pembaca boleh membuat pinjaman secara terus atau menerusi dalam talian (on-line)
> Tempoh pinjaman yang dibuat di kedai adalah 30 hari
> Bagi pembaca yang membuat pinjaman menerusi on-line, tiada had masa ditetapkan
> Untuk keterangan lanjut sila layari www.qreazant.com atau www.facebook.com/qreazant


>PROFIL
NAMA: Raja Nazatul Akhma Raja Fuaddin
UMUR: 28 tahun
ASAL: Bangi, Selangor
ADIK-BERADIK: Kedua daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Kejuruteraan (Rekabentuk Industri), Universiti Takushoku, Jepun dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran), Universiti Putra Malaysia

>PROFIL
NAMA: Raja Ezatul Akhma Raja Fuaddin
UMUR: 24 tahun
ASAL: Bangi, Selangor
ADIK-BERADIK: Bongsu daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Perniagaan (Sumber Manusia), Universiti LaTrobe, Australia