Peminat Perpustakaan

Sunday, July 1, 2012

Blog Sedang Dinaiktaraf

BISMILLAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Sedikit makluman kepada para tetamu dan juga 'followers' blog ini, kami sedang berusaha untuk menaik-taraf blog ini kepada blog yang lebih bagus.

Harap bersabar kerana ia mungkin akan mengambil masa.

Sementara itu, anda semua dijemput ke Page kami di Facebook iaitu : 



Terima kasih kerana sokongan anda.


Pn. Nor Haniza
Pengurus.

Monday, February 13, 2012

Berita-Berita Gembira di Dar Nur al-Zahra'

Assalamualaikum dan salam mesra.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana izinNya Perpustakaan ini semakin berkembang maju pada tahun ini. Semuanya berkat kerjasama di kalangan kakitangan yang menggerakkannya dan pastinya sokongan daripada para pengunjung yang tidak putus minat untuk terus memanfaatkan perpustakaan ini. InsyaAllah dengan memakmurkannya kita akan sama-sama mendapat kebaikan darinya.

Pada hari ini saya sekadar mahu membuat sedikit perkongsian untuk beberapa berita gembira yang telah berlaku baru-baru ini. Antara lainnya ialah mengenai projek naik-taraf kemudahan di perpustakaan, lawatan, temuramah dan kebajikan kakitangan kami. Rasanya beberapa perkara yang telah berlaku ini akan menguatkan lagi usaha kami untuk memakmurkan perpustakaan dan menyuburkan budaya membaca di kalangan masyarakat kita.

Perubahan di Sudut Kanak-Kanak

Pada tahun ini mesyuarat pengurusan telah meluluskan bajet untuk mengecat semula Sudut Kanak-Kanak dengan warna-warna ceria, memasang rak buku jimat bajet menggunakan takung air hujan dan membeli perabut baru yang sesuai untuk kanak-kanak agar sudut itu menjadi ruang yang sangat kondusif untuk mereka membaca, berkreatif dan berkongsi ilmu. Antara yang telah berjaya diubah ialah,

Satu bahagian dinding dicat hijau dan rak buku lama disusun semula
dengan susunan baru.
Dinding bertentangan pula dicat warna peach dan dipasang
rak buku jimat bajet.

Kami masih mencari perabot dan kelengkapan yang sesuai dan jimat bajet untuk diletakkan di sudut ini. InsyaAllah impian ini akan tercapai dalam masa yang terdekat.

Penyediaan Kerusi Rehat di Halaman

Kami amat prihatin dengan keperluan para pengunjung kami terutama mereka yang tidak sempat makan di rumah atau di mana-mana lokasi yang mereka datang. Perpustakaan kami hanya membenarkan air mineral dan makanan ringan yang kering untuk dimakan di dalam bangunan manakala nasi bungkus atau seumpamanya tidak dibenarkan sama sekali. Tujuannya ialah untuk mengelakkan adanya bau yang tidak enak dari sampah yang terkumpul, kekotoran yang mengundang semut, tikus dan lipas serta menyusahkan pembantu am kami mencuci terutama di bahagian yang berkarpet.

Oleh itu pada bulan ini kami telah menyediakan dua set kerusi rehat yang diletakkan di tempat yang strategik di halaman perpustakaan kami. Semoga kemudahan ini akan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para pengunjung sama ada untuk makan atau sekadar berehat-rehat.

Set yang ini diletakkan di hadapan pintu bangunan pentadbiran.

Set yang ini pula betul-betul di depan pintu utama.

Lawatan dan Temuramah

Seperti tahun-tahun lepas, kami mula menerima tetamu dalam kumpulan yang ramai. Hari Sabtu lepas sekumpulan remaja dan belia dari persatuan Belia Rakan Masjid Mukim Paya Rambai, Kota Bharu telah mengadakan lawatan sambil belajar selama dua jam di perpustakaan kami. Alhamdulillah, kami sangat gembira menerima kehadiran mereka bersama dua orang pengiring. Satu usaha yang perlu dipuji kerana bukan ramai yang berminat untuk melawat sebuah perpustakaan. Pada kami ini menunjukkan anak muda zaman ini mula kembali mendekati institusi ilmu.

Semua ahli rombongan serta pengiring bergambar bersama-sama.

Tetamu perempuan bergambar pula dengan kakitangan perempuan perpustakaan.

Inilah cenderahati yang dihadiahkan oleh pihak rombongan.
Terima kasih banyak ya.

Keesokan harinya sekumpulan pelajar dari UiTM telah datang untuk membuat kaji-selidik tentang sistem pengurusan perpustakaan kami. Bagi pihak perpustakaan, saya telah meluangkan masa selama sejam untuk membantu mereka. Agaknya mereka agak pelik kerana terlalu banyak perbezaan antara sistem pengurusan kami berbanding perpustakaan awam yang lain. Apapun, kami doakan projek mereka berjaya.

Para pelajar UiTM Machang selepas selesai temuramah.

Fanpage di Facebook

Syukur alhamdulillah bermula pada hari ini, perpustakaan kami telah pun mempunyai 'page' sendiri di facebook. Sesuai dengan perkembangan zaman yang menggunakan media sosial, maka kami juga turut menyertai arus ini agar maklumat tentang perpustakaan kami akan dapat sampai kepada lebih ramai orang di serata tempat. Jika ada yang sudi menjadi 'fans', bolehlah 'like' 'page' kami di pautan di bawah:


Alhamdulillah... itulah sebahagian dari berita-berita gembira yang telah berlaku di perpustakaan kami sejak Jan hingga ke hari ini. Semoga Allah terus berkati kami di sini dan menjadikan impian kami untuk menjadikan perpustakaan ini tempat kesukaan ramai satu kenyataan. Amin.

Sunday, January 22, 2012