Peminat Perpustakaan

Wednesday, April 22, 2009

Buku Adab Nusus dan Balaghah

Bismillahirrahmanirrahim dan Assalamualaikum kepada semua yang sudi berkunjung ke blog Dar Nur al-Zahra'. Semoga anda semua sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT. Hari ni nampaknya cuaca di luar sana amat cerah sekali. Terasa hari ni kami akan dapat melaksanakan kerja dengan lebih produktif dan ceria secerah matahari pagi.

Kedengaran para ibu sedang mengalunkan ayat-ayat suci al-Qur'an dari bilik tutorial di sebelah pejabat saya ini. Sungguh merdu sekali. Inilah untungnya pejabat di sebelah bilik yang sering disewa oleh kaum ibu sekitar perpustakaan ini untuk kelas Bahasa Arab dan juga kelas Tajwid pada setiap hari Selasa dan Rabu. Dapatlah saya menadah telinga mendengar kelas mereka berjalan. Itupun kalau pintu pejabat ini dibuka sedikit. Jika tidak memang langsung saya tidak dapat mendengarnya.

Saya kagum melihat usaha kaum ibu ini yang kebanyakannya ialah bekas kakitangan kerajaan atau pun swasta yang telah bersara. Tapi ada juga yang semuda 30an turut menyertai kelas tersebut. Saya respek dengan mereka yang sanggup datang semata-mata untuk menguasai bahasa al-Qur'an dan membetulkan bacaan masing-masing. Sayangnya tak pernah sekali pun saya melihat anak-anak muda belia (bawah 30an) yang ingin mencontohi mereka. Mungkin juga kerana kelas mereka diadakan di waktu pagi hari bekerja sebab itu tiada orang muda menyertainya. Wallahu'alam.

Di waktu pagi ni biasanya pengunjung tetap akan datang untuk membaca akhbar di Ruang Keluarga. sudah terlalu biasa dan kenal dengan mereka, kami sempat bertegur-sapa sebentar sebelum saya beredar ke pejabat. Suasana dalam perpustakaan terasa nyaman dan tenang. Agaknya sebab itulah yang datang di waktu pagi ini kebanyakannya orang dewasa. Hendak mencari ketenangan barangkali. Kalau ada bunyi pun datangnya dari suara-suara kami yang sibuk ke sana ke mari membuat kerja masing-masing sambil tegur-menegur. Jangan hairan, perpustakaan ini tidak sesunyi perpustakaan awam yang lain.

Di sebelah petang barulah suasana menjadi agak hangat kerana semakin ramai pengunjung terutama pelajar sekolah dan pelajar kolej yang datang membuat rujukan atau pun mengulangkaji. Di musim ini yang paling ramai mengunjungi kami ialah pelajar sekolah menengan agama yang sibuk mencari buku-buku Adab Nusus dan Balaghah. Saya minta maaf ya, saya sendiri kurang arif tentang buku-buku ini tapi saya tahu buku mana yang mereka cari. Setelah hampir beberapa tahun suasana hiruk-pikuk pelajar agama menyerbu Zahra' untuk buku-buku ini, kami telah membuat keputusan menyediakan rak khusus di bahagian bawah untuk buku-buku ini. Alhamdulillah. Senang. Bila mereka datang lebih mudah kami memantau mereka di sudut tepi. Jangan tak percaya, buku kami telah ada yang dicuri kerana banyak permintaan hingga kami terpaksa membuat beberapa salinan.


Inilah contoh buku yang sering dicari pelajar agama. Buku yang asal terpaksa kami letak di rak Rujukan Khas kerana hampir lunyai dikerjakan para pengunjung. Setiap tahun, itulah yang berlaku.

Sejak dua minggu lepas, hari Sabtu menjadi hari yang paling sibuk terutama di kaunter fotostat, saya rasa ia akan berlarutan hingga ke hujung bulan ini. Selepas itu ia akan tenang kembali. Tapi masih ada pelajar-pelajar yang suka melambat-lambatkan kerja sekolah mereka. Tentu ada yang datang di saat akhir (ada yang sanggup ponteng) untuk membuat rujukan. Adik-adik ini memang kekalutan. Nasib mereka baik kerana kakitangan kami terutama Pn. Dila dan Pakcik Aziz akan sudi membantu.

Buku-buku ini masih belum cukup. Kami hanya ada lebih 20 tajuk sedangkan peminatnya terlalu ramai. Kami amat memerlukan tambahan kepada buku dalam tajuk ini. Jika ada di kalangan pembaca yang ingin bermurah hati menyumbang, terutama yang ada koleksi kitab-kitab Arab, sudilah menyumbang kerana bajet kami untuk membeli buku baru teramatlah kecil.

4 comments:

  1. assalamualaikum.....
    saya ct mariam,nk mntx tlg,
    cube tnjukkan contoh kerja kursus untuk
    tjok hassa basri

    ReplyDelete
  2. salam,nk mtk tlong tnjuk tjuk شعر gak coz sy dah pening surf intrnt tp xjmpe psl tjuk tu?

    ReplyDelete
  3. SALAM,SAYA NK MTAK TLONG TUNJUK TJUK ADAB PSL شعر .... BLEH X???

    ReplyDelete
  4. salam,, bley tlong crikn tntang
    احمد شوقي: اتجاهه في الشعر ومدائحه النبوية
    time kseh.. ^_^

    ReplyDelete

Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.