Peminat Perpustakaan

Monday, March 24, 2008

Melawat Cik Mat di Kampung Sireh


Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang berkunjung ke laman blog Perpustakaan kami.

Kali ini kami cuma nak berkongsi kisah kami melawat rakan sekerja yang sedang bercuti sakit iaitu En. Mohamad (Cik Mat). Semenjak Cik Mat menjalani penbedahan mata, beliau telah diberi cuti sakit yang agak panjang oleh pihak hospital (HUSM) bagi memastikan mata beliau sembuh dengan baik. Kami pun memang berharap agar penglihatan Cik Mat pulih seperti dulu (tanpa selaput). Maka, lebih kurang pukul 11.30 pagi, kami bertolak ke Kg. Sireh iaitu ke rumah ibu mertua Cik Mat yang berhampiran Tesco.

Wah, dah begitu membangun kawasan ini hinggakan sudah ada jalan 4 lorong! Kami rasa inilah satu-satunya jalan seumpama itu di Kota Bharu. Laluan untuk ke rumah Cik Mat betul-betul di tepi simpang utama untuk ke Tesco (berdekatan Jambatan Sultan Yahya Petra) iaitu lorong sebelah kiri.

Mokcik, KakMar dan Dila tersenyum riang semasa menuju ke rumah Cik Mat. Cantiklah tempat ni, masih bersuasana kampung Kelantan asli walaupun di kelilingi pembangunan. Kereta terpaksa di parkir di luar (dekat rumah jiran) kerana lorong ke rumah ibu mertua Cik Mat ini sempit (muat motorsikal saja).


Inilah rumah Mok (ibu mertua Cik Mat). Cantik binaan Melayu Kelantan. Bahagian dalam lagi cantik tapi kami segan nak ambil gambar.


Kedatangan kami telah disambut mesra oleh Cik Mat dan Cik Lah serta Mok yang masih terlantar tapi sudah boleh duduk tanpa bantuan. Tengok Cik Mat dengan cermin mata hitam tu. Mestilah kena jaga mata... Rehat cukup-cukup ya Cik Mat. Jangan paksa sangat mata tu masa baca Quran dan suratkhabar. Katanya Cik Mat dah boleh membaca dengan baik. Mata beliau lebih terang daripada dulu. Alhamdulillah.

Selepas hampir 2 jam, kami bertolak balik ke perpustakaan lebih kurang jam 1.10 petang. Doa kami agar Cik Mat pulih sebaiknya. Kami tunggu Cik Mat kembali bekerja seperti biasa.

Thursday, March 13, 2008

Pesta Buku Antarabangsa KL 2008

Tarikh: 4 - 13 April 2008

Tempat: PWTC

Masa:

Isnin - Khamis (10.00 pagi - 7.00 malam)

Jumaat - Ahad (10.00 pagi - 9.00 malam)

MASUK PERCUMA!

Monday, March 3, 2008

Dar Nur al-Zahra' menerima tetamu cilik.

Alhamdulillah, semalam kami telah menerima tetamu dari SRI Al-Anwar, Pulau Melaka. Seramai 19 orang pelajar tahap 1 dan 2 datang berkunjung bersama 3 orang guru pengiring. Nasib mereka baik sebab datang pada hari Ahad dan di waktu pagi kerana biasa hari Ahad pagi, perpustakaan agak lengang.
Saya bercerita dengan murid-murid SRI Al-Anwar menggunakan kaedah 'Read Aloud'. Kanak-kanak memang seronok mendengar cerita sehinggakan masing-masing berebut untuk menjawab setiap soalan yang saya ajukan. Alangkah bagus sekiranya mereka mendapat pendedahan yang berterusan, saya bagi pihak Dar Nur al-Zahra' yakin anak-anak ini akan menjadi orang yang sentiasa gemar membaca.


Para tetamu kami bawa melawat kesemua bahagian di perpustakaan kecuali tingkat atas sekali yang menempatkan dewan dan bilik mesyuarat. Sebagai sebahagian pengisian kunjungan mereka yang memakan masa hampir 2 jam, kami telah menyediakan 2 aktiviti iaitu 'Read Aloud' dan permainan 'Cari Perkataan'.

Buku yang dibaca untuk adik-adik ini bertajuk, "WILD ABOUT BOOKS" tulisan Judy Sierra yang telah menerima anugerah E.B. White Read Aloud Award daripada "Association of Booksellers for Children" yang berpengkalan di Amerika Syarikat.

Walaupun buku ini di dalam bahasa Inggeris, namun, adik-adik berjaya memahami jalan ceritanya bedasarkan gambar yang berwarna-warni.


Bagi yang siap menguji minda, sibuk membeli-belah di kaunter jualan. Terima kasih dik sebab membeli sambil menderma.




Khusyuk mendengar cerita dan mendapat pengalaman menguji minda dan kefahaman cerita dengan bermain 'Cari Perkataan'.

Terima kasih kepada Puan Kamaliah Yusof selaku wakil penyelia SRI Al-Anwar dan semua guru yang turut serta di dalam kunjungan ini. Jangan serik untuk datang lagi! Pintu perpustakaan kami sentiasa terbuka untuk insan yang dahagakan ilmu.