Peminat Perpustakaan

Sunday, July 6, 2008

Apa Yang Baru di Zahra' Bulan Ini?


KEMBARA ATIQ WAZIF - SATU ANUGERAH

Berkejar Dengan Masa Demi Seorang Anak Istimewa

Buku ini merupakan catatan pengalaman seorang ayah dalam membesarkan seorang anak istimewa bernama Atiq Wazif. Penulisnya, Hasan Suyut, seorang jurutera dan ahli korporat, merakam ketabahan anak kecilnya menanggung kesakitan dan kesengsaraan, ketekunan dan keberanian mengharungi rawatan yang menyakitkan sejak usia si anak masih bayi hingga sekarang, 8 tahun.

Walaupun pakar perubatan telah mengatakan, “Jangan mengharap sangat dari anak ini, dia tidak akan membesar secara normal,” penulis sebagai ayah, tidak pernah patah semangat.

Berkejar dengan masa dalam ikhtiar memulihkan anaknya, penulis membawa keluarganya merentas benua – ke Beijing di Negeri China, ke Timur Tengah, dan seterusnya ke Amerika Syarikat. Hasan bersama isteri dan lima anak mereka kini bermastautin di Florida, AS, meninggalkan sanak-saudara dan kerjaya dalam syarikat yang sedang meningkat naik. Isterinya Dora yang merupakan seorang pendidik cemerlang, sanggup mengambil cuti demi anak yang dikasihi.

Penulis menyulam penulisannya dengan kisah suka-duka yang mewarnai hubungan kekeluargaan dan cerita cinta suami isteri. Dari seorang bapa dan suami yang terlalu sibuk dengan kerjaya hingga kurang memberi perhatian kepada keluarga, kehadiran Wazif benar-benar memberi sinar baru dalam kehidupan penulis sekeluarga.

Kelahiran Wazif memang dirasakan sebagai satu anugerah daripada Allah. “Abang ingat tak masa Wa mengandungkan Wazif dulu, banyak benda-benda pelik berlaku. Mungkin Allah nak beri isyarat pada kita supaya kita bersedia untuk menerima anugerah ini,” kata si isteri pada satu ketika. Kata-kata ini cukup memberi bekas di hati penulis dan menjadi ‘turning point’ yang merubah kehidupan mereka sekeluarga.

Gaya penulisan buku ini, seperti kata Hj. Abu Hassan Morad (pemenang Anugerah Sastera Perdana 2002) yang tercatat di kulit belakang buku, “Cukup mengesankan…. menepati konsep Drama in Real Life!”

Penceritaannya sangat terperinci, mirip gaya novel. Latar masa, latar tempat, perlukisan watak dan setiap patah dialog, begitu segar. Kisah alam mistik perubatan Melayu turut melatari anekdot tangisan dalam tawa, suka dalam duka, susah dan senang yang diharungi oleh penulis sekeluarga…

Konflik mempunyai anak istimewa, konflik rumah tangga dan babak-babak mencemaskan yang diceritakan semula dengan begitu baik, menjadikan buku ini penuh elemen dramatik. Tidak hairanlah seorang pengarah program pendidikan khas di Florida, AS memberitahu penulis, “You can make a movie out of this!”

Menariknya, di bahagian kedua buku ini disertakan Bacaan Bonus, di mana penulis berkongsi segala yang dilalui dan segala yang dipelajari melalui beberapa penulisan yang ditemuinya sepanjang menelusuri kembara anaknya Wazif. Juga berdasarkan pengalaman bertemu beberapa insan yang memberikan impak besar dalam kehidupan seharian mereka sekeluarga.

Ada beberapa penulisan di dalam bahagian ini yang penulis yakin akan memberi manfaat yang besar kepada ramai ibu bapa.

Siapa tahu, kisah Hasan dan anaknya ini akan difilemkan satu hari nanti… Dalam emelnya kepada editor buku ini, Hasan menyatakan keyakinannya, jika buku ini difilemkan dan watak dirinya dimainkan oleh Denzel Washington, filem itu mungkin akan menjadi box-office!

Testimoni

* Buku ini sesuai dan wajib untuk dibaca oleh semua ibu bapa, bukan hanya mereka yang ada anak istimewa sahaja. – Pn. Midah Tairak, Sg Petani

* Buku ini memberikan semangat baru dalam kehidupan kami. – Pn. Zaharah Samad, UIA Gombak

* Diharap buku ini dapat menyemarakkan semangat ibu bapa yang dianugerahi anak-anak istimewa. – Sdr Agus Othman, Kuala Terengganu·

* Saya dah habis baca dua kali. Memang sangat tersentuh dan ada juga terkena batang hidung sendiri… Bacaan wajib untuk sesiapa saja yang ingin tahu bagaimana yang dikatakan kehidupan sebenar. Saya jadikan bahan bacaan wajib untuk staf saya. – Fuad Omar, Johor Bahru·

* Banyak nilai baik yang memberi pengajaran/teladan pada pembaca. Satu lagi saham akhirat yang bermanfaat. – Ahmad Yani A.Manaf, Editor Majalah I.

* Memang menyentuh perasaan bila membaca helai demi helai. – Iskandar (Dr.Bubbles), Kuala Lumpur

* Cara penceritaannya membawa kita rasa dekat dan seolah-olah ada bersama dalam setiap detik yang diceritakan. Buku ini bukan sekadar catatan pengalaman, tapi juga ada motivasi, ada panduan, ada unsur sedih dan hiba… kelakar pun ada. – Mohd Rusdi Abdullah, kolumnis majalah ANIS

Penulis: Hassan Suyut* ISBN: 978-983-097-190-2. * Tebal: 277 ms *
Harga: SM – RM 24.50 / SS – RM 26.50

===========================================================

SIRI SYAITAN MUSUH KITA

X-Files Syaitan Dibongkar!

Buku ini memaparkan fakta dan riwayat hidup makhluk terlaknat yang telah diberi ‘lesen besar’ untuk menyesatkan manusia sejak zaman Nabi Adam a.s. hingga hari kiamat, iaitu syaitan.

Menariknya buku ini, bukan saja gaya penulisannya begitu santai, malah keseluruhan buku dihiasi ilustrasi yang memikat dan gambar foto yang relevan. Sepenuhnya dalam warna-warni, dengan jenis kertas yang berkualiti. Inilah satu-satunya buku yang membongkar rahsia kehidupan syaitan yang dipersembahkan dengan lakaran karikatur-karikatur dan ilustrasi yang menarik (tentunya karikatur syaitan berdasarkan imaginasi pelukis semata-mata).

Melihat pada senarai bahan-bahan rujukannya, buku ini mengandungi fakta, maklumat dan tip-tip dari sumber-sumber yang autentik. Ini bermakna, fakta-fakta yang dimuatkan adalah ilmiah dan boleh dipertanggungjawabkan. Salah satu sumber rujukannya adalah tulisan-tulisan Dato’ Dr. Amran Kasimin, seorang penulis yang cukup dikenali dengan tulisannya berkisar tentang alam jin dan syaitan. Dr. Amran telah menulis kata pengantar untuk buku ini, malah turut menyemak dan mentashihkan isi kandungannya. Melalui buku ini, X-files Iblis dan syaitan habis dibongkar.

Antara lain, pembaca akan menemui jawapan kepada persoalan-persoalan ini:·

  • Yang mana Iblis, yang mana syaitan?·

  • Dari mana asal-usul Iblis dan syaitan?·

  • Apa kaitan syaitan dengan jin?·

  • Di mana bertapaknya empayar ‘Iblis Raya’?·

  • Siapa menteri-menteri dalam kabinet Iblis?·

  • Apa habitat kegemaran syaitan?·

  • Adakah syaitan beranak?·

  • Adakah syaitan tidur?·

  • Apa makanan syaitan?·

  • Berapa jangka hayat syaitan? ·

  • Apa kekuatan dan kelemahan syaitan?·

  • Bagaimana modus operandi syaitan untuk menyesatkan manusia?·

  • Apa pintu-pintu laluan syaitan dalam tubuh manusia?

Pembaca diajak agar jangan takut kepada Iblis dan syaitan, namun jangan pula terlalu berani. Kisah-kisah para nabi dan orang soleh berdepan dengan syaitan, serta tip-tip yang diturunkan, memberi kekuatan tambahan kepada buku ini.


Penyusun: Zakaria Sungib / Hj Badrul Hisham * ISBN: 978-983-097-181-0. * Tebal: 120 ms
Harga: SM – RM21.90 / SS – RM23.90

==========================================


Boleh dibaca di perpustakaan atau boleh juga dibeli di sini untuk koleksi peribadi.

Tuesday, July 1, 2008

Makan tengah hari di Restoran Rasamas, KB Mall

Sebagaimana yang telah dijanjikan, tengah hari tadi kami telah ke Rasamas untuk menjamu selera. Sedap... tapi semuanya tersadai kekenyangan selepas menghabiskan sepinggan hidangan nasi dengan ayam panggang. Tapi semuanya seronok dapat makan percuma dan makanan sedap.

Ayuni dan K.Ma. Ayuni senyap saja makan... K.Ma orang paling lambat siap. Air strawberry (tak nampak dalam ni yang nampak tu air cola Dila dan bandung-cincau K.Chik) pun banyak lagi tu.

Dila dan Siti. Dua-dua kena bersila sebab tak larat nak habiskan makanan. Akhirnya kami pek bawa balik. Tapi syukurlah sebab semua suka hidangan kat Rasamas tu. Lain kali boleh pergi dengan keluarga.

Semalam K.Chik dah pergi cuba makanan kat Rasamas tu.

Latihan mereka bakal berakhir esok...

Setiap kali hendak menulis dalam blog ini memang saya perlu berfikir panjang. Bukan apa, bukan mudah untuk menjadikan apa yang bermain-main di minda ke dalam bentuk tulisan yang seronok dibaca bukan hanya diri sendiri malah mungkin orang yang berkunjung ke sini.

Baiklah, saya tuliskan saja mengikut apa yang terlintas di fikiran ketika ini. Perpustakaan kami, Dar Nur al-Zahra' ini sebenarnya sudah biasa menerima pelajar-pelajar universiti dan kolej untuk menjalani latihan praktikal mereka. Semasa saya di universiti dulu, latihan saya dipanggil latihan industri yang memakan masa 6 bulan ataupun separuh semester. Tapi hari ini, pelajar universiti/kolej hanya menjalani latihan yang hampir serupa selama dua bulan sahaja. Saya tidak pasti pula sama ada mereka akan menjalani latihan praktikal yang lain selepas ini.

Hampir setiap tahun ada saja pelajar yang ingin menjalani latihan praktikal mereka di sini. Begitu juga tahun ini. Kami menerima 9 permohonan dari para pelajar yang sedang belajar di tiga buah universiti iaitu dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sains Malaysia dan dari Universiti Teknologi Malaysia (UiTM). Permohonan paling banyak adalah dari USIM. Kami sebenarnya bersetuju untuk menerima empat orang pelatih tapi akhirnya hanya dua orang yang datang iaitu Siti dan Ayuni dari USIM.

Kedatangan dua pelatih ini sedikit sebanyak telah membantu pihak kami di dalam urusan pengkatalogan buku dan perkhidmatan pelanggan di kaunter. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dan berterima kasih kerana sepanjang dua bulan mereka di sini, mereka telah menyelesaikan tugas mengkatalog kitab-kitab berbahasa Arab yang telah tertangguh beberapa bulan kerana perletakan jawatan pegawai perpustakaan bahagian tersebut. Mereka juga telah menjadi sebahagian dari kami yang bekerja untuk memajukan Dar Nur al-Zahra'. Terima kasih. Syukran.

Hari ini merupakan hari kedua terakhir bagi mereka berdua di perpustakaan kami. Sebagai tanda terima kasih kami kepada mereka, saya bagi pihak Datuk Pengerusi dan Dato' Pengarah bercadang membawa mereka makan tengah hari di Restoran Hayaki atau Four Seasons. (Kakitangan yang lain juga dijemput bersama).

Kepada USIM kami ucapkan terima kasih kerana menghantar wakil untuk melihat perkembangan pelatih-pelatih mereka. Sebagai tuan rumah, kami amat menghargai kerjasama dari pihak universiti/kolej untuk memantau pelajar mereka.

Kami mendoakan agar pengalaman dan latihan yang mereka perolehi di sini akan membantu mereka di masa hadapan kelak. Walaupun pengalaman menjalani latihan di perpustakaan kami mungkin jauh berbeza dengan tempat lain kerana kelainan sistem pengurusan dan perkhidmatan di Dar Nur al-Zahra', kami berharap mereka mendapat serba sedikit gambaran alam pekerjaan di bidang perpustakaan dan pengurusan maklumat. Selain itu, pendedahan kepada pelbagai buku dan kitab yang bagus dan menarik diharapkan akan menjadikan Siti dan Ayuni pelajar-pelajar yang sentiasa mencintai ilmu.

Terima kasih adik-adik kerana membantu kami sepanjang menjalani latihan di sini. Jangan serik untuk berkunjung ke sini lagi walaupun bukan sebagai pelatih tetapi datanglah sebagai kenalan dan rakan kami.

Di kesempatan ini juga, saya mewakili seluruh kakitangan Dar Nur al-Zahra' ingin memohon berbanyak-banyak maaf sekiranya sepanjang adik-adik di sini ada berlaku terkasar bahasa, terkurang bantuan di sana sini atau layanan yang tidak memuaskan hati. Kami berharap segala apa yang diperolehi, dilalui, dialami, dikenali mahupun dirasai sepanjang adik-adik di sini akan kekal di sudut hati adik-adik. Mana yang baik dibuat panduan, yang buruk dijadikan sempadan. Itulah kami di Dar Nur al-Zahra' ini.

Dari:
Kak Chik, Kak Mar, Kak Dila, Pokcik Mat, Pokcik Aziz dan Mokcik.