Peminat Perpustakaan

Wednesday, November 11, 2009

Udara atau Ilmu?

Bismillah.

Seorang lelaki muda pergi menemui seorang ahli hikmah.
"Tuan, ajarkan saya ilmu hikmah", pintanya.
"Kau benar-benar inginkannya?" tanya ahli hikmah.
"Ya, tuan."
"Kamu sedia diuji?"
"Sedia", jawabnya tanpa ragu.
"Baiklah, bawa setempayan air ke hadapanku", pinta ahli hikmah.
Setempayan air segera dihadapkan di hadapan ahli hikmah oleh lelaki muda itu.
"Mari ke sini. Jengukkan kepalamu ke muka tempayan ini."
Lelaki muda itu pun merapatkan kepalanya ke mulut tempayan.
Tiba-tiba hali hikmah itu menekan dan menenggelamkan kepala lelaki itu ke dalam air. Dia meronta-ronta kelemasan. Apabila nampak tidak berdaya, barulah kepalanya dilepaskan. Sebaik menghirup udara, ahli hikmah terus bertanya, "Apa yang kamu inginkan?"
"Saya inginkan ilmu."
Mendengar jawapan itu sekali lagi kepala lelaki itu dibenamkan ke dalam air. Sekali lagi lelaki muda itu kelemasan. Kali ini lebih teruk dari sebelumnya. Setelah hampir lemas, baru dilepaskan lantas soalan yang sama juga diajukan.
"Apa yang kamu inginkan?"
"Saya inginkan ilmu!" jawab lelaki muda itu. Kali ini dengan keadaan lebih tidak berdaya.
Mendengar jawapan yang sama, ahli hikmah itu membenamkan sekali lagi kepala lelaki itu ke dalam tempayan. Kali ini lebih lama. Lelaki itu meronta-ronta. Kali ini jauh lebih hebat dan dahsyat dirasakannya. Setelah hampir nyawa-nyawa ikan, barulah kepalanya dilepaskan.
"Apa yang kamu inginkan?"
"Udara, udara, udara!" katanya hampir kehilangan suara.
"Sekarang, kamu telah bersedia untuk belajar hikmah daripadaku. Jika kamu inginkan hikmah seperti kamu inginkan udara, barulah kamu layak mendapatnya!"

PENGAJARAN
Keghairahan yang tinggi terhadap ilmu akan menjadikan seseorang itu ghairah untuk belajar. Imam al-Syafi'e pernah menyifatkan dirinya dengan ilmu umpama ibu ayan yang kehilangan anaknya. Begitu cinta dan tinggi sekali keinginannya untuk mendapatkan ilmu.

Disalin semula dari AnggukGeleng, SOLUSI isu #12.

Wednesday, October 28, 2009

Sumbangan Telah Diterima

Assalamualaikum wrt wbt.

Bagi pihak Perpustakaan Dar Nur al-Zahra' saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pn. Zulina Bt. Hassan @ Ummu Najah di atas kesudian beliau menyumbangkan kitab-kitab ini.


Sebenarnya bungkusan ini telah sampai ke tangan kami pada 19 Oktober lagi tapi saya yang terlambat memaklumkan di sini.

Alhamdulillah kami amat berbesar hati menerimanya dan insyaAllah kita ini akan dimanfaatkan bersama di perpustakaan ini.

Terima kasih sekali lagi.

Thursday, October 8, 2009

Ribut kencang dan hujan lebat




Bermula jam 4 petang, cuaca mula berubah menjadi gelap dengan angin mula bertiup kencang. Kami sudah jangka sebelah petang hujan akan turun dengan lebat tapi yang kami tidak jangkakan ialah ribut yang begitu kuat disertai kilat dan guruh.

Tiba-tiba bekalan elektrik pula terputus. Kemungkinan salah satu tiang elektrik telah pun rebah dipukul ribut.

Kami agak bimbang untuk meninggalkan perpustakaan tambahan dalam keadaan sebelah dari pintu utama masih lagi belum berganti. Sekarang ini dihadang oleh lapisan plywood untuk sementara.

Masih ada ramai pengunjung yang tidak sempat pulang sebelum hujan turun. Terpaksalah bergelap bersama kami di ruangan bawah. Kami nak benarkan mereka balik pun tidak berani kerana cuaca terlalu buruk, merbahaya.