Peminat Perpustakaan

Monday, March 7, 2011

Abu Musa Jabir Ibn Hayyan digelar Bapa Kimia

Abu Musa Jabir Ibn Hayyan

Kajian mengenai ilmu kimia merupakan sumbangan penting yang diwarisi daripada cendekiawan Muslim bagi tamadun moden. Cendekiawan serta ahli sejarah Barat juga mengikuti asas ilmu kimia moden diambil daripada ahli kimia Muslim.

Justeru gelaran Bapa Kimia Moden telah diberikan kepada ahli kimia Muslim Jabir Ibnu Hayyan. Jabir Ibnu Hayyan atau nama penuhnya Abu Musa Ibn Hayyan Al-Azdi lebih dikenali sebagai Geber di dunia Barat. Beliau juga kadang kala dipanggil al-Harrani atau al-Sufi merupakan seorang anak penjual ubat.

Jabir dikatakan belajar di bawah seliaan Imam Ja’afar Sadiq dan putera Umayed iaitu Khalid Ibn Yazid. Sebelum itu beliau menuntut ilmu dalam bidang perubatan di bawah naungan Barmaki Vizir semasa zaman Khalifah Abbasyiah Harun al-Rashid.

Jabir Ibn Hayyan yang lahir pada 721 Masehi di Tus, Iran dan meninggal dunia dalam tahanan rumah di Kufah, Iraq pada 815 Masehi.

Seorang ahli kimia Jerman pada abad ke-18, Will Durant dalam bukunya The Story Of Civilization IV: The Age of Faith mengakui kehebatan cendekiawan Muslim semasa zaman khalifah dalam ilmu kimia.

Malah Durant berkata, kimia merupakan ilmu yang hampir seluruhnya diciptakan semasa Tamadun Islam mengalahkan tamadun Yunani yang memberikan hipotesis yang samar-samar. Manakala dalam tamadun Islam, saintisnya telah memperkenalkan pemerhatian yang tepat, eksperimen terkawal, serta catatan atau dokumen yang begitu terperinci.

Malah sejarah mencatatkan tamadun peradaban Islam di era kejayaan telah melakukan revolusi dalam bidang kimia. Cendekiawan Islam telah mengubah teori-teori ilmu kimia menjadi sebuah industri yang penting bagi peradaban dunia.

Dengan memanfaatkan ilmu kimia, ilmuwan Islam di zaman kegemilangan telah berhasil menghasilkan sederet produk dan penemuan yang sangat dirasakan manfaatnya hingga kini. Berkat revolusi sains yang dicetuskan cendekiawan Muslim, dunia mengenal pelbagai industri yang melibatkan kimia..

Tidak dinafikan bahawa alkohol, nitrat, sulfur dan natrium dan kalsium merupakan unsur penting dalam kehidupan manusia moden adalah hasil penemuan cendekiawan Islam. Revolusi ilmu kimia yang dilakukan cendekiawan Muslim semasa zaman kegemilangan telah melahirkan pelbagai teknik seperti sublimasi, pengkristalan kapur, penyulingan, celupan dan penyucian. Hasil kajian yang dijalankan terhasil teori pengoksidaan-penurunan yang begitu popular hingga ke hari ini.

Unsur penting seperti asid hidroklorik, asid nitrat dan asid asetat lahir daripada hasil penelitian dan pemikiran Jabir. Kajian berkenaan merupakan salah satu kejayaan dalam penyulingan alkohol. Sumbangan terbesar beliau adalah dalam bidang kimia dalam memperkenalkan penyiasatan penyelidikan dalam bidang alkimia yang mengubah dalam bentuk yang lebih moden. Makmalnya menjadi terkenal selama beberapa abad tetapi kemasyhurannya diabadikan pada 100 buah buku ilmiah dan 22 daripadanya berkaitan dengan kimia dan alkimia.

Antara dua buah bukunya yang terkenal adalah Kitab al-Kimya dan Kitab al-Sab’een. Beliau juga telah menemukan mineral dan asid lain yang disediakan bagi alembicnya yang pertama.

Alembic merupakan salah satu ciptaannya yang teragung yang menjadikan proses penyulingan lebih mudah serta bersistematik.

Salah satu pencapaian penting lainnya dalam revolusi kimia adalah mendirikan industri minyak wangi.

Laporan ini dipetik dari majalah Estidotmy

Monday, February 28, 2011

Urus indeks jenayah juvana melalui perpustakaan

SHAH ALAM, 26 Feb: Pengurangan indeks jenayah juvana melibatkan remaja antara hasrat besar Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dalam usaha membantu matlamat Kerajaan Selangor mencapai Negeri Idaman; Maju, Sejahtera dan Berkebajikan.

Pengarah PPAS, Puan Mastura Haji Muhamad berkata, pihaknya membuka peluang seluas-luasnya kepada semua golongan masyarakat termasuk kalangan remaja untuk mengambil banyak manfaat yang terdapat di rangkaian PPAS di seluruh daerah.

Menurutnya, dari mereka melepak di tempat-tempat yang tidak berfaedah adalah lebih baik mereka berada di dalam perpustakaan yang kini sudah menjadi 'rumah kedua' kepada ahli-ahlinya.

"Mereka bukan sahaja boleh membaca, berhawa dingin, melayari internet capaian laju, makan minum di kafetaria, melepak-lepak malah mereka boleh baring-baring dan tidur di tempat khas yang sememangnya disediakan.

"Bila mereka sudah berada di perpustakaan dalam keadaan senang dan selesa itu, sudah pasti mereka akan terlepas dari perangkap negatif yang sentiasa menanti mangsa jika mereka berada di luar.

"Dengan terelaknya mereka dari berbuat demikian, maka hasrat PPAS untuk membantu Kerajaan Selangor khasnya dalam menangani gejala sosial dalam apa sahaja bentuknya akan dapat dicapai," tegasnya.

Puan Mastura menzahirkan keyakinannya ini kepada pihak media dan sekumpulan pegawainya dalam satu majlis khas yang diadakan tengahari tadi termasuk memberikan maklumat terkini tentang perpindahan PPAS ke bangunan baru.

Katanya, mereka akan mula berpindah mulai secara berperingkat-peringkat bagi memenuhkan bangunan baru setinggi enam tinggi berhampiran Kelab Golf Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 13, dekat sini.

Proses itu, katanya, akan mengambil masa juga kerana memastikan sejumlah 180 ribu unit buku dipindahkan dalam keadaan selamat termasuk peralatan dan keperluan pejabat melibatkan 100 kakitangannya.

Sehubungan itu, jelasnya, perkhidmatan Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam akan ditutup mulai 1 Mac 2011 bagi tujuan dan tarikh beroperasi semula akan diberitahu kelak.

Semalam, seramai 350 kakitangannya dari Seluruh Selangor dan mereka yang terlibat dengan PPAS seperti pembekal buku dan media mengikuti Kursus Parenting ESQ yang berlangsung sehari di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK.

Ismail Hashim
Harakahdaily.net

Sunday, February 20, 2011

Tokoh Islam: Doktor pembedahan terkenal dunia Islam

Abu Marwan Abdal Malik Ibn Zuhr
Ibn Zuhr merupakan satu nama keluarga saintis Muslim yang terkenal di Andalusia sejak abad ke-10 sehingga awal abad ke-13.

Antara individu yang paling terkenal dalam keluarga berkenaan adalah seorang pakar perubatan Abu Marwan Abd Malik Ibn abi Al-ala’ Zuhr.

Abu Marwan Abdal Malik Ibn Zuhr juga dikenali sebagai Ibn Zuhr, Avenzoar, Abumeron atau Ibn zohr hidup pada sekitar tahun 1091 hingga 1161 merupakan saintis Arab Muslim yang terkenal dalam bidang perubatan, pembedahan, parasitologi serta guru di Andalusia.

Dilahirkan di Seville dan belajar di Cordoba, beliau memulakan latihan perubatan di bawah kelolaan bapanya Abu’Ala Zuhr yang juga rakan Abu Jafar Ibn Harun dari Trujillo di Cordoba.

Datuknya juga merupakan seorang doktor perubatan.

Ibn Zuhr dilahirkan dalam lingkungan keluarga Bani Zuhr yang berasal daripada Muladi di mana lima generasinya merupakan pakar perubatan.

Ia termasuk dua orang wanita yang berkhidmat dengan pemerintah Almohad, Abu yusuf Ya’qub Al Mansur.

Ibn Zuhr juga merupakan guru Ibn rushd semasa beliau menulis Kitab Al-Taisir Fi Al-Mudawat Al-Tadbir.

Beliau boleh dikatakan bapa kepada pembedahan eksperimen. Ini kerana Ibn Zuhr telah memperkenalkan kaedah eksperimen bagi pembedahan, memperkenalkan kaedah pembedahan bagi manusia dan autopsi, mencipta kaedah pembedahan bagi trakeotomi, menemui sebab penyakit scabies dan radangan serta menemui kewujudan parasit.

Karya agung Ibn Zuhr adalah Al-Taisir di mana beliau memperkenalkan kaedah eksperimen pada surgeri menyebabkan beliau digelar bapa surgeri eksperimen.

Beliau merupakan pakar perubatan pertama yang menggunakan haiwan sebagai ujian dalam pembedahan sebelum diaplikasikan kepada manusia.

Ibn zuhr juga merupakan pakar perubatan pertama yang menjalankan pembedahan dan pembedahan mayat kepada manusia dan haiwan.

Beliau menciptakan kaedah pembedahan trakeotomi, kerana Ibn Zuhr merupakan orang pertama yang memberikan penerangan yang betul dalam pembedahan berkenaan bagi pesakit yang lemas.

Menggunakan kambing sebagai haiwan makmal, Ibn Zuhr berjaya meningkatkan teori pembedahannya.

Selain itu Ibn Zuhr juga menjalankan pembedahan autopsi ke atas biri-biri semasa ujian klinikal bagi merawat penyakit paru-paru.

Beliau juga menulis mengenai prophylaxis terhadap jangkitan saluran pundi kencing dan menerangkan kepentingan pengurusan pemakanandalam mengekalkan prophylaxis.

Berjaya meningkatkan pembedahan sebagai satu bidang bebas dalam perubatan, Ibn Zuhr memperkenalkan kursus latihan yang dibuat khusus bagi bakal pakar bedah bagi membolehkan mereka diiktiraf sebagai pakar bedah sebelum dibenarkan membedah pesakit.

Semasa eksperimen perubatan pada anatomi dan fisiologi, Ibn Zuhr merupakan ahli perubatan pertama yang mengetahui mengenai pembedahan manusia dan autopsi mayat.

Beliau juga membuktikan penyakit kulit scabies disebabkan oleh parasit yang bertentangan dengan empat teori yang disokong oleh Hippocrates, Galen dan Avicenna.

Pembuangan parasit daripada pesakit didapati tidak menyebabkan pendarahan.

Ada yang mendakwa karyanya lebih hebat berbanding pakar perubatan yang terdahulu.

Ibn Zuhr juga merupakan pakar perubatan pertama yang menolak teori hippocrates dan Galen malah beliau juga mengesahkan kehadiran darah dalam badan manusia.

Selain itu, Ibn zuhr juga memberikan punca penyakit radangan telinga secara saintifik dan membincangkan mengenai penyebab stridor (sejenis penyakit berkaitan pernafasan).

Bidang teknologi bius moden telah dibangunkan semasa era Islam oleh pakar bius Ibn Zuhr dan Abu Al-Qasim Al-Zahrawi.

Mereka merupakan orang pertama menggunakan bius oral dan sedutan (inhalant) dan melakukan beratus-ratus pembedahan bius sedutan dengan menggunakan sepan yang direndam dengan narkotik dan diletakkan di muka.

Ibn Zuhr juga telah memberikan penerangan yang tepat mengenai masalah neurologi termasuk meningitis, intracranial thrombophlebitis, mediastinal tumours, dan memberikan sumbangan besar kepada neurofarmakologi.

Beliau juga merupakan saintis terawal yang telah menulis mengenai penyediaan ubat-ubatan (pharmacopoeia) yang kemudian menjadi buku tulisan Arab pertama yang dicetak menggunakan komponen boleh alih pada 1491.

Ibn Zuhr serta beberapa pakar perubatan Islam seperti Al-Kindi, Ibn-Sahl, Abulcasis, Al-Biruni, Avicenna, Averroes, Ibn Al-Baitar, Ibn Al-Jazzar dan Ibn Al-Nafis membangunkan terapi ubatan dan perubatan bagi merawat simptom tertentu dan penyakit.

Sumber: estidotmy 
Rujukan:
1. The Muslim Observer