Peminat Perpustakaan

Monday, September 17, 2007

Ceramah Perdana Pra Pameran Mukjizat al-Quran 2007

Baru-baru ini (9 September) Dar Nur al-Zahra' dengan kerjasama Pusat Islam HUSM telah menganjurkan ceramah perdana bersempena satu program yang lebih besar iaitu Pameran Mukjizat al-Qur'an 2007 yang bakal berlangsung pada 9 - 20 Disember nanti.

Ceramah tersebut telah berlangsung di Dewan Utama USM Kubang Kerian dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang. Alhamdulillah kehadiran peserta telah melebihi jangkaan iaitu seribu orang. Kebanyakannya ialah pelajar sekolah dan selebihnya ialah kakitangan USM dan orang awam.

Ceramah bertajuk Mencungkil Keajaiban Sains Dalam Al-Qur'an telah disampaikan oleh penceramah yang tidak asing lagi di Serambi Mekah ini iaitu Dr. Jamnul Azhar bin Haji Mulkan yang datang jauh dari Negeri Kedah.

Sebahagian penonton wanita yang terdiri dari para pelajar beberapa sekolah menengah di Kelantan.


Kami juga membuka gerai jualan buku dengan kerjasama MariBaca Bookstore untuk meraih sedikit pendapatan bagi menambah dana perpustakaan. Alhamdulillah pada hari tersebut, kami berjaya mempromosi buku-buku terbitan PTS dan Goodwords dengan baik sekali seiring dengan promosi Dar Nur al-Zahra'.


Kelihatan para peserta lelaki dari Maahad Tahfiz yang datang agak lewat dan terpaksa duduk di barisan belakang peserta wanita. Boleh dikatakan seluruh ruang dalam dewan pada hari tersebut adalah padat.


Dari kiri: Dr. Jamul Azhar, Dr. Wan Nudri (Tim. Pengarah Pusat Islam USM) dan En. Nazri Deraman (AJK Pameran Mukjizat al-Qur'an selaki wakil Pengarah)


Penceramah sedang bersemangat menyampaikan butir-butir penting pada hari tersebut. Banyak yang kita pelajari dari ceramah beliau. Walaupun belajar di jurusan perubatan dan kini memiliki klinik sendiri, Dr. Jamnul lebih suka dipanggil Ustaz oleh orang lain.

Bersedia menanti majlis dimulakan. Dua pertiga dewan dipenuhi peserta wanita. Dari sini jelas kelihatan.


Masing-masing khusyuk mendengar ceramah yang sememangnya memberi banyak input untuk dijadikan panduan hidup dan amalan di masa akan datang.


Peserta mengambil tempat sementara majlis bermula.


Ramai sungguh pelajar dari Maahad Muhammadi Perempuan yang datang. Baguslah dik, jadikan isi kandungan ceramah sebagai panduan dan ikutan.


Ini pula guru-guru pengiring dan orang awam yang turut hadir ke majlis sama ada berjemput atau tidak. Terima kasih semua. Panjangkanlah apa yang kita dapat pada hari ini kepada mereka yang tidak berkesempatan untuk datang.

Program 2 sesi tersebut diakhiri tepat jam 1 petang. Terima kasih tak terhingga kami ucapkan kepada Pusat Islam USM kerana sudi bekerjasama di dalam menjayakan program yang sungguh bermanfaat ini.

Kini Ramadhan 1428 Hijrah


Assalamualaikum wbt.


Para rakan dan tetamu yang diraikan. Setelah sekian lama blog ini tidak dapat dikemaskini kerana sebab tertentu, kini kami kembali menulis di sini bagi berkongsi cerita, berita dan maklumat dengan anda mengenai perpustakaan kami iaitu Dar Nur al-Zahra'.


Hari ini sudah masuk hari ke-5 seluruh ummat Islam di Malaysia berpuasa. Biasanya di bulan Ramadhan ini tidak banyak aktiviti yang kami anjurkan kerana kami tahu kita semua ingin menambah ibadat masing-masing terutamanya membaca Al-Quran. Bagi adik-adik yang bakal menghadapi peperiksaan yang besar, setiap petang Dar Nur al-Zahra' dikunjungi untuk bertemu rakan-rakan dan sama-sama mengulangkaji pelajaran.

Ada yang datang bawa keluarga untuk sama-sama memakmurkan perpustakaan ini. Baguslah! Sememangnya di waktu-waktu beginilah kami merasakan satu keseronokan kerana melihat begitu ramai di kalangan kita yang suka berkunjung ke perpustakaan.

Ada yang datang mencari buku tertentu tapi sayangnya kami pula tidak mempunyai buku tersebut di dalam koleksi kami. Tapi insya-Allah kami akan bantu mereka dengan memberi pandu arah untuk mendapatkan buku yang dimaksudkan. Kami akan sarankan agar mereka ke Perpustakaan Awam Negeri Kelantan atau ke mana-mana perpustakaan yang kami tahu boleh dikunjungi oleh orang awam.

Yang pastinya, kami bersyukur kerana selepas hampir 7 tahun Dar Nur al-Zahra' beroperasi, kedatangan pengunjung amatlah membanggakan dengan purata hampir seratus orang sehari. Semoga Allah memberi kami kekuatan untuk terus berusaha meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan dan aktiviti kami demi mengajak orang ramai mencintai ilmu.