Peminat Perpustakaan

Monday, January 17, 2011

Didik Si Kecil Menjaga Buku

Oleh Ade Irma Suryani Che' Leh

Persekolahan baru sahaja bermula. Anak-anak anda tentu baru sahaja mendaat buku teks dan pelbagi buku kerja dari pihak sekolah. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab anda untuk mendidik anak-anak untuk menjaganya supaya ia tidak rosak dan tahan lebih lama. Sebaik mereka mendapat buku-buku sekolah, terang dan didik mereka mengenai cara menjaga dan menghargai buku dengan sebaik mungkin.

Sikap Sayangkan Buku
Tanamkan sikap sayang pada buku. Terangkan kepada mereka betapa pentingnya buku sebagai bahan untuk menambah ilmu pengetahuan. Selain itu, beritahu mereka bahawa buku-buku itu umpama 'harta' yang perlu mereka sayangi dan lindungi. Didik anak-anak supaya sentiasa menghargai buku dan menjaga buku-buku milik mereka dengan baik. dengan cara itu, anak-anak akan berasa sayang pada buku.

Pastikan Buku Dalam Keadaan Baik
Pastikan buku dalam keadaan baik sehingga dikembalikan semula. Terangkan kepada anak-anak bahawa melalui cara inilah mereka menunjukkan terima kasih kepada pihak sekolah dan ibu bapa kerana memberikan buku tersebut untuk digunakan sepanjang tahun.

Buka Buku Dengan Baik
Pastikan tangan anda dalam keadaan bersih apabila membuka buku. Tangan yang kotor akan menyebabkan buku kelihatan comot. Begitu juga tertib ketika menggunakan buku, minta mereka membukanya dengan baik dan tidk secara kasar. Ia dapat mengelakkan buku daripada terkoyak atau cepat rosak.

Jangan Biarkan Buku Bersepah
Jangan biarkan buku-buku dalam keadaan bersepah. Ia bukan sahaja menyemakkan mata memandang tetapi buku tersebut mungkin rosak apabila tidak disimpan. Tanamkan sikap bertanggungjawab dalam diri anak-anak.

Simpan Di Tempat Tinggi
Pastikan anak-anak anda menyimpan buku di atas rak atau tempat yang tinggi untuk mengelakkan ia dirosakkan oleh anak-anak yang masih kecil. Anda tidak perlu menyediakan almari yang mahal, memadai rak yang murah asalkan ia tidak dapat dicapai oleh adik-adiknya.

Conteng
Pastikan anak-anak tidak menconteng buku sama ada menggunakan pensel atau pen. Lebih-lebih lagi buku itu  adalah buku pinjaman. Ia tentu menimbulkan banyak masalah kepada murid-murid lain selepas itu. Dalam pada itu jika buku kotor tentu menyusahkan anak anda mengulang kaji pelajaran.

Jangan Merosakkan Buku
Jangan biarkan si kecil menggunting pada bahagian tertentu pada buku. Jelaskan kepada mereka bahawa buku teks tidak boleh digunting, dikoyak atau dirosakkan. sebagai ibu bapa, anda harus memantau apa yang mereka lakukan. Untuk mengelakkan mereka melakukan perkara yang sedemikian, belikan buku khusus untuk anak melakukan kerja-kerja kreatif.

Amanah
Anggaplah menjaga buku sebagai amanah. Oleh itu jagalah dengan sebaik mungkin. Terang kepada mereka betapa pentingnya menjaga amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Andai buku itu buku pinjaman, terangkan kepada mereka bahawa tahun hadapan orang lain akan menggunakannya pula. Oleh itu jangan memperlakukan dengan sewenang-wenangnya.

Membalut Buku
Minta anak-anak membalut buku supaya ia tidak merosakkan kulit buku. Bantu anak anda untuk membalut buku. Gunakan pembalut plastik, kertas minyak, pemballut hadiah, kertas pembalut lut sinar yang siap berpelekat dan sebagainya.

Menekuk/Melipat
Jangan menekuk (melipat hingga bahagian belakang buku) kerana ia akan merosakkan bahagian yang telah dijilid. Gam atau stapler untuk mencantumkan buku mungkin tertanggal. Oleh itu, apa salahnya sesekali anda memeriksa buku anak-anak.

Lipat
Pastikan anak-anak tidak melipat buku untuk menandakan bahagian tertentu kerana ia akan merosakkan halaman yang telah ditandakan itu. Jika mahu menandakan halaman tersebut adalah lebih baik menggunakan penanda buku atau apa sahaja asalkan tidak menjejaskan buku tersebut.

Kurangkan Fotokopi
Kurangkan fotokopi buku kerana ia akan merosakkan jilid buku dan memudahkan buku terlerai. Jika mahukan bahan daripada bahagian berkenaan galakkan anak anda boleh menyalinnya. Walaupun ia mungkin remeh tetapi penting untuk memastikan buku dalam keadaan baik.

Jangan Terlingkup Buku
Apabila anak anda selesai mengulang kaji pelajaran, pastikan mereka tidak melingkupkan buku kerana cara ini juga dapat merosakkan buku itu. Maklumkan kepada mereka supaya menyimpannya kembali di tempat asal.

HARMONI, 15 Januari 2011

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.