Kami mengalu-alukan anda melawati laman BLOG perpustakaan kami yang telah diwujudkan sejak Januari 2005.
Pengenalan
Dar Nur al-Zahra' ialah sebuah perpustakaan awam milik persendirian yang diwakafkan untuk kegunaan orang ramai di Negeri Kelantan. Perpustakaan ini pada mulanya beroperasi di sebuah banglo 4 bilik dengan koleksi buku melebihi lima ribu naskah dari bidang ilmu-ilmu Islam, Sastera, Pendidikan, Sains dan Perubatan Islam.
Oleh kerana pewakaf mempunyai cita-cita yang jauh untuk perpustakaan ini, pada tahun 2000, sebuah bangunan baru empat tingkat seluas hampir 190 ribu kaki persegi telah dibina untuk memuatkan lebih banyak buku-buku dari ramai penderma dan pewakaf. Kini koleksi buku sudah hampir 30 ribu naskah dari melebihi 13 ribu tajuk. Buku-buku kebanyakannya dalam Bahasa Arab, Inggeris dan Melayu.
Dar Nur al-Zahra' telah dirasmikan oleh YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan pada 27 September 2001 dan terus dibuka kepada orang ramai secara percuma.
Bermula dengan koleksi buku khusus untuk pelajar remaja hingga orang dewasa, kini kami berbangga mempunyai Sudut Kanak-Kanak dengan koleksi buku hampir 2 ribu naskah, Dewan Seminar yang selesa, dilengkapi peralatan pandang-dengar yang moden dan boleh memuatkan 200 buah tempat duduk.
Ruang Keluarga di tingkat 1 dimanfaatkan untuk kemudahan pengguna membaca akhbar dan majalah, menonton tv/Astro/video, berbincang, mengikuti aktiviti kraftangan, program membaca nyaring (read aloud) dan berurusan dengan pihak kami.
Tingkat 2 dan 3 menempatkan Bilik Solat dan ruang bacaan yang selesa, cerah dan ceria, menggamit dan merangsang minda pengguna untuk membaca, menelaah mahupun membuat kerja-kerja akademik. Manakala tingkat 4 pula menempatkan Bilik Mesyuarat dan Dewan Seminar.
Visi
Untuk mewujudkan masyarakat yang gemar membaca, dan menjadikan membaca amalan hidup mereka.
Misi
1. Menjadikan perpustakaan suatu tempat paling selesa untuk dikunjungi setiap hari.
2. Menghubungkan tali silaturrahim dalam kalangan masyarakat melalui aktiviti-aktiviti di perpustakaan.
3. Meningkatkan jumlah warga Kelantan yang gemar membaca sepanjang hayat (lifelong readers).
4. Memastikan dunia buku dan ilmu tidak dilupakan oleh generasi kini dan akan datang.
Perkhidmatan
Perpustakaan ini mempunyai polisi iaitu semua koleksinya tidak boleh dipinjam kecuali dengan permohonan tertentu. Ini kerana kami ingin menjaga buku-buku wakaf yang kebanyakannya sungguh sukar diperolehi lagi dan juga untuk menggalakkan orang ramai gemar berkunjung ke perpustakaan kami.
Antara perkhidmatan yang kami sediakan ialah:
- Salinan/ fotokopi buku.
- Jualan/Belian buku.
- Khidmat Motivasi Untuk Pembaca.
- Sesi 'Read-Aloud'.
- Kelas Kraftangan.
- Sewa dewan.
- Sewa LCD.
- Tayangan Video Cerita-cerita Islamik, Debat Perbandingan Agama dan Sains & Al-Quran.
- Pemerhatian Angkasa Lepas (dalam persediaan, belum berfungsi).
Kunjungilah Dar Nur al-Zahra' sebagai tanda sokongan anda ke atas usaha murni ini.
Kali pertama di'post' pada: 13 Jan 2005 jam 2.42 petang.