Peminat Perpustakaan

Monday, November 10, 2008

Masa Halimunan


Sedar ataupun tidak, terdapat banyak masa yang 'halimunan' atau 'tersembunyi' yang dapat dimanfaatkan.

Contohnya semasa kita sedang makan nasi, ataupun mengunyah makanan ringan, menunggu bas, perjalanan ke rumah, menunggu rakan-rakan di padang, selang antara dua waktu solat dan banyak lagi.

Apa yang biasa kita lakukan pada ketika ini?

Berbual?

Bersembang?

Termenung?

Ataupun tidur?

Jangan begitu... Isilah masa-masa ini dengan perkara yang berfaedah. Mungkin ia nampak remeh, tetapi ingatlah masa itu 'lebih mahal' dari emas. Kita tidak mungkin membelinya dengan harga wang.

Saturday, November 8, 2008

Menghormati buku untuk barakah ilmu.

Cuba kita tengok sejenak almari atau rak buku di rumah kita. Bagaimana kita menyusun buku di rak atau di almari? Apakah kita menyusun mengikut sesuka hati atau adakah kita mempunyai sistem atau peraturan tertentu yang memudahkan kita mengesan dan mencari buku yang disusun itu? Jika koleksi buku kita masih kecil, kita mungkin tidak menghadapi masalah, tetapi kalau koleksi buku itu semakin besar seperti yang sering terjadi kepada pencinta buku atau ulat buku, kita akan menghadapi masalah besar.

Cipta sendiri sistem menyusun buku...

Kalau kami di Zahra' menggunakan Islam Outline of Classification Scheme (IOCS) kerana banyaknya buku-buku bidang agama, mungkin anda boleh mencipta sendiri sistem yang mudah anda fahami. Di Zahra' sistem IOCS ini telah pun dupermudahkan kerana koleksi buku di sini hanya di sekitar 30 ribu tajuk dan pertambahannya agak perlahan.

Keperluan kepada sistem penyusunan buku yang piawai sebenarnya adalah satu ADAB untuk menjaga dan menghormati buku. Dalam sejarah tradisi ilmu silam, sama ada Islam, Yunani atau China, terdapat beberapa adab menghormati buku. Kesemua tradisi ini mengajar kita agar menghormati ilmuwan, orang bijak pandai, alim ulama dan secara logiknya ia juga menggambarkan akan perlunya penghormatan pada buku. Buku dihormati bukan kerana fizikalnya tetapi isi dalamannya yang mencerdaskan umat manusia. Tidak hairanlah dalam tradisi ilmu Islam, adab menjaga dan menghormati buku amat ditekankan.

Mengapa perlu menyusun buku?

Mengikut saranan Musa Al-Almawi (meninggal 1573), buku perlu disusun mengikut subjeknya dan buku yang paling penting harus ditempatkan paling atas. Susunan berikut perlu dipatuhi, pertama ialah kitab-kitab suci, buku sains fiksyen, buku sejarah, buku ilmu alam dan seterusnya. Kesemua itu adalah sumber ilmu yang perlu dihormati.

Ibn Jamaah menambahkan saranan yang lebih terperinci,
"Jika ada dua buah buku tentang subjek yang sama, maka buku yang lebih banyak mengandungi kajian Quran dan Hadis hendaklah ditempatkan di atas. Jika dalam hal ini keduanya sama, maka tingkat pentingnya pengarang yang lebih tua umurnya dan lebih dicari ilmunya di tempat lebih atas. Kalaupun dalam hal ini keduanya sama, maka buku yang lebih benar penulisannya harus diutamakan di atas."

Tambah beliau lagi,
Buku-buku berukuran besar hendaknya tidak diletakkan di atas buku-buku berukuran kecil, agar tumpukan buku tidak sering roboh. Judul buku hendaklah ditulis pada pinggir luarnya. Sebuah daftar judul bab harus ditulis di dalam sampul yang berhadapan dengan lidah jilidan. Jika tidak, maka penulisan daftar tersebut akan terbalik.

Susun buku bukan kerja remeh.

Ternyata urusan menyusun-atur buku di rak telah begitu lama disebut oleh ilmuwan kita. Urusan menyusun bukanlah urusan remeh-temeh kerana ini akan memudahkan sesiapa sahaja yang mencari sesebuah buku. Tidak perlu hairan kerana dalam tradisi Islam buku memang menjadi alat utama penyebaran ilmu pengetahuan.

Bagaimana cara menghormati buku?

Nasihat Musa Al-Almawi,
Buku tidak boleh dijadikan tempat menyimpan lembaran-lembaran kertas atau benda-benda lain yang serupa. Buku tidak boleh dijadikan bantal (rupanya al-Almawi telah menjangkakan tabiat buruk sebahagian di antara kita), dijadikan kipas, sandaran punggung atau alas berbaring, atau digunakan untuk membunuh lalat. Untuk menandakan halaman buku tidak boleh DILIPAT. Orang-orang bodoh sering melakukan hal itu (sekali lagi al-Almawi sudah menjangka kebiasaan buruk kita). Untuk penanda bacaan harus digunakan selembar kertas atau yang serupa itu, tetapi tidak boleh daripada potongan kayu atau apa pun yang dibuat daripada bahan yang keras.
Jadi, hormatilah buku sebaik-baiknya kerana barakahnya akan bersama kita si pembacanya.
Insya-Allah.

Petikan: Resipi Kejayaan untuk Pustakawan

Wednesday, November 5, 2008

Bukan mudah menanam disiplin & kesedaran agama

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Akhir-akhir ini kuantiti pengguna yang mengunjungi Zahra' sangatlah ramai sehinggakan suasana menjadi agak tidak tenang tambahan pula semakin galak di antara mereka mengambil peluang melanggar peraturan kami.

Staf Zahra' terutama Kak Mar dan Pn. Dila sudah sampai naik geram dan kekurangan tahap kesabaran dalam menangani kerenah mereka yang tidak 'faham bahasa' ini. Kami di sini bukannya suka mengambil tahu hal peribadi orang lain, tapi perbuatan sesetengah adik-adik yang muda belia ini sudah agak melampau di dalam sebuah rumah ilmu yang sepatutnya dipenuhi dengan rahmat dan berkat agar ilmu dapat masuk ke dalam dada.

Musim peperiksaan... sepatutnya adik-adik mengambil peluang untuk mengulangkaji secara sendirian ataupun berkumpulan, sambil itu beringat-ingatlah dengan peraturan yang ada. Jika sudah dinasihat, tidak boleh belajar hanya berdua lelaki dan perempuan, ikutilah... kami nasihatkan demi kebaikan adik-adik. Kasihan pengguna lain yang tidak dapat menumpukan perhatian akibat perbuatan anda yang hanya mementingkan diri sendiri. Beringatlah yang anda datang ke 'rumah' orang, di rumah ini ada tuan rumah dan ada juga tetamu lain... tidak boleh kita ikut kata nafsu kita sahaja. Selain tuan rumah ada lagi TUAN kepada tuan rumah yang sepanjang masa memerhatikan tindak-tanduk kita.

Bermula semalam, pihak Zahra' telah menguatkuasakan peraturan yang telah dikemaskini:
  • Tempat belajar/membaca berasingan untuk lelaki (L) dan perempuan (P) - lelaki di tingkat 1 manakala perempuan di tingkat 2. untuk Ruang Keluarga, sudah diasingkan meja-meja L dan P. Sebenarnya peraturan ini sudah ada cuma semakin dilupakan... maaf atas kelalaian pihak kami.
  • Tempat parkir motorsikal adalah di belakang Zahra' - tidak boleh lagi meletakkan motorsikal anda sesuka hati di bawah 'porch' pintu utama Zahra'. Teguran lembut kami dibalas dengan memek muka sombong dan sindiran anda. Cuba bayangkan kalau berlaku kecemasan, alangkah susahnya untuk pihak keselamatan masuk ke dalam Zahra'.
  • Makanan dan minuman kecuali air mineral & gula-gula tidak dibenarkan dibawa masuk - makanlah di luar Zahra'. Kalau semut, tikus mula membiak di dalam Zahra' anda juga yang tidak selesa. Selain itu, kasihanlah kepada Mokcik yang perlu mencuci kotoran yang anda tinggalkan. Bukankah kebersihan itu sebahagian dari iman? Dan kitakan orang Islam... orang Islam seharusnya pembersih.
  • Pakailah pakaian yang menutup aurat sebenar-benarnya - tidak boleh pakai baju ketat, tidak boleh pakai t-shirt kecil, tidak boleh pakai kain belah, tidak boleh pakai seluar pendek, pakailah tudung melepasi paras dada, pakailah baju yang labuh, besar & longgar, pakailah seluar panjang yang longgar, pakailah baju kurung atau mana-mana pakaian yang sederhana, tidak menjolok mata - agar penampilan anda tidak menyeksa orang lain. Kita datang untuk belajar/membaca, bukan untuk 'mencuci mata' dan membuat DOSA.
  • Tolong jangan CURI buku atau apa sahaja harta Zahra' - ingatlah harta Zahra' ialah harta wakaf, untuk dikongsi manfaatnya bersama orang lain, bukan untuk dijadikan milik kita. Tidakkah anda ingin membuat pahala?
  • Pelajar yang ponteng untuk datang ke Zahra' tidak dibenarkan masuk - maaf kalau menggunakan istilah ini, "kami akan halau anda keluar!" kerana anda masih di dalam waktu sekolah. Patuhilah peraturan insya-Allah hidup & masa depan kita akan lebih baik dunia mahupun akhirat.
  • Tolong jaga volum suara anda - jangan ingat suara kita sahaja yang perlu orang dengar dan jangan ingat kita berada di pasar, beri kerjasama, jadikan suasana di dalam Zahra' tenang dan merangsang emosi, rohani dan minda.
Semoga ketenangan dan kedamaian dapat dikekalkan, semoga Syaitan dan kuncu-kuncunya tidak berjaya menguasai pemikiran dan nafsu jahat kita, semoga kunjungan anda memberi kepuasan rohani dan jasmani. Sama-samalah bantu.

Terima kasih.

Pustakawan yang mencipta maklumat

Sedutan buku: Resepi Kejayaan Untuk Pustakawan oleh Ahmad Fadzli Yusof & Abid Abdullah

Pustakawan yang mencipta maklumat

Apakah erti pustakawan mencipta maklumat?

Iaitu boleh membangun dan menghasilkan maklumat, berpengetahuan mengenai produk serta mengeksploitasikannya. Lebih-lebih lagi kesan daripada kepesatan era maklumat dan ekonomi berasaskan maklumat (k-ekonomi), pustakawan perlu memainkan peranan sebagai pencipta maklumat. Ia juga selaras dengan proses transformasi yang dialami oleh perpustakaan, yang secara beransur-ansur menjadi pusat pengurusan maklumat.

Bagaimana peranan utama untuk menjadi pustakawan yang mencipta maklumat?

Pada era k-ekonomi, perpustakaan perlu menjadi rumah yang menjadi harta karun kepada pengetahuan manusia, bersama-sama dalam penciptaan pengetahuan serta menyediakan hubungan penting dalam rangkaian inovasi maklumat. Pustakawan perlu memahami teknologi maklumat dan mengeksploitasikan sepenuhnya potensi-potensi yang ada padanya.

Lagi?

Pustakawan juga harus bersedia menerima perubahan terhadap tugas-tugas yang diberikan kepada mereka. Mereka perlu belajar dan mengaplikasikan kemahiran-kemahiran baru, kriteria yang perlu ditekankan bagi memastikan kejayaan pengurusan maklumat adalah menerapkan penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam latihan kepada pustakawan. Elemen lain yang penting ialah penciptaan dokumen digital, standard dan pengurusan maklumat serta merekod secara elektronik.

Apakah keadaan atau suasana yang menuntut agar pustakawan berperanan sedemikian?

Kerana kesedaran masyarakat pada kepentingan maklumat dan pengetahuan menyebabkan kurikulum pengajian maklumat tidak dapat dielakkan.

Apakah hasil penguasaan pustakawan dalam bidang teknologi?

Kemahiran itu perlu bagi menghasilkan tenaga kerja yang berpengetahuan, mempunyai tabiat suka membaca serta mempunyai sikap tidak mahu ketinggalan dengan ilmu dan penyelidikan.

=============================================

Semoga dibaca, difahami, dihayati dan diamalkan sekiranya anda rasa ianya bermanfaat.


KakChik, Dar Nur al-Zahra'