Peminat Perpustakaan

Thursday, December 25, 2008

Selamat Pengantin Baru Kak Ma


Walaupun dah terlewat sedikit memuat-naikkan gambar perkahwinan Kak Ma, tapi semalam dia ada datang ke Zahra' kerana kami nak menziarahi Mak Datuk Rameli di Hospital Pakar Perdana.

Alhamdulillah, Kak Ma ada bawa bersama album kahwinnya, dapatlah dirakam beberapa keping gambar walaupun dari album sebab semasa hari kenduri, tak berjaya nak ambil gambar.

Tahniah sekali lagi Kak Ma. Semoga berbahagia dunia dan akhirat.

Susah benar sehari dua ni nak 'upload' gambar, mungkin kerana kerosakan kabel bawah tanah TM masih belum dapat dibaiki dengan baik.

Wednesday, December 10, 2008

KEMAHIRAN MEMBACA


Seseorang pelajar lazimnya terpaksa banyak membaca dan digalakkan mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber. Mereka membaca untuk pelbagai tujuan. Ada masanya mereka perlu membaca secara meluas atau ekstensif. Ada masanya pula mereka perlu membaca secara intensif atau mendalam. Untuk menjadi seorang pembaca yang berkesan, pelajar perlu menguasai dan mengamalkan beberapa teknik membaca. Oleh itu guru perlu membimbing pelajar pelajar menguasai teknik-teknik tersebut dari peringkat sekolah rendah lagi.

Dalam konteks sekolah, pelajar membaca untuk tujuan-tujuan seperti yang berikut:

• mendapatkan maklumat atau fakta berkaitan dengan sesuatu tajuk atau perkara.
• mendapatkan gambaran keseluruhan tentang sesuatu tajuk atau perkara
• memahami sesuatu persoalan atau menjelaskan kefahaman tentang sesuatu konsep
• mengumpul pelbagai pendapat berkaitan dengan sesuatu persoalan

Secara umumnya seseorang perlu menguasai dua teknik membaca, iaitu;

• membaca pantas
• membaca kritis

Untuk membaca pantas seseorang boleh menggunakan teknik skimming dan scanning, manakala untuk membaca dengan kritis seseorang boleh menggunakan teknik seperti KWLH dan SQ3R.

Download untuk baca sepenuhnya artikel ini.

Monday, December 1, 2008

Hulurkan Al-Fatihah

Mereka ialah rakan kami dari Perpustakaan Awam Negeri Kelantan. Hulurkan Al-Fatihah untuk ruh keempat-empat yang telah pergi meninggalkan kita ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka semua.



KUALA KRAI – Empat terbunuh apabila sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Unser yang dipandu oleh salah seorang dari rakan mereka, Wan Mustafa Wan Mohamad, 56, merempuh sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu ke Kuala Lumpur dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdul Rahman Jaafar berkata, kejadian berlaku di Kilometer 107 Jalan Kota Bharu-Gua Musang antara jam 3.30-3.40 petang.

“Pemandu kenderaan tersebut yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya, namun gagal berbuat demikian lalu merempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan.

“Kesemua mangsa, seorang lelaki dan tiga wanita yang berada di dalam kenderaan pelbagai guna tersebut meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga masing- masing,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, dua mangsa di bahagian hadapan ialah Wan Mustafa Wan Muhamad dan Nik Farah Suhanniz Nik Bahari Shah, 33, manakala penumpang bahagian belakang dikenali sebagai Munirah Muhamad, 44, dan Anidah Muhamad, 45.

Dua mangsa di bahagian hadapan telah tersepit dan terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba yang tiba sejurus menerima panggilan mengenai kejadian.

Sehubungan itu, Abdul Rahman berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian difahamkan, Wan Mustafa beralamat di Kampung Belukar, Kota Bharu dan Nik Farah Suhanniz berasal dari Taman Sri Bahari, Kota Bharu. Munirah pula berasal dari Jalan Dato Lundang, Kota Bharu, dan rakannya Anidah berasal dari Padang Embun, Pasir Mas.

Sementara itu, kesemua 34 penumpang bas tersebut yang dipandu oleh Zulkifli Muhamad, 38, dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, tidak mengalami apa-apa kecederaan.