Peminat Perpustakaan

Tuesday, April 28, 2009

Koleksi Buku Terbaru di Zahra'

Assalamualaikum dan salam membaca untuk semua pengunjung setia kami. Semoga setiap hari ilmu kita semakin bertambah dan amalan kita semakin banyak dan mantap. Insya-Allah hari ini saya nak kongsikan beberapa gambar buku-buku baru yang bakal menemui pengguna di perpustakaan ini.

Sebenarnya kami telah menetapkan dalam setahun kami akan membuat pembelian buku baru sebanyak 4 kali menggunakan duit tabungan Zahra' sendiri. Kiranya dalam 3 bulan kami akan mempunyai peruntukan sebanyak RM500.00 untuk membeli buku. Alhamdulillah untuk suku pertama tahun ini, inilah di antara buku-buku yang telah kami beli.


Di dalam gambar di atas terdapat juga buku-buku yang disumbangkan oleh organisasi dan individu. Kami memilih buku dari kategori kanak-kanak hinggalah kepada dewasa.


Buku-buku ini baru sahaja kami beli sebentar tadi di Jaafar Rawas KB. Pelbagai buku terkini dan termasuk juga 3 tajuk buku rujukan kegemaran pelajar STAM iaitu buku-buku Balaghah dan Adab Nusus.


Semangat dua orang tu bersembang, hehehe. Kami baru balik dari bandar, badan berpeluh campur letih dan perut pulak sedang lapar. Apa lagi, makanlah dulu...

Jemputlah ke Zahra' ya kalau ingin membaca buku-buku di atas tu.
Wassalam.

Monday, April 27, 2009

Ceramah Penerangan - Bagaimana Mengurus Perpustakaan & Menjadi Pustakawan Berjaya?

Bismillahirrahmanirrahim.

Petang semalam saya telah dijemput untuk menyampaikan satu ceramah di Maahad Daru Anuar (MADA), Pulau Melaka. Tajuknya adalah seperti di atas. Ceramah tersebut adalah untuk kesemua 41 orang Pustakawan sekolah berkenaan. Turut hadir ialah guru penasihat mereka iaitu Cik Aishah dan Cik Ummi dengan dibantu oleh Ustaz Wan Abdul Aziz.

Ceramah sepatutnya bermula jam 3.30 petang tapi sedikit masalah teknikal pada laptop yang digunakan telah menyebabkan saya lambat sedikit dapat berkongsi ilmu dengan mereka. Saya berceramah secara kurang formal dan lebih kepada interaksi dua hala dengan para Pustakawan sekolah untuk menjadikan majlis lebih ceria dan hidup.

Antara perkara yang saya sentuh di dalam ceramah tersebut ialah:
  • Resepi Kejayaan untuk Pustakawan (banyak juga isinya saya cedok dari buku rujukan saya dengan tajuk yang sama tulisan Ahmad Fadzli Yusof & Abid Abdullah).
  • Membina organisasi perpustakaan yang mantap.
  • Sistem Pengurusan Buku yang sesuai - Dewey, LLC dan Islam Outline of Classification Scheme
  • Bagaimana menjadikan perpustakaan tempat yang menyeronokkan?
  • Kerjasama untuk menghidupkan perpustakaan.
  • Bagaimana menambah koleksi buku?
  • dan beberapa perkara tentang peranan perpustakaan dalam menaikkan taraf akademik pelajar dan imej sekolah.
Ceramah ditangguh sementara untuk solat Asar dan disambung semula selepas itu hingga jam 5.30 petang. Selepas sedikit soal-jawab majlis bersurai jam 6.00 petang. Alhamdulillah.

Di bawah ialah sedikit rakaman kenangan sepanjang ceramah tersebut.










Wednesday, April 22, 2009

Buku ubah kehidupan

Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN
shaharomtm@yahoo.com

Lebih daripada 60 judul buku telah ditulis oleh Quindlen tentang banyak hal, tetapi dalam How Reading Changed My Life, dia ingin menceritakan tentang pengalamannya sebagai seorang pembaca.

HARI Khamis ini atau tepatnya 23 April 2009 adalah Hari Buku Sedunia. Tanpa disedari buku telah banyak mempengaruhi hidup kita. Ia memberi inspirasi kepada kita dan menjadi teman kala suka dan duka. Setidak-tidaknya, itulah yang berlaku pada Anna Quindlen. Dalam bukunya sepanjang 88 halaman, How Reading Changed My Life mengisahkan bagaimana pada masa kecilnya, dia kerap bermain di luar rumah seperti 'anak-anak normal' yang lain. Namun, dia mengakui, pada dasarnya kegiatan itu tidak selalu menyenangkannya. Dia mendapati 'tenggelam' di dalam keasyikan buku sentiasa membuatnya riang. "Ada bahagian terbaik dari diriku iaitu 'bergelut' dengan buku," tulis Quindlen.

Lebih daripada 60 judul buku telah ditulis oleh Quindlen tentang banyak hal, tetapi dalam How Reading Changed My Life, dia ingin menceritakan tentang pengalamannya sebagai seorang pembaca.

"Tokoh-tokoh imajiner (buku) itu sentiasa menantiku pulang dan aku membawanya kembali ke kehidupan," ujarnya yang mengungkap betapa buku-buku dalam koleksinya telah mencipta daya tarikan yang luar biasa. Dalam buku tersebut, Quindlen melukiskan masa kanak-kanak, remaja, dan dewasanya sebagai sebuah perjalanan waktu yang ditandai dengan kesedaran baru yang diperolehnya daripada kegiatan membaca sama ada novel dan bukan fiksyen. "Saya percaya membaca pelbagai karya orang lain akan mengajar kita untuk menghayati dan menafsir pengalaman orang lain dan ini menjadikan saya menemukan 'mutiara-mutiara baru' dalam kehidupan saya," ujar Quindlen lagi di dalam bukunya.

Membaca karya-karya besar dan kitab-kitab suci membolehkan pembaca mengumpul pengalaman hidup berbeza sekali gus memahaminya dengan cara yang berbeza pula. Pembaca yang sama bakal menafsirkan dan 'merasakan' denyutnya dalam intonasi yang berlainan. Malah, setiap kali pembaca itu membuka halaman karya-karya, semakin 'kaya' dia. Membaca dalam konteks itu bukan lagi hafalan, tetapi memberi sebuah makna hidup yang baru. Ini kerana pengalaman hidup, pengetahuan, dan 'kekayaan batin' yang dipelajarinya sentiasa bertambah dari sehari ke sehari. Dan inilah yang dimaksudkan oleh Quindlen sebagai kesedaran baru atau 'mutiara-mutiara baru'. Membaca bukanlah sekadar mengasah fikiran, bahkan lebih daripada itu. Ia memberi santapan rohani. Maka di sinilah wujud keasyikan membaca, misalnya kita memperkayakan rohani kita dengan membaca karya-karya Pradmoedya Ananta Toer, Hamka, Naguib Mahfuz, Naawal El-Saadawi dan Ernest Hemingway. Kita menghadapi teks-teks yang mereka tulis berdasarkan kisah hidup, pengamatan, pengalaman empati dan kepedulian, pengetahuan dan juga kekeliruan mereka. Membaca dengan demikian, menyajikan kita apa yang kita 'dapat' daripada kehidupan yang kita jalani dengan apa yang Pradmoedya, Hamka dan Hemingway renungkan dari perjalanan hidup mereka. Bukankah ini memperkayakan pengalaman, pengetahuan dan kekayaan batin kita.

Derek Braker, seorang pengkritik buku tersohor di Amerika, membuat komentar dan memuji buku How Reading Changed My Life. "Membaca buku ini ibarat hadir dalam sebuah pesta," komen Braker. Katanya lagi: "Ia suatu pesta yang mana di dalamnya terkumpul segala cerita, pengalaman suka-duka, perjalanan intelektual, perjalanan hidup, dan lebih daripada itu, kita 'tenggelam' dalam dunia keasyikan membaca yang tersendiri. Bukankah apabila kita menghadiri sesuatu pesta, misalnya pesta menyambut Tahun Baru yang sering dirayakan oleh anak-anak muda, mereka akan tenggelam dalam keseronokan dan ekstasi yang tersendiri. Demikianlah membaca yang juga mempunyai ekstasi yang tersendiri. Cuma yang harus dibezakan ekstasi 'mana' yang memberikan kesan mendalam."

Quindlen dengan reputasinya yang pernah menjadi kolumnis surat khabar The New York Times memang layak menerima pujian Braker itu. Quindlen merupakan wanita ketiga dalam sejarah surat khabar tersebut yang beroleh kesempatan menulis kolum 'pendapat' yang amat berpengaruh itu. Dia juga pernah memenangi Pulitzer Prize untuk kategori komentar pada tahun 1992. Koleksi tulisan kolumnya dibukukan menjadi Thinking Out Loud yang diterbitkan oleh Random House dan duduk di deretan buku terlaris The New York Times selama lebih daripada tiga bulan. Quindlen juga menulis tiga buah novel terlaris iaitu Object Lesson, Black and Blue dan One True Thing yang kemudiannya difilemkan dan dibintangi oleh Meryl Streep.

Dengan pengalamannya yang panjang, Quindlen seperti ingin membahagikan sejarah dirinya sebagai penulis sekali gus pembaca dalam kapasitinya yang otoritatif. Dalam How Reading Changed My Life, Quindlen berupaya mengaitkan pengalaman membaca dengan kebiasaan membaca, dan bagaimana semua itu berubah dari waktu ke waktu. Dalam bukunya itu, Quindlen secara otoritatif membuat daftar atau senarai buku yang mampu 'menggiurkan' perasaan banyak 'ulat buku' atau pencinta buku. Dia menyenaraikan 10 buku yang boleh membantu remaja berasa lebih manusiawi; 10 novel moden yang membuat saya (Quindlen) bangga menjadi penulis; dan 10 buku bukan fiksyen yang membantu kita memahami dunia.

Bagi Quindlen, membaca buku bukanlah semata-mata sarana untuk menghimpun pengetahuan, tetapi juga cara untuk memperkuatkan hubungan emosi, mendalami realiti kehidupan, bahkan menghadapi cabaran ketidakadilan. Menerusi karya The Forsyte Saga karya John Galsworthy, dia mengakui telah membentuk kematangan psiko-seksualnya. Karya Charles Dickens pula telah mendorong lahirnya komitmen liberal untuk menentang ketidakadilan sosial.

Dalam kategori '10 buah buku yang akan saya selamatkan bila terjadi kebakaran', Quindlen menyebut antara lain, Bleak House karya Charles Dicken, Anna Karenina karya Leo Tolstoy dan The Collected Works of W.B. Yeats serta The Collected Plays of William Shakespeare. Manakala buku The French Lieutannant's Woman karya John Fowles dan The Bluest Eye karya Toni Morrison merupakan dua di antara 10 novel moden yang membuat Quindlen bangga menjadi penulis. Karya The Adventures of Sherlock Holmes oleh Arthur Conan Doyle dan The Spy Who Came in From the Cold karya John Le Carre, dimasukkan pula dalam senarai '10 novel misteri yang paling saya sukai untuk dibaca pada musim panas'.

Buku How Reading Changed My Life bukan sahaja menunjukkan keluasan bacaan Quindlen, bahkan memperlihatkan membaca adalah cinta abadinya. Dia membandingkan membaca buku seperti pertemuan dua sahabat yang akrab iaitu buku dan pembaca yang mana kedua-duanya menjadikan aktiviti hidup kita lebih bermakna. Pada hemat penulis, buku How Reading Changed My Life merupakan realisasi semangat dan budaya Iqra' yang dianjurkan al-Quran dalam kehidupan kita.

Sumber asal: Kosmo! Online

Buku Adab Nusus dan Balaghah

Bismillahirrahmanirrahim dan Assalamualaikum kepada semua yang sudi berkunjung ke blog Dar Nur al-Zahra'. Semoga anda semua sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT. Hari ni nampaknya cuaca di luar sana amat cerah sekali. Terasa hari ni kami akan dapat melaksanakan kerja dengan lebih produktif dan ceria secerah matahari pagi.

Kedengaran para ibu sedang mengalunkan ayat-ayat suci al-Qur'an dari bilik tutorial di sebelah pejabat saya ini. Sungguh merdu sekali. Inilah untungnya pejabat di sebelah bilik yang sering disewa oleh kaum ibu sekitar perpustakaan ini untuk kelas Bahasa Arab dan juga kelas Tajwid pada setiap hari Selasa dan Rabu. Dapatlah saya menadah telinga mendengar kelas mereka berjalan. Itupun kalau pintu pejabat ini dibuka sedikit. Jika tidak memang langsung saya tidak dapat mendengarnya.

Saya kagum melihat usaha kaum ibu ini yang kebanyakannya ialah bekas kakitangan kerajaan atau pun swasta yang telah bersara. Tapi ada juga yang semuda 30an turut menyertai kelas tersebut. Saya respek dengan mereka yang sanggup datang semata-mata untuk menguasai bahasa al-Qur'an dan membetulkan bacaan masing-masing. Sayangnya tak pernah sekali pun saya melihat anak-anak muda belia (bawah 30an) yang ingin mencontohi mereka. Mungkin juga kerana kelas mereka diadakan di waktu pagi hari bekerja sebab itu tiada orang muda menyertainya. Wallahu'alam.

Di waktu pagi ni biasanya pengunjung tetap akan datang untuk membaca akhbar di Ruang Keluarga. sudah terlalu biasa dan kenal dengan mereka, kami sempat bertegur-sapa sebentar sebelum saya beredar ke pejabat. Suasana dalam perpustakaan terasa nyaman dan tenang. Agaknya sebab itulah yang datang di waktu pagi ini kebanyakannya orang dewasa. Hendak mencari ketenangan barangkali. Kalau ada bunyi pun datangnya dari suara-suara kami yang sibuk ke sana ke mari membuat kerja masing-masing sambil tegur-menegur. Jangan hairan, perpustakaan ini tidak sesunyi perpustakaan awam yang lain.

Di sebelah petang barulah suasana menjadi agak hangat kerana semakin ramai pengunjung terutama pelajar sekolah dan pelajar kolej yang datang membuat rujukan atau pun mengulangkaji. Di musim ini yang paling ramai mengunjungi kami ialah pelajar sekolah menengan agama yang sibuk mencari buku-buku Adab Nusus dan Balaghah. Saya minta maaf ya, saya sendiri kurang arif tentang buku-buku ini tapi saya tahu buku mana yang mereka cari. Setelah hampir beberapa tahun suasana hiruk-pikuk pelajar agama menyerbu Zahra' untuk buku-buku ini, kami telah membuat keputusan menyediakan rak khusus di bahagian bawah untuk buku-buku ini. Alhamdulillah. Senang. Bila mereka datang lebih mudah kami memantau mereka di sudut tepi. Jangan tak percaya, buku kami telah ada yang dicuri kerana banyak permintaan hingga kami terpaksa membuat beberapa salinan.


Inilah contoh buku yang sering dicari pelajar agama. Buku yang asal terpaksa kami letak di rak Rujukan Khas kerana hampir lunyai dikerjakan para pengunjung. Setiap tahun, itulah yang berlaku.

Sejak dua minggu lepas, hari Sabtu menjadi hari yang paling sibuk terutama di kaunter fotostat, saya rasa ia akan berlarutan hingga ke hujung bulan ini. Selepas itu ia akan tenang kembali. Tapi masih ada pelajar-pelajar yang suka melambat-lambatkan kerja sekolah mereka. Tentu ada yang datang di saat akhir (ada yang sanggup ponteng) untuk membuat rujukan. Adik-adik ini memang kekalutan. Nasib mereka baik kerana kakitangan kami terutama Pn. Dila dan Pakcik Aziz akan sudi membantu.

Buku-buku ini masih belum cukup. Kami hanya ada lebih 20 tajuk sedangkan peminatnya terlalu ramai. Kami amat memerlukan tambahan kepada buku dalam tajuk ini. Jika ada di kalangan pembaca yang ingin bermurah hati menyumbang, terutama yang ada koleksi kitab-kitab Arab, sudilah menyumbang kerana bajet kami untuk membeli buku baru teramatlah kecil.

Monday, April 13, 2009

Sedang dibaca

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini sekadar berkongsi buku yang sedang saya baca yang terdapat di dalam perpustakaan kami. Bukunya adalah seperti yang ada di dalam gambar di sebelah.

Sudah lama saya mengambil masa untuk mula membaca buku ini tapi baru minggu ini saya berpeluang memulakannya. Walaupun hampir setiap hari saya bekerja bersama pelbagai jenis buku yang menarik, namun bukanlah mudah untuk duduk sejenak untuk membacanya. Kalau di awal saya bekerja dulu saya punya agak banyak masa untuk berbuat demikian tapi kini sangat berbeza. Mungkin kerana ketika itu belum ramai kakitangan dan pengunjung yang datang ke Zahra' ini dan kerja pun masih belum bertimbun. Tapi hari ini dalam kesibukan, saya tetap berusaha untuk membaca mana-mana buku yang bagus yang ada di dalam Zahra'.

Saya tidak pandai menulis ulasan buku dan akan terkial-kial untuk menyudahkan satu ulasan yang saya rasa boleh dibenarkan orang lain membacanya. Oleh sebab itulah saya jarang melakukannya.

Berdasarkan apa yang saya baca sepintas lalu, buku Ibn Qayyim ini memfokuskan kepada perkara DOSA yang memang amat mudah dilakukan oleh manusia. menurut beliau, DOSA ini memiliki daya tarikan yang tersendiri bagi manusia. Sesiapa sahaja boleh melakukannya sama ada secara sedar atau tidak. Sesetengah orang menganggap DOSA ini satu permainan yang sungguh mengasyikkan ataupun ibarat makanan yang sungguh lazat bagi orang yang kelaparan atau air segar bagi mereka yang sedang kedahagaan. Kita sering alpa yang DOSA itu apabila semakin banyak dilakukan akan bertimbun menjadi tabir yang menghalang kita dari melihat kebenaran yang terpampang di hadapan kita.

Ibn Qayyim mengatakan setiap kali satu DOSA dilakukan ibarat satu tompok hitam di atas hamparan hati manusia. Semakin banyak DOSA semakin bertambah tompokan hitam tersebut. Maka hati pun menjadi semakin kelam kerana banyaknya tompokan hitam itu.

DOSA yang manusia lakukan, tidak terhingga banyaknya, berbagai ragam dan berbagai jenis sehingga nyaris mengotori langit Allah. Beliau ibaratkan DOSA itu sebagai penyakit yang boleh mematikan yang merebak ke seluruh pelusuk bumi. Kalau bukan kerana rahmat-Nya sudah tentu tidak akan bersisa satu apa pun benda di atas dunia ini kerana dihukum Allah atas dosa manusia.

Lau adakah ubat penawar dan terapinya? Yang pasti, allah tidak menurunkan penyakit, melainkan juga menurunkan ubat penawarnya.

Ketika seseorang melakukan dosa, kederhakaan atau maksiat, apa kira-kira yang melintas di dalam sanubarinya? Adakah perasaan senang dan gembira kerana dapat menikmati keseronokan? Atau adakah seronok melakukan DOSA itu hingga lupa bahawa kita sedang melawan Zat Yang Maha Segalanya?

Makin seronok rasanya membaca buku ini. Tapi entah bila dapat dihabiskan bacaannya.