Peminat Perpustakaan

Sunday, January 24, 2010

Facebook: Anda penentu halal haramnya

oleh: Mohd Alif (Harakahdaily.net)


Laman jaringan sosial Facebook atau singkatannya FB, kini terus menjadi fenomena bagi pengguna internet di Malaysia.

Penggunanya dikatakan bukan sahaja sahaja merangkumi peringkat usia kanak-kanak, remaja dan dewasa malah sehingga golongan berumur lebih dari 50 tahun.

Menurut laporan statistik terkini yang dikeluarkan syarikat Facebook, mereka kini mempunyai 350 juta pengguna aktif diseluruh dunia.

Dari jumlah itu, seramai 1.1 peratus atau 3.85 juta penggunanya adalah rakyat negara Malaysia dan sebilangan darinya adalah pengguna Islam.

Manakala lebih daripada 65 juta juta pengguna aktif  Facebook juga mengakses melalui peranti mobile mereka.

Facebook produk Yahudi?


Hukum penggunaan Facebook ini pernah menjadi pertikaian di kalangan pengguna Islam apabila terdapat maklumat yang mendedahkan pengasasnya, Mark Zuckerberg adalah seorang Yahudi sekaligus meletakkan bahawa ianya adalah produk bangsa itu.

Malah lebih berat lagi apabila maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya menyebut Mark Zuckerberg menggunakan perniagaan Facebooknya membiayai Israel menyerang umat Islam di Gaza, Palestin tersebar luas di kalangan pengguna Islam.

Polemik itu juga telah menyebabkan ada kumpulan tertentu melancarkan kempen boikot dengan menyeru orang Islam tidak lagi menggunakan jaringan Facebook kerana didakwa boleh membawa kepada haram akibat menguntungkan Yahudi.

Namun menjadi persoalan adakah betul jika pengharaman dibuat atas asas bahawa ianya hanya produk Yahudi?

Nabi Muhammad SAW diriwayatkan dalam hadis yang sohih telah berurusan dan membuat transaksi jual beli dan cagaran dengan seorang yahudi, iaitu:

أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ

Ertinya : "Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW" ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)

Ianya menjelaskan bagaimana Islam membenarkan umatnya membeli, menjual, menggunapakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi, selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal.

Mengharamkan pembelian atau penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan hanya dengan alasan ia milik Yahudi, boleh mengheret kita terjebak kepada perbuatan MENGHARAMKAN APA YANG HALAL, yang mana perbuatan itu sama buruknya dengan MENGHALALKAN APA YANG HARAM.

Malah perbuatan anti Yahudi secara semberono begitu adalah bersifat perkauman yang dibenci oleh Islam.

Bila Facebook menjadi Haram

Hukum mengguna dan membuka akaun Facebook pada asasnya adalah 'Harus' atau dibenarkan selagi tidak melanggar batas syariat Islam.

Malah jika ia digunakan untuk kemaslahatan (kebaikan) Islam, maka ia menjadi sangat digalakkan.

Namun ianya boleh menjadi haram jika kemudahan jaringan sosial ini disalahguna bergantung kepada matlamat seseorang.

Facebook sepatutnya dijadikan sebagai alat komunikasi bersama rakan-rakan, medan perbincangan, ruang merapatkan ukhuwwah dan menambah pengetahuan secara berhemah.

Malangnya ada diantara kita membuka akaun Facebook hanya untuk suka-suka, betul-betul untuk 'bersosial' tanpa ada sebarang tujuan bermanafaat.

Apatah lagi, Facebook kini juga dilengkapi aplikasi 'third party' seperti kuiz dan permainan online.

Keasyikannya kadang-kadang mampu menjadikan pengguna itu ketagih dan hanyut dalam dunia sendiri sehingga melupakan dunia luar.

Maka tidak hairanlah jika kajian Facebook sendiri menyebut rata-rata penggunanya menghabiskan lebih dari 55 minit sehari mengadap laman ini.

Islam melihat mereka yang menghabiskan masa di Facebook dengan aplikasi yang melalaikan tanpa sebarang tujuan, boleh menjadi haram sama seperti pembabitannya dalam aktiviti kosong yang lain.

Malah lebih teruk lagi jika penggunaannya membuahkan fitnah menyebabkan institusi keluarga, masyarakat dan negara menjadi porak peranda.

Dalam satu kes yang berlaku 24 Januari 2009, seorang pemuda, Edward Richardson yang berasal dari London, dihukum penjara 18 tahun kerana membunuh isterinya Sarah, setelah mengetahui isterinya itu menukar status 'maried' kepada 'single' pada profile Facebooknya.

Beberapa kes lain juga berlaku termasuk dalam negara ini sehingga terdapat kes seseorang individu itu disiasat oleh pihak berkuasa kerana komen-komennya dalam blog yang berbaur hasutan dan ancaman yang didakwa boleh mewujudkan ketegangan.

Maka persoalan haram dan halal berhubung perkara ini wajar dipulangkan kepada pengguna masing-masing.

Hanya anda tahu bagaimana anda menggunkan kemudahan jaringan sosial ini sama ada memberikan banyak manfaat atau mudarat.

Tepuk dada tanya Iman..

Tuesday, January 19, 2010

Buku baru yang seronok dibaca

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung dan pencinta-pencinta ilmu. Selawat dan salam kepada Nabi junjungan kita Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam.

Di pagi yang dingin dan indah ini saya ingin berkongsi dengan anda semua beberapa buah buku baru yang terdapat di perpustakaan kami. Buku-buku ini dibeli menggunakan peruntukan belanjawan tahunan kami iairu sebanyak RM2,000.00 setahun. Kami membahagikan setahun kepada empat suku operasi bagi memudahkan kami sentiasa menyediakan buku baru untuk bacaan pengguna.

Pemilihan buku adalah tertakluk kepada tiga kategori pengguna iaitu kanak-kanak, pelajar/belia dan orang dewasa. Kebanyakan buku pula dibeli dari beberapa kedai buku utama di bandar Kota Bharu seperti MariBaca (buku kanak-kanak), Jaafar Rawas (buku dewasa dan agama), SMO/Popular (buku-buku remaja/belia).

Inilah antara sebahagian buku terbaru kami yang boleh diperolehi di Ruang Keluarga.


Novel kanak-kanak dan remaja

Selain novel yang kebanyakannya terbitan PTS, kami juga mendapatkan buku-buku terbaik untuk semua peringkat umur seperti:



Tahun ini kami berhasrat untuk mendapatkan lebih banyak buku-buku menarik terutama buku berbahasa Arab di bidang-bidang tertentu yang sering menjadi rujukan ramai pelajar kolej sekitar Kelantan dan luar Kelantan seperti KIAS, APIUM, USIM, UIA, UM, UKM dan sebagainya.

InsyaAllah dari kesudian para pengunjung yang sudi mengisi Tabung Derma kami, buku-buku baru akan terus kami sediakan agar pengunjung tidak serik untuk terus berulang ke perpustakaan ini.

Tahun ini, banyakkan jumlah bahan bacaan kita agar ilmu kita makin bertambah.

Saturday, January 16, 2010

Sepanduk baru



Assalamualaikum semua.

Apa pandangan anda semua terhadap sepanduk baru yang akan dicetak ni?

Saturday, January 2, 2010

Wujudkan perpustakaan di mana-mana

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, kita kini sudah pun berada di tahun baru hijrah 1431 dan kini di hari kedua tahun 2010. Sempena tahun baru ini Dar Nur al-Zahra' akan terus berusaha untuk memantapkan lagi prestasi perkhidmatan kami kepada semua pengunjung. Kami juga berharap pada tahun ini semakin ramai orang yang akan berkunjung ke perpustakaan ini untuk menambah ilmu dan mencari rujukan.

Semalam saya ada membaca di dalam Kosmo Online mengenai perpustakaan di dalam pasaraya. Walaupun saya pernah mendengar mengenainya namun itulah kali pertama saya melihat sedikit gambar dan berita mengenai salah sebuah perpustakaan berkenaan di negara ini. Rujukan beritanya seperti di bawah:

Perpustakaan dalam pasar raya


Perpustakaan Siber Ilmu AEON Jusco yang dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang menerima sekurang-kurangnya 100 pengunjung setiap hari.






MEMBACA sambil membeli-belah. Bunyinya tidak pelik, tetapi menarik terutama bagi ulat buku yang pada masa sama ingin menghabiskan masa bersantai di kompleks beli-belah.

Menyedari penyediaan perkhidmatan itu mampu memberi nilai tambah kepada pengunjung, pihak pengurusan Pusat Membeli-belah AEON Jusco Seberang Perai City di Bandar Perda, Bukit Mertajam tampil bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP).

Pusat beli-belah adalah sebuah lokasi yang paling ramai dikunjungi masyarakat pelbagai peringkat usia dan latar belakang tanpa mengira waktu. Kerjasama kedua-dua pihak terbabit dimeterai pada 22 Ogos 2008 apabila sebuah perpustakaan mini beroperasi di AEON Jusco.

Dikenali sebagai Perpustakaan Siber Ilmu AEON Jusco, ia disediakan secara percuma oleh pengurusan AEON Jusco Seberang Perai City - PPAPP dengan koleksi hampir 4,000 naskhah bahan bacaan, lebih 300 bahan media termasuk CD-Rom, kaset dan video serta hampir 350 majalah di setiap rak kawasan berkeluasan 398 meter persegi.

Setelah lebih setahun dibuka, jumlah pengunjungnya melebihi 150 orang pada cuti hujung minggu dan cuti sekolah termasuklah ketika menjelang musim peperiksaan.

Kemudahan

Walaupun hanya mempunyai keluasan menyamai sebuah rumah pangsapuri, ia masih mampu menampung limpahan pengunjung daripada pelbagai lingkungan usia.

Ini kerana setiap bahan yang terdapat di dalam perpustakaan berkenaan diletakkan di setiap sudut berbeza bagi memberi kemudahan kepada pengunjung.

Malah sudut bagi kanak-kanak juga diasingkan daripada sudut pengunjung remaja dan dewasa bagi membolehkan mereka menikmati keadaan yang selesa ketika mentelaah setiap bahan bacaan yang dicapai.

Begitu juga dengan sudut media menempatkan kaca televisyen yang turut diasingkan daripada ruangan membaca yang sudah semestinya mengutamakan suasana yang lebih tenteram dan sunyi.



PUSAT beli-belah AEON Jusco Seberang Perai menawarkan kemudahan perpustakaan kepada pengunjungnya.



"Kami yakin dengan pembukaan perpustakaan mini di pusat beli-belah seperti di AEON Jusco Seberang Perai City ini, kami mampu mencapai matlamat untuk menjadikan membaca sebagai satu amalan dalam kehidupan masyarakat kita.

"Kami juga merasakan ia sebagai satu kemudahan kepada masyarakat untuk mengunjungi perpustakaan di samping mereka membeli-belah," kata seorang Penolong Pegawai Perpustakaan PPAPP.

Menjadi perpustakaan ketiga yang dibuka di pusat membeli-belah di Pulau Pinang selepas di Komtar (Kompleks Tunku Abdul Razak) di George Town dan Kompleks Mayang di Bayan Baru, kewujudan Perpustakaan Siber Ilmu AEON Jusco dilihat mampu memberi nilai tambah kepada PPAPP dalam usaha menambat hati masyarakat terhadap budaya membaca.

Tabiat membaca

Malah PPAPP turut yakin dengan langkah bijak yang diambil melalui kerjasama AEON Jusco Seberang Perai City. Ia dilihat mampu menambah minat masyarakat untuk mendekatkan diri dengan gedung ilmu yang menempatkan 1,001 pengetahuan.

PPAPP yang diterajui pengarahnya, Shukriah Yon komited bagi menjayakan usaha memikat hati masyarakat dengan menjadikan tabiat membaca sebagai satu amalan dalam kehidupan mereka.

Menanam minat membaca dalam kalangan masyarakat bukanlah satu perkara yang mudah, apatah lagi ketika dunia sedang menongkah arus alam siber. Kempen sahaja belum cukup untuk menjadikan aktiviti membaca sebagai satu tabiat dalam kehidupan masyarakat.



KESELESAAN antara faktor penting yang ditekankan di Perpustakaan Siber Ilmu AEON Jusco Seberang Perai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.



Justeru tidak hairanlah sejak ditubuhkan pada Ogos 1972 sehingga kini, PPAPP sudah mempunyai lima cawangan perpustakaan di seluruh negeri (tidak termasuk sebuah perpustakaan cawangan yang sedang dalam pembinaan di Bertam, Kepala Batas) dan sebuah perpustakaan kanak-kanak.

Jabatan itu turut mengoperasikan dua perpustakaan dalam kategori pekan, 50 perpustakaan Komuniti Siber Ilmu dalam kategori desa selain 28 lagi perpustakaan sama milik Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang dikawal-selia oleh PPAPP.

Jumlah tersebut tidak termasuk 12 buah bas yang dijadikan perpustakaan bergerak, tiga buah Perpustakaan Siber Ilmu yang dibuka di pusat beli-belah di Pulau Pinang dan sebuah perpustakaan negeri yang beroperasi di Seberang Jaya.

Melihat kepada kejayaan perpustakaan mini di pusat beli-belah, pengurusan PPAPP kini mengorak langkah untuk membuka lebih banyak perpustakaan konsep sama dengan kerjasama pihak pengurusan kompleks masing-masing bagi menyemarakkan lagi budaya membaca.

Menarik sekali!

Saya memang sukakn sesuatu yang baru terutama kalau ia ke arah menggalakkan masyarakat kita suka membaca. Usaha syarikat AEON ini amatlah dihargai kerana kini kita mempunyai alternatif kepada perpustakaan konvensional yang sedia ada. Pada saya, untuk menggalakkan masyarakat kita sukakan buku dan suasana ilmu, penggiat-penggiat buku dan ilmu mestilah kreatif dalam menarik minat mereka.

Kalaulah saya berkemampuan, sudah tentu saya berusaha menurut jejak langkah syarikat tersebut dengan membuka sebuah perpustakaan di dalam mana-mana pusat membeli-belah di negeri ini. Insyaallah, suatu hari nanti mungkin hajat ini menjadi kenyataan.