Peminat Perpustakaan

Monday, May 31, 2010

Kenyataan Media HALUAN Mengenai Serangan Israel Ke Atas Kapal Misi Keamanan

PEMBUNUHAN TERBUKA DI LAUT LEPAS

Dunia Menjadi Saksi Atas Kekejaman Dan Sikap Keganasan Israel Di Perairan Antarabangsa Laut Mediterranean

KUALA LUMPUR, Mei 31 – PERBUATAN jijik dan amat memalukan yang dilakukan oleh rejim Israel pada hari ini dengan mengarahkan komando tentera lautnya menyerang kapal misi kemanusiaan Lifeline for Gaza (LL4G) “MV Mavi Marmara” sehingga mengakibatkan 20 orang terbunuh dan puluhan lagi penumpang yang tidak bersenjata cedera terkena tembakan telah menzahirkan betapa kejam dan ganasnya rejim Israel yang terkutuk itu.

HALUAN Malaysia selaku ketua NGO delegasi Malaysia ke LL4G dengan ini mengajak seluruh lapisan masyarakat, tidak kira kaum ataupun agama, agar segera mengutuk dan mencela Israel atas sikap kurang ajar mereka ke atas pelayaran damai (Freedom Flotilla) yang membawa barangan keperluan hidup harian kepada penduduk Gaza yang semakin terhimpit dek tekanan ketenteraan, ekonomi dan kemanusiaan oleh rejim Israel di bawah pemimpin-pemimpin mereka yang mendapat dokongan kuat Amerika Syarikat dan Britain.

“Kami ingin menegaskan bahawa penindasan Israel ke atas rakyat Palestin dan kini pembunuhan terbuka di atas kapal penumpang “MV Mavi Marmara” dengan penggunaan peluru hidup ke atas penumpang yang sedang tidur telah menzahirkan sikap ganas Israel yang jelas menyalahi undang-undang antarabangsa dari segi hak asasi kemanusiaan mahupun undang-undang maritim antarabangsa yang menegaskan bahawa tiada suatu negara pun berhak bertindak sewenang-wenangnya di perairan antarabangsa. Jelaslah Israel telah bertindak ala samseng dunia. Kini satu dunia mengutuk Israel dan konco-konconya,” tegas Prof. Madya Dr. Abdullah Sudin Abdul Rahman, Presiden HALUAN Malaysia.

“Kami ingin menegaskan bahawa seluruh penduduk dunia yang diwakili oleh para sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama dari lebih 50 buah negara yang berada di atas kapal tersebut itu, mengutuk sikap Apartheid yang ditunjukkan Israel itu sebagai satu tindakan yang amat kejam. Israel telah sedar bahawa modus operandinya selama ini untuk decimate ataupun meluluhkan bilangan rakyat sah warga Palestin daripada tanah tumpah darah mereka sendiri sebagai suatu tindakan bangsa yang bangkrap adab, akhlak, idea dan tamadun. Israel sudah tahu bahawa sudah ada gerakan antarabangsa yang kini sedang menjadi arus penentangan ke atas polisi luarnya yang amat menindas dan amat tidak berperikemanusiaan. Dakwaan mereka sebagai negara “underdog” yang dikepungi negara-negara Islam sudahpun lapuk dan kini Israel mahu mempamerkan yang ia mampu berlagak samseng di mata dunia untuk melangsungkan agenda kejinya itu. Ketahuilah, bahawa warga dunia tidak akan berpeluk tubuh terhadap sikap Apartheid Israel itu. Dunia TIDAK akan memaafkan Israel,” ujarnya lagi.

Pada bulan April yang lepas, Dr Abdullah Sudin Abd Rahman menegaskan di dalam suatu sidang akhbar bahawa penglibatan HALUAN di dalam misi LL4G ini adalah untuk “expose to the public the crimes which is being inflicted by the Zionist Israel regime and its allies upon the citizens of Gaza and the Palestinian Nation as a whole”. Kini, buktinya telahpun jelas lagi nyata.

Rejim Israel mengisytiharkan bahawa permusuhan mereka bukan hanya kepada orang Islam tetapi semua bangsa dan agama yang menentang agenda zionisnya. Sebab itulah tanpa rasa malu mereka telah memusnahkan masjid, gereja, hospital, sekolah, universiti, kompleks pentadbiran, stesen janakuasa elektrik, tadahan air minuman dan semua yang diperlukan untuk kelangsungan hidup.
Rejim ganas ini PERLU disekat oleh kita semua, rakyat Malaysia.

HALUAN dengan ini menegaskan bahawa kami melalui gabungan semua NGO dan badan-badan lain yang menentang sikap degil dan kejam Zionis Israel akan “Bersatu Untuk Palestin”. Kami menyeru semua lapisan rakyat Malaysia agar menulis surat atau emel kepada Duta Besar Amerika, Britain dan Mesir di Malaysia untuk menyatakan solidariti kita menentang sikap mereka yang menyokong bangsa dan negara Israel yang terang-terangan amat keji itu.

Akhirnya kami memohon dan merayu kepada seluruh rakyat Malaysia supaya berdoa dan bermunajat kepada Allah agar menyelamatkan semua sukarelawan yang menyertai LL4G dan menghancurkan Israel laknatullah.

Siaran Media
Hubungi: Encik Amran Baharum
Telefon: (+6) 019-225 4105 /251 4105
Web : www.lifeline4gaza.org
Emel : media@lifeline4gaza.org
Mei 31, 2010

What an interesting book to read for your little ones.

Little Croc's Purse
Finders keepers? Or honesty rewarded?

Buku cerita bergambar ini sangat menarik kerana ia mengisahkan seekor anak buaya yang bersikap jujur. Hari ni ramai di kalangan kanak-kanak sudah pandai menipu, mencuri dan mengambil hakmilik orang lain tanpa izin tuannya. 

Sikap anak buaya ini amat baik kerana apabila ditakdirkan dia bertemu sebuah beg dompet semasa bermain-main dengan rakan-rakannya, dia mengambil langkah yang bagus dengan menghantarnya kepada pihak polis. Tindakan anak buaya ini menunjukkan betapa mulainya sikap jujur beliau.

Selain itu kisah ini juga menceritakan apabila kita bersikap jujur kita akan dibalas dengan kebaikan juga. Buat baik akan dibalas baik kata orang tua-tua. Contohilah sikap anak buaya , Little Croc di dalam buku ini.

Selamat membaca! Buku ini adalah sumbangan ACT Health Australia bagi mengingati mendiang Danny Lee yang menderma organ di Canberra, Australia.

Sunday, May 30, 2010

26 Mei 2010: Lawatan dari Tadika Ilham Murni

Bismillah.

Setelah sekian lama, kami sekali lagi menerima kunjungan dari tetamu-tetamu cilik seramai 40 orang lebih dari sebuah tadika yang hebat, Tadika Ilham Murni.

Permohonan untuk mengadakan lawatan ke Perpustakaan Dar Nur al-Zahra' telah dihantar sejak awal Mei lagi dan kami sememangnya sangat mengalu-alukan kedatangan pelawat-pelawat ini.

Sebagai kenangan, kami sempat mengambil gambar semasa lawatan tersebut.

Rombongan sampai dalam pukul 11 pagi dengan diiringi 8 orang guru.

Berpakaian warna berbeza mungkin untuk membezakan usia mereka antara 4 hingga 6 tahun.

Beratur mengikut kumpulan untuk melawat ke tingkat atas perpustakaan.

Melangkah dengan berhati-hati menggunakan tangga untuk naik ke atas.

Menanti tayangan VCD Budi Bahasa.

Alahai... comel, comelnya... adik-adik ni.

Guru-guru pengiring kita sediakan kerusi di bahagian belakang.

Sedia untuk tayangan.

Semuanya menumpukan perhatian ke kaca televisyen.

Kanak-kanak awal wajah mereka sangat mulus walau ada yang suka nakal-nakal.

Guru-guru pun dapat menonton sama VCD yang belum pernah mereka lihat sebelum ni.

Khusyuk.

Selepas sesi tayangan video, murid-murid dibenarkan untuk memilih buku dan membaca setakat yang sempat.

Bergambar beramai-ramai di depan pintu masuk Dar Nur al-Zahra' sebelum bertolak ke destinasi seterusnya.

Beratur sekali lagi untuk menaiki bas.

Pengusaha @ Pengurus Tadika Ilham Murni, Pn. Zubaidah Razak menghadiahkan perpustakaan dengan sejambak bunga hiasan. Terima kasih ya.

Selamat jalan! Tahun depan, jemput datang lagi!


Thursday, May 27, 2010

22 Mei 2010: Sumbangan buku dari ACT Health, Canberra Australia sampai

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung blog Perpustakaan Dar Nur al-Zahra'.

Pada minggu lepas kami telah menerima 8 kotak buku yang disumbangkan oleh ACT Health, Australia sebagai tanda penghormatan kepada penderma organ, mendiang Danny Lee dari Kota Bharu, Kelantan. Alhamdulillah, perpustakaan ini yang bertuah. Manfaatnya adalah kepada semua pengunjung.

Mari kita tengok gambar-gambar yang dirakamkan pada hari tersebut.

Sebanyak 7 beg mengandungi kotak-kotak buku sampai pada 22 Mei manakala satu lagi sampai keesokannya.

Semua buku telah dikeluarkan untuk diperiksa kondisinya.

Pelbagai genre, dari buku kanak-kanak hinggalah fotojurnal.

Buku keibubapaan dan ibu mengandung pun ada.

Pakcik Aziz yang suka berkebun seronok membelek buku-buku tentang berkebun yang banyak.

Mr. George, bapa kepada mendiang Danny Lee yang tiba beberapa minit selepas lori poslaju beredar. Terima kasih Mr. George.

Kamus pun ada beberapa naskah dari penerbit yang berlainan.

Bagi pihak kakitangan Perpustakaan Dar Nur al-Zahra', saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pn. Hasnah Hariri/Scheding yang banyak memainkan peranan dalam memastikan buku-buku ini sampai ke sini. Jasa baik beliau amat kami hargai. Semoga Allah rahmati beliau sekeluarga.

Insyaallah kami sedang mengkatalog buku-buku tersebut dan akan ditempatkan di ruangan khas di tingkat 2 perpustakaan ini sebagai mengenang mendiang Danny Lee.

Saturday, May 15, 2010

Ulasan buku: Aminah Bunga Kaum Quraisy

AMINAH adalah bonda junjungan besar kita, Nabi Muhammad. Perjalanan hidupnya singkat, namun beliau diuji dengan pelbagai peristiwa yang boleh dijadikan inspirasi kepada semua.
Bunga kaum Quraisy bernama Aminah Wahab adalah seorang anak yatim piatu yang dipelihara bapa saudaranya, Wuhaib Abdul Manaf.
Aminah seorang gadis kecil rupawan yang dibesarkan dalam keluarga berkenaan. Kebaikan pekerti dan budi bahasanya menjadikan Aminah disenangi semua orang. Beliau seorang yang pandai mengambil hati, ringan tulang serta berpandangan jauh. Dalam buku keluaran kali ini juga turut menceritakan detik dramatik apabila Abdul Mutalib perlu memilih seorang daripada anaknya sebagai korban.

Ia diceritakan secara terperinci episod cemas berkenaan sehingga membawa kegusaran pelbagai pihak termasuk Aminah sendiri ketika mendengar bakal kekasih hatinya mungkin dikorbankan sebelum mereka diijabkabulkan. Selain itu, kisah perkahwinan antara Aminah dan Abdullah juga diceritakan ketika mereka melalui saat cemas yang disampaikan secara teratur. Lebih dahsyat, pembaca pasti ingin tahu bagaimana perasaan Aminah apabila Abdullah terpaksa meninggalkan rumah sedangkan mereka masih dalam suasana berbulan madu.

Abdullah menemui Allah ketika Aminah sedang mengandungkan anak sulung mereka yang akhirnya menjadi pemimpin ulung umat Islam. Maka bermulalah episod dan perjalanan kehidupan Aminah sebagai ibu tunggal.
Tajuk: Aminah Bunga Kaum Quraisy
Penulis: Ezee Rahmani
Cetakan: Pertama
Harga: RM17.90 (Semenanjung) RM19.90 (Sabah dan Sarawak)
Muka Surat: 203 muka surat

Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/UlasanBuku_Aminahwanitacontoh/Article