Peminat Perpustakaan

Tuesday, October 12, 2010

Koleksi Buku Baru Suku Ke-4 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua pencinta ilmu.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, kerana untuk kali keempat tahun ini perpustakaan kami dapat membeli sejumlah buku baru untuk tatapan para pembaca. Kalau diikutkan hati saya mahu saja membeli setiap bulan buku baru tapi kami telah bersetuju untuk memperuntukkan RM2000 dari bajet tahunan kami untuk membeli buku baru.
Untuk membolehkan pengunjung sentiasa melihat dan mendapat akses kepada buku-buku baru, pihak perpustakaan telah membahagi empat peruntukan tersebut. Ini bagi membolehkan setiap 3 bulan kami akan membeli buku-buku baru. Buku baru insyaallah akan sentiasa menarik minat pembaca lebih-lebih lagi jika diletakkan di rak berpusing NEW ARRIVAL di Ruangan Keluarga.



Inilah semua buku yang telah kami beli pagi semalam.


Kali ini kami telah memasukkan beberapa naskah komik mengenail alam sekitar, haiwan dan pelbagai cuaca di dunia ini. Berdasarkan proses 'skimming' dan 'scanning' yang saya lakukan semasa membelek komik-komik tersebut, saya rasa isi kandungannya selamat untuk dibaca. Tambahan pula bahasa yang digunakan ialah Bahasa Melayu 'standard'.

Inilah pancing kami untuk pembaca dari golongan kanak-kanak dan remaja lelaki. Selama ini kami lihat golongan ini kurang minat membaca bahan bacaan yang ada. Kalau adapun cuma segelintir sahaja yang kebanyakannya dari latar belakang sekolah agama.

Moga-moga minat membaca mereka dapat disuburkan walaupun bermula dengan sebuah komik. Yang penting, mereka membaca, dan bahan bacaan itu bukan picisan.

Setiausaha

Saturday, October 9, 2010

Pertambahan Jumlah Pengunjung di Hari Sabtu

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Para peminat buku dan kaki perpustakaan semua,

Bersyukurlah kita hari ini masih mampu bernafas di bumi Allah ini dan berpeluang berkunjung ke perpustakaan lagi untuk membaca dan sebagainya. Hari ini, Perpustakaan kami menerima jumlah pengunjung yang sangat ramai berbanding hari-hari biasa. Syukur alhamdulillah kami mengambil tindakan untuk beroperasi di hari minggu, dapatlah para pelajar dan orang awam berkunjung ke sini.

Nampaknya ada yang tidak mendapat tempat duduk hari ini. Kesemua meja belajar yang ada telah penuh di semua tingkat. Kasihan pula pada yang baru sampai terpaksa membuat diskusi di sofa di Ruang Keluarga. Sabarlah ya adik-adik, insyaallah tidak lama lagi akan ada tempat kosong.

Tujuh orang kakitangan hari ini berkurang menjadi tiga orang sahaja kerana empat lagi bercuti atas pelbagai sebab. Tapi tidak menjadi masalah kepada kami. Insyaallah ramai atau sedikit, bila kita saling bekerjasama, operasi di perpustakaan ini akan berjalan dengan lancar.

Selamat berkunjung ke Perpustakaan Dar Nur al-Zahra'!

Tuesday, October 5, 2010

Cara-Cara Nak Rajin Baca Buku


Salam to all,

Ada di antara kita yang mendapati amat susah untuk memulakan sesuatu perkara terutama yang tidak disukai ataupun yang tidak pernah kita cuba. Akibatnya apa yang perlu dilakukan sering ditangguh untuk menanti bila ada mood, idea, masa, daya penggerak semangat atau motivator untuk push kita. Tunggu punya tunggu, akhirnya semua hilang. Mood hilang, idea hilang, masa terbuang, motivator lari. End up kita tidak buat langsung. Contoh yang paling ketara ialah membaca. Rakyat Malaysia masih dianggap tidak suka membaca. Kalau kita buat a quick survey di stesyen komuter, LRT, airport, stesyen bas dan tempat-tempat menunggu, kita boleh kira dengan jari tangan pun cukup...bilangannya tak sampai sepuluh yang kita lihat sedang membaca.Yang lain?, ada yang tidur, makan, bergayut ditelefon, mengumpat, dan termenung.

So, macam mana nak didik diri suka membaca?. Tips ini datang dari pengalaman saya sendiri.

Gambar hiasan dari BALTYRA.com

Pertama: Cari minat. Cuba perhatikan di sekitar kita, dalam kehidupan seharian, mesti ada sesuatu yang menarik minat kita. Contoh, kita suka shopping kasut atau handbags. Dari situ kita latih diri kita untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang kasut dan handbag. Ciri-ciri kasut macam mana sesuai untuk jenis kaki. Stail handbag bagaimana yang sesuai mengikut usia, bahan buatan yang tahan lasak, cara menyimpan beg. Selain itu mungkin kita juga ingin tahu tips penjagaan kaki, yang pastinya berkaitan dengan cara dan jenis kasut yang kita pakai. Apa kesannya jika kita selalu pakai kasut tinggi. Sudah pastinya kita akan dapat maklumat sebegini sama ada dalam internet ataupun dalam buku. Secara tidak langsung, kita akan didik diri untuk membaca.

Kedua: Jangan tamak. Semua nak buat. Mulakan minat dengan memfokus kepada satu-satu bidang dahulu. Kalau kita suka makan, mengapa tidak kita cuba masak?. Cari buku resipi dan cubalah pelbagai resepi. Kalau kita ni jenis suka makan di luar, kita fokus pada pengetahuan mengenai amalan pemakanan untuk kesihatan. Kalau kita suka pada pakaian cantik, carilah buku mengenai fesyen ataupun buku yang berkaitan dengan jahit menjahit. Kalau kita selalu tempah baju pada tukang jahit, bayangkan diri kita menjahit baju sendiri. Carilah buku belajar menjahit.

Ketiga: Reserve duit untuk buku. Pada setiap bulan, reserve sedikit wang untuk beli buku. Tidak perlu mulakan dengan yang mahal. Beli satu buku yang ada maklumat tentang apa yang kita mahu tahu. Yang harganya kurang dari RM10 pun buku juga. Saya percaya bahawa kualiti sesuatu buku tidak terletak pada harganya, tetapi ia terletak pada apa yang kita mahukan dari buku itu.

Keempat: Beli buku sendiri. Elak dari meminjam buku orang lain untuk kita baca. Nanti kita membaca tanpa kualiti kerana desakan masa untuk memulangkan buku. Kalau beli buku sendiri, kita akan membacanya kerana kita dah spend duit sendiri. Rugilah kalau tidak membaca.

Kelima: Masa. Buku dah dibeli. Jadi, kenalah baca. Bila nak baca?. Bila-bila masa yang kita tentukan sendiri. Jangan ada orang lain tetapkan masa untuk kita membaca. Dalam 24 jam, pasti ada 20 minit yang kita free. Bohong kalau ada yang kata tiada. Jangan pilih masa hendak tidur baru kita membaca. Ketika itu otak kita dah penat. Masa paling baik ialah ketika kita sedang menunggu. Dengan cara membaca, kta boleh atasi masalah jemu menanti, dalam masa yang sama kita dapat ilmu. Killing two birds with one stone. Sambil menyelam minum air.

Keenam: Buku depan mata. Maksudnya, kita kena letak buku di tempat yang kita selalu nampak, Kalau setiap minit kita nampak dia, tak kan tidak mahu jenguk isinya langsung.

Ketujuh: Berdikit-dikit. Lama-lama jadi bukit. Membaca buku tidak semesti kita mengadapnya dari mula sampai habis dalam satu waktu, macam kita baca novel Enid Blyton masa sekolah dulu. Take your time untuk selami kandungan dengan minat. Catat points yang menarik.

Kelapan. Catatan tarikh baca. Catat dengan pensil, tarikh pada setiap muka surat yang kita telah baca. Tujuannya untuk mengingatkan kita, bila kali terakhir kita baca buku itu. Anggapkan ini satu catatan yang sentimental dan personal bagi anda. Anggapkan ini tarikh jumpa buah hati. Apa rasa kalau lama tidak berjumpa?.

Kesembilan: Anggap membaca macam vitamin. Kalau tidak makan vitamin macam mana nak sihat?. Tenaga tidak ada untuk lakukan kerja. Lama kelamaan kita akan rasa lemah sangat. Begitulah otak yang tidak disemai dan dibaca dengan ilmu yang ada dalam buku.

Kesepuluh: Daftarkan diri untuk melanjutkan pelajaran. Pastinya kita kena membaca walaupun terpaksa. Dengan cara ini lama kelamaan kita akan jadi terbiasa.

Banyak lagi yang boleh dikongsi tapi nanti terlalu panjang pula nak dibaca.

Apa-apa pun, mulakan selangkah dahulu. JANGAN TUNGGU. Lakukan terus apa yang perlu dilakukan.

Selamat maju jaya. Semoga kita sama-sama berada dalam golongan orang yang minat membaca dan orang-orang yang mahukan otak sentiasa berkembang. Kurang membaca boleh menjadikan otak kita jadi TEPU. Bila otak dah tepu, mulalah kita akan memandang persekitaran kita dengan persepsi negatif sahaja akibat cetek fikiran. I'm sure we do not wish to be like that, kan? So, berjinak-jinaklah dengan amalan suka membaca.

Posted by Zaiyus

Program Wakaf Buku PTS

Artikel dipetik daripada blog http://kalamkhalifah.blogspot.com/ oleh Tuan Zahiruddin Zabidi, penulis buku PTS

Gambar hiasan dari Cerita Penulis Buku
Bulan Ramadan yang berlalu pergi mencatatkan 1001 kenangan dalam ingatan. Selain daripada dapat lagi bertemu dengan ibadah-ibadah sunat dan wajib yang hanya didapati dalam bulan Ramadan seperti berpuasa dan bertarawih, amalan-amalan sunat lain juga rancak berlangsung.

Masing-masing daripada kalangan umat Islam berebut-rebut menggondol ganjaran pahala dengan tawaran yang hebat daripada Allah sehinggakan pahala ibadah sunat diganjarkan dengan pahala ibadah wajib dan sebagainya. Ini tidak termasuk jika seseorang itu dipilih Allah bertamu kepada malam lailatul-qadr, malam seribu bulan.

Tidak salah jika dikatakan bulan Ramadan adalah bulan yang paling dinanti-nantikan oleh anak-anak yatim yang kurang bernasib baik dan sebagainya. Semoga bulan Ramadan juga menjadi bulan hiburan buat mereka walaupun agak tidak patut mereka hanya diberi perhatian pada bulan Ramadan sahaja.


Sedekah

Antara amalan sunat yang sangat dituntut dalam bulan Ramadan antaranya adalah sedekah. Rasulullah sendiri sebagaimana yang dilaporkan oleh isterinya Aisyah, menjadi sangat pemurah dalam bulan Ramadan.

Rasulullah menjelaskan melalui katanya yang direkod Imam Bukhari yang diambil daripada Abu Dzar yang bermaksud,“Beberapa orang sahabat Nabi Muhammad pernah berkata kepada beliau, ‘Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka.’

Jawab Rasulullah, “Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah.”

Mereka bertanya, ‘Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?’

Jawab Rasulullah, “Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala.”

Beberapa ayat al-Quran juga menjelaskan mengenai kelebihan bersedekah.

Allah menjelaskan dalam Surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud, “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

Dalam surah yang sama ayat 261 pula Allah menjelaskan kelebihan bersedekah dengan firmannya yang bermaksud, “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan Nya.”

Banyak lagi ayat al-Quran mahupun hadis Rasulullah yang menjelaskan tentang kelebihan bersedekah. Ini ditambah pula dengan kehadiran Ramadan yang menjanjikan segala amalan dinilai dengan nialaian yang berganda-ganda.

Di Malaysia juga tidak dinafikan ramai individu dan kumpulan-kumpulan tertentu yang mengambil peluang mengadakan program infaq mereka sendiri kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan lain-lain. Kebiasaannya sedekah ini adalah berbentuk makanan dan pakaian dan perkara yang berkaitan dengannya. Tidak kurang juga dengan membiayai perbelanjaan mereka menyambung pelajaran, membayar bil-bil tempat mereka dan sebagainya.

Namun, tanpa sedar masih ada sisi sedekah yang sangat penting kurang mendapat perhatian daripada masyarakat kita. Ianya adalah sejenis sedekah yang mampu menjana pahala yang berpanjangan sekaligus memberi mereka ilmu bagi digunakan di dunia dan akhirat.


Sedekah Ilmu

Beberapa pemerhatian dan soal selidik dibuat sekitar rumah anak yatim Lembah Kelang dan pihak kami mendapati hampir 90% daripada rumah anak-anak yatim ini tidak mempunyai perpustakaan bahkan sudut membaca sekalipun. Apatah lagi buku-buku bagi mengisi gizi tumbesaran minda dan sakhsiah mereka itu sendiri.

Ini adalah satu kerugian yang besar kerana peluang bagi anak-anak ini diasuh minat membaca adalah sangat besar.Mereka yang menginap di asrama mempunyai banyak lebihan masa yag wajar dididik agar lebih berminat membaca buku daripada asyik menonton televisyen dan sebagainya.

Justeru, pihak rumah penerbitan PTS Publication & Distributor Sdn. Bhd. bersetuju menjalankan program infaq Ramadan dengan menyedekahkan buku-buku yerpilih kepada rumah-rumah anak yatim tersebut.

Penyerahan yang dilakukan secara berperingkat mengikut rumah sukan masing-masing bebas memilih lokasi rumah anak yatim yang mahu mereka serahkan buku-buku beserta sebuah rak. Selain buku, pihak pengurusan juga berbesar hati memberikan sejumlah wang RM800 kepada setiap rumah sukan bagi digunakan sewajarnya bertujuan juga disedekahkan kepada rumah anak yatim tersebut. RM800 itu juga boleh ditukar dengan buku tambahan bagi mereka yang tidka mahu memberikan selain daripada buku dalam proses infaq mereka itu.


Berkongsi Program Sedekah Ilmu

Berita baik kepada sesiapa sahaja di luar sana yang berminat memberikan infaq ilmu yang diyakini pahalanya berpanjangan ini adalah pihak PTS juga sudah membuka penyertaan kepada mereka yang berminat bagi turut menyumbang sama dalam program ‘Wakaf Buku PTS 2010’ ini.

Dengan hanya bermodalkan RM200, para penyumbang boleh memilih sendiri pakej yang mereka ingini serta lokasi yang mahu dihantarkan buku-buku tersebut. Buku-buku tersebut juga sudah didiskaunkan sebanyak 20% bagi setiap pakej. Ini dilihat sebagai satu peluang kepada mereka di luar sana turut berpeluang menyumbang dalam program wakaf ini.

Program yang bermula 17 Ogos lalu dan akan berakhir pada 31 Disember 2010 ini dijangka akan mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat di luar sana yang mencintai kebajikan dan ilmu.

Bagi maklumat lanjut, tuan puan boleh melayari alamat http://www.bookcafe.com.my/my/senarai-wakaf-ramadan-2010-my/ atau terus menghubungi pejabat PTS di nombor 03-6188 0316.