SHAH ALAM, 26 Feb: Pengurangan indeks jenayah juvana melibatkan remaja antara hasrat besar Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dalam usaha membantu matlamat Kerajaan Selangor mencapai Negeri Idaman; Maju, Sejahtera dan Berkebajikan.
Pengarah PPAS, Puan Mastura Haji Muhamad berkata, pihaknya membuka peluang seluas-luasnya kepada semua golongan masyarakat termasuk kalangan remaja untuk mengambil banyak manfaat yang terdapat di rangkaian PPAS di seluruh daerah.
Menurutnya, dari mereka melepak di tempat-tempat yang tidak berfaedah adalah lebih baik mereka berada di dalam perpustakaan yang kini sudah menjadi 'rumah kedua' kepada ahli-ahlinya.
"Mereka bukan sahaja boleh membaca, berhawa dingin, melayari internet capaian laju, makan minum di kafetaria, melepak-lepak malah mereka boleh baring-baring dan tidur di tempat khas yang sememangnya disediakan.
"Bila mereka sudah berada di perpustakaan dalam keadaan senang dan selesa itu, sudah pasti mereka akan terlepas dari perangkap negatif yang sentiasa menanti mangsa jika mereka berada di luar.
"Dengan terelaknya mereka dari berbuat demikian, maka hasrat PPAS untuk membantu Kerajaan Selangor khasnya dalam menangani gejala sosial dalam apa sahaja bentuknya akan dapat dicapai," tegasnya.
Puan Mastura menzahirkan keyakinannya ini kepada pihak media dan sekumpulan pegawainya dalam satu majlis khas yang diadakan tengahari tadi termasuk memberikan maklumat terkini tentang perpindahan PPAS ke bangunan baru.
Katanya, mereka akan mula berpindah mulai secara berperingkat-peringkat bagi memenuhkan bangunan baru setinggi enam tinggi berhampiran Kelab Golf Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 13, dekat sini.
Proses itu, katanya, akan mengambil masa juga kerana memastikan sejumlah 180 ribu unit buku dipindahkan dalam keadaan selamat termasuk peralatan dan keperluan pejabat melibatkan 100 kakitangannya.
Sehubungan itu, jelasnya, perkhidmatan Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam akan ditutup mulai 1 Mac 2011 bagi tujuan dan tarikh beroperasi semula akan diberitahu kelak.
Semalam, seramai 350 kakitangannya dari Seluruh Selangor dan mereka yang terlibat dengan PPAS seperti pembekal buku dan media mengikuti Kursus Parenting ESQ yang berlangsung sehari di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK.
Ismail Hashim
Harakahdaily.net