Peminat Perpustakaan

Monday, March 14, 2011

Gempabumi & Tsunami di Jepun

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung setia dan peminat-peminat buku yang dirahmati Allah SWT. Kami mendoakan anda semua sentiasa dilimpahi rahmat dan barakah Allah SWT terutama di saat dunia sedang menghadapi pelbagai ujian besar.

Pihak Perpustakaan Awam Dar Nur al-Zahra' merakamkan ucapan takziah kepada seluruh warga Jepun dan semua orang yang terlibat dengan peristiwa gempabumi terburuk di negara itu pada 11 Mac yang lepas. Gempabumi sekuat 8.9 pada skala Richter itu telah menghasilkan ombak tsunami setinggi kira-kira 10 meter yang telah memusnahkan sebahagian besar negara Jepun.

Kawasan bertanda merah ialah kawasan paling teruk dilanda tsunami. [RT.com]
Ombak tsunami yang menuju ke Bandar Miyako. [Reuter]
Lapangan Terbang Sendai selepas dilanda tsunami.
Apa yang berlaku ini bagi mereka yang tidak percayakan kuasa Tuhan akan mengatakan ini ialah bencana alam tetapi bagi kita yang mempercayai kuasa Allah, kita akan memikirkan dari banyak sudut dan mengambil pengajaran di atas kejadian ini. Baru sahaja dua minggu lepas kita dikejutkan oleh gempabumi yang melanda Bandar Christchurch di New Zealand hingga meragut beratus-ratus nyawa. Nampaknya Allah masih belum puas menghukum manusia dan sekali lagi diturunkan bala.
Marilah kita sama-sama beringat bahawa hidup di dunia ini hanyalah pinjaman dari Allah semata-mata. Segala harta kepunyaan bukanlah hakmilik total kita bahkan ianya boleh dihilangkan dalam sekelip mata hanya dengan gulungan air yang besar dinamakan tsunami. Allah Maha Berkuasa. Dia boleh mengambil segala-galanya dalam beberapa saat sahaja. Semoga kita semua melihat peristiwa ini dengan penuh keinsafan dan bersegeralah kita berusaha menjalankan amanah Allah dengan sebaik-baiknya.

Jika difikirkan, mungkin Kiamat tidak lama lagi kerana kini sudah berlaku kiamat kecil di serata dunia. Tidakkah kita di bumi Malaysia ini merasa bimbang?


No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.