SUK baru Kelantan angkat sumpah
Rizal Tahir
KOTA BHARU, 27 Jun: Datuk Dr Zainuddin Ibrahim semalam mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri di hadapan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Majlis yang diadakan di pejabat Menteri Besar itu turut disaksikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Nasaruddin Daud, timbalannya, Mohd Zaki Ibrahim.
Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, Penasihat Undang-Undang, Datuk Azlan Abdul Karim, anggota-anggota Exco, ketua-ketua jajahan dan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.
Zainuddin yang juga bekas Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri mulai menduduki jawatan baru pada 27 Jun. Beliau menggantikan Datuk Mohd Aiseri Alias yang bersara wajib 26 Jun lalu.
Menteri Besar berkata, majlis angkat sumpah pelantikan SUK merupakan rutin biasa dalam pentadbiran jabatan kerajaan, dan ia juga menjadi amalan sejak zaman kebangkitan Islam.
“Rasulullah saw diangkat naik ke langit dan bernaik saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah sendiri menerima salam dan ikrar dari Nabi Muhammad saw,” katanya.
------------------------------
Dr Zainuddin Ibrahim SUK Kelantan baru
Rizal Tahir
KOTA BHARU, 23 Jun: Setelah berkhidmat selama 33 tahun Dato’ Mohd Aiseri Alias hari ini menamatkan tugasnya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
Beliau yang akan bersara wajib 26 Jun ini mulai menjawat jawatan tersebut pada 10 Ogos 2004 menggantikan Dato’ Tengku Shah Buddin Tengku Mohd Maasum.
Tempatnya diganti Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim.
Mohd Aiseri sebelum berada di kedudukan paling tinggi sebagai pentadbir kerajaan negeri memegang pelbagai jawatan antaranya Ketua Jajahan Tanah Merah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.
Dr Zainuddin yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan mula memikul tanggungjawab baru pada 27 Jun ini sebagai SUK ke-17.
Majlis serah tugas diadakan hari ini di Dewan Teratai Kota Darulnaim dengan disaksikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan negeri serrta Persekutuan.
Berucap pada majlis itu Menteri Besar merakamkan ucapan terima kasih di atas peranan yang diberikan Mohd Aiseri dalam membangunkan kerajaan dan rakyat Kelantan.
”Banyak idea yang disumbangkan olehnya dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat. Terima kasih yang tidak terhingga,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.