Assalamualaikum dan selamat petang.
Selamat datang kepada para tetamu maya yang sudi singgah menjenguk blog perpustakaan kami yang tidak seberapa ini. Terima kasih banyak kerana anda sudi meluangkan masa menjenguk blog ini walaupun tidaklah banyak maklumat yang sempat kami kongsikan. Namun, kami berharap anda sempat membelek-belek halaman-halaman terdahulu untuk menambah pengetahuan anda tentang perpustakaan kami.
Sebagaimana yang disebutkan di bahagian topik di atas, sekarang ini Dar Nur al-Zahra' menghadapi sedikit masalah dalam tenaga manusia. Kakitangan sepenuh masa kami seramai enam orang kini telah berkurang menjadi empat orang. Seorang telah menamatkan perkhidmatannya sejak bulan Mei lepas kerana sakit tua manakala seorang lagi sedang cuti bersalin kerana baru sahaja melahirkan anak yang kedua dua minggu yang lalu.
Gambar: Arkib |
Dalam keadaan tidak cukup kakitangan ini kami tidak juga boleh sesuka hati mengambil pekerja baru kerana beberapa masalah di peringkat pentadbiran dan pengurusan. Perpustakaan ini sebuah perpustakaan wakaf dan diuruskan melalui sumbangan orang ramai sama ada sumbangan tetap atau sumbang bebas. Kami sebenarnya sudah mendapat seorang kakitangan baru menggantikan Pembantu Am kami yang berhenti tapi pekerja baru itu hanya datang bekerja selama sebulan kemudian menghilangkan diri setelah menerima gaji bulanannya di akhir Ogos lepas.
Ketiadaan Pembantu Am amatlah mengganggu tugas-tugas kami terutama para Pembantu Pustakawan yang terpaksa mengambil-alih tugas-tugas membersih, menyapu dan seumpamanya buat sementara waktu. Bila hari-hari tertentu seperti hari Sabtu yang sentiasa padat dikunjungi pengguna perpustakaan, Pengurus dan Pegawai Pustakawan pun terpaksa turun padang untuk memastikan suasana lebih terkawal, kebersihan dapat dijaga dan tugas-tugas di Lobi Utama dapat berjalan lancar.
Kami sebenarnya membuka peluang kepada sesiapa saja yang sudi menjadi sukarelawan namun, ramai yang bertanya dan berjanji tapi tiada yang muncul. Kemungkinan besar mereka yang mahu menghulurkan bantuan tenaga dan masa ini terdiri dari kalangan para pelajar yang belum mempunyai duit poket sendiri, jadi agak sukar untuk mereka berulang-alik ke perpustakaan ini untuk menyumbangkan tenaga dan masa mereka. Kami faham.
Ini adalah satu amanah dan kami cuba sebaik mungkin untuk memikulnya agar matlamat kewujudan perpustakaan ini iaitu untuk menggalakkan masyarakat menjadikan perpustakaan rumah kedua mereka akan berjaya. Orang pernah memandang sinis pada usaha kami dengan mengatakan projek penubuhan perpustakaan awam wakaf ini akan menjadi gajah putih namun, sangkaan orang tersebut adalah amat meleset. Buktinya, lihatlah hari ini, Dar Nur al-Zahra' masih utuh selepas 10 tahun.
Sehari dua lagi Dar Nur al-Zahra' akan menyambut ulang tahunnya yang ke-10 iaitu pada 27 September nanti. Kami tiada sebarang perancangan untuk menyambutnya besar-besaran tapi insyaAllah akan diraikan secara kecil-kecilan sesama kakitangan dan pengunjung yang datang pada hari tersebut. Tolong doakan agar perpustakaan ini akan terus berdiri tegak hingga bila-bila menyumbangkan tempat dan ilmu untuk mereka yang dahagakan ilmu pengetahuan.
Dan, kalau sudi, doakan juga agar pihak pengurusan sudi menambah kakitangan di bahagian sokongan seperti tugas-tugas khas dan teknikal. Allahua'lam.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.