BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Alhamdulillah, pada hari Khamis minggu lepas, saya telah berpeluang melawat serta memberikan taklimat di sebuah perpustakaan baru kepunyaan Masjid Seberang Pasir Mas - Salor. Lawatan ini adalah susulan daripada kunjungan Imam Masjid berkenaan iaitu Tuan Haji Mohd. Nasir ke Perpustakaan Dar Nur al-Zahra' yang meminta bantuan saya dalam hal menguruskan sebuah perpustakaan.
Dengan hati yang ceria, saya ke sana dengan penuh harapan. Alhamdulillah... ketibaan saya telah disambut mesra oleh hampir kesemua AJK Masjid yang juga merupakan jawatankuasa yang akan menguruskan perpustakaan masjid tersebut. MashaAllah... penduduk di sekitar Seberang Pasir Mas - Salor amat bertuah kerana kini mempunyai perpustakaan komuniti sendiri untuk mereka kunjungi dan manfaatkan dengan sebaiknya.
Sesi taklimat selama satu jam berjalan dengan lancar kemudian disambung dengan sesi dialog, jamuan makan tengahari dengan Mee Kari yang sangat sedap dan pedas. Terima kasih banyak kepada pihak tuan rumah yang begitu bersungguh-sungguh dalam mengembangkan potensi perpustakaan mereka. Bagi pihak Zahra' saya berasa amat gembira sekali.
InsyaAllah selepas pertemuan itu kami akan sentiasa berhubung dan kami anggap Perpustakaan Seberang Pasir Mas - Salor itu ibarat 'adik' kepada Zahra'. Kami akan cuba bantu setakat kemampuan yang kami ada terutamanya dalam bidang pengurusan buku, perolehan, aktiviti, sumbangan dan sebagainya. Semoga hajat pihak AJK Masjid akan diberkati Allah SWT kerana usaha membuka perpustakaan kepada orang ramai ini adalah satu usaha yang cukup mulia.
Saya sempat merakamkan beberapa gambar kenangan sebagai rujukan para pembaca dan pihak kami sendiri di masa-masa hadapan. Sempena lawatan itu, pihak kami ingin turut membantu perpustakaan baru ini untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan bagi memenuhkan rak-rak yang masih kosong dan membolehkan mereka membuka perpustakaan itu secepat mungkin kepada para kariah yang sudah ternanti-nanti pembukaannya.
Bangunan perpustakaan dari pandangan sisi. |
Masjid Seberang Pasir Mas - Salor. |
Sebahagian AJK Masjid bergambar di hadapan perpustakaan. |
Sekali lagi saya minta mereka bergambar pula di hadapan masjid. |
Pemandangan di dalam ruang utama perpustakaan. Rak masih kosong. |
Bahagian tepi dinding yang masih belum dilengkapkan. Sumbangan diperlukan untuk rak buku dan majalah. |
Pandangan dari hadapan ruang utama. Ruang kecil di depan sesuai untuk sudut kanak-kanak. |
AJK sedang menjamu selera. Ruang belakang masih ada banyak potensi. |
Mee Kari yang dihidangkan untuk saya. |
Secara peribadi, saya amat bersemangat untuk membantu pihak perpustakaan ini untuk menggerakkan perpustakaan mereka. Semangat mereka untuk mendekatkan masyarakat terutamanya orang-orang muda dengan perpustakaan adalah satu usaha yang patut disokong dan dicontohi.
InsyaAllah saya akan cuba sebaik mungkin untuk membantu mereka dalam segala ilmu dan pengalaman yang saya ada. Saya yakin, di luar sana, ada ramai insan yang mahu melakukan amal jariah tapi tidak kesempatan dan tidak tahu caranya.
Apakata, kalian membantu Perpustakaan Masjid Seberang Pasir Mas - Salor untuk:
- Membina koleksi bahan bacaan yang Islamik seperti buku-buku dan majalah.
- Membeli perabot yang sesuai seperti rak buku kanak-kanak, rak majalah, poster berbingkai dan seumpamanya.
- Mewujudkan tabung kewangan untuk penyelenggaraan dan elaun petugas yang menguruskannya.
- Membeli peralatan yang berkenaan seperti cop, alatulis, sticker, komputer, mesin faks, pencetak dan penghawa dingin.
InsyaAllah sumbangan kalian itu jika diniatkan wakaf atau sedekah kerana Allah, saya percaya, ianya dianggap jariah. Pahalanya berjalan semasa kita hidup hinggalah ke akhirat. Kalian menderma, kalain menyumbang, jiwa kalian akan menjadi semakin bersih dengan amalan pemurah tersebut. InsyaAllah.
Pn. Nor Haniza Taib
Pengurus Zahra'
23 Okt. 2011
Untuk pertanyaan atau menyumbang, anda boleh terus berhubung dengan Imam Haji Mohd. Nasir di talian: 09 7902393