Peminat Perpustakaan

Sunday, July 1, 2012

Blog Sedang Dinaiktaraf

BISMILLAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Sedikit makluman kepada para tetamu dan juga 'followers' blog ini, kami sedang berusaha untuk menaik-taraf blog ini kepada blog yang lebih bagus.

Harap bersabar kerana ia mungkin akan mengambil masa.

Sementara itu, anda semua dijemput ke Page kami di Facebook iaitu : 



Terima kasih kerana sokongan anda.


Pn. Nor Haniza
Pengurus.

Monday, February 13, 2012

Berita-Berita Gembira di Dar Nur al-Zahra'

Assalamualaikum dan salam mesra.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana izinNya Perpustakaan ini semakin berkembang maju pada tahun ini. Semuanya berkat kerjasama di kalangan kakitangan yang menggerakkannya dan pastinya sokongan daripada para pengunjung yang tidak putus minat untuk terus memanfaatkan perpustakaan ini. InsyaAllah dengan memakmurkannya kita akan sama-sama mendapat kebaikan darinya.

Pada hari ini saya sekadar mahu membuat sedikit perkongsian untuk beberapa berita gembira yang telah berlaku baru-baru ini. Antara lainnya ialah mengenai projek naik-taraf kemudahan di perpustakaan, lawatan, temuramah dan kebajikan kakitangan kami. Rasanya beberapa perkara yang telah berlaku ini akan menguatkan lagi usaha kami untuk memakmurkan perpustakaan dan menyuburkan budaya membaca di kalangan masyarakat kita.

Perubahan di Sudut Kanak-Kanak

Pada tahun ini mesyuarat pengurusan telah meluluskan bajet untuk mengecat semula Sudut Kanak-Kanak dengan warna-warna ceria, memasang rak buku jimat bajet menggunakan takung air hujan dan membeli perabut baru yang sesuai untuk kanak-kanak agar sudut itu menjadi ruang yang sangat kondusif untuk mereka membaca, berkreatif dan berkongsi ilmu. Antara yang telah berjaya diubah ialah,

Satu bahagian dinding dicat hijau dan rak buku lama disusun semula
dengan susunan baru.
Dinding bertentangan pula dicat warna peach dan dipasang
rak buku jimat bajet.

Kami masih mencari perabot dan kelengkapan yang sesuai dan jimat bajet untuk diletakkan di sudut ini. InsyaAllah impian ini akan tercapai dalam masa yang terdekat.

Penyediaan Kerusi Rehat di Halaman

Kami amat prihatin dengan keperluan para pengunjung kami terutama mereka yang tidak sempat makan di rumah atau di mana-mana lokasi yang mereka datang. Perpustakaan kami hanya membenarkan air mineral dan makanan ringan yang kering untuk dimakan di dalam bangunan manakala nasi bungkus atau seumpamanya tidak dibenarkan sama sekali. Tujuannya ialah untuk mengelakkan adanya bau yang tidak enak dari sampah yang terkumpul, kekotoran yang mengundang semut, tikus dan lipas serta menyusahkan pembantu am kami mencuci terutama di bahagian yang berkarpet.

Oleh itu pada bulan ini kami telah menyediakan dua set kerusi rehat yang diletakkan di tempat yang strategik di halaman perpustakaan kami. Semoga kemudahan ini akan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para pengunjung sama ada untuk makan atau sekadar berehat-rehat.

Set yang ini diletakkan di hadapan pintu bangunan pentadbiran.

Set yang ini pula betul-betul di depan pintu utama.

Lawatan dan Temuramah

Seperti tahun-tahun lepas, kami mula menerima tetamu dalam kumpulan yang ramai. Hari Sabtu lepas sekumpulan remaja dan belia dari persatuan Belia Rakan Masjid Mukim Paya Rambai, Kota Bharu telah mengadakan lawatan sambil belajar selama dua jam di perpustakaan kami. Alhamdulillah, kami sangat gembira menerima kehadiran mereka bersama dua orang pengiring. Satu usaha yang perlu dipuji kerana bukan ramai yang berminat untuk melawat sebuah perpustakaan. Pada kami ini menunjukkan anak muda zaman ini mula kembali mendekati institusi ilmu.

Semua ahli rombongan serta pengiring bergambar bersama-sama.

Tetamu perempuan bergambar pula dengan kakitangan perempuan perpustakaan.

Inilah cenderahati yang dihadiahkan oleh pihak rombongan.
Terima kasih banyak ya.

Keesokan harinya sekumpulan pelajar dari UiTM telah datang untuk membuat kaji-selidik tentang sistem pengurusan perpustakaan kami. Bagi pihak perpustakaan, saya telah meluangkan masa selama sejam untuk membantu mereka. Agaknya mereka agak pelik kerana terlalu banyak perbezaan antara sistem pengurusan kami berbanding perpustakaan awam yang lain. Apapun, kami doakan projek mereka berjaya.

Para pelajar UiTM Machang selepas selesai temuramah.

Fanpage di Facebook

Syukur alhamdulillah bermula pada hari ini, perpustakaan kami telah pun mempunyai 'page' sendiri di facebook. Sesuai dengan perkembangan zaman yang menggunakan media sosial, maka kami juga turut menyertai arus ini agar maklumat tentang perpustakaan kami akan dapat sampai kepada lebih ramai orang di serata tempat. Jika ada yang sudi menjadi 'fans', bolehlah 'like' 'page' kami di pautan di bawah:


Alhamdulillah... itulah sebahagian dari berita-berita gembira yang telah berlaku di perpustakaan kami sejak Jan hingga ke hari ini. Semoga Allah terus berkati kami di sini dan menjadikan impian kami untuk menjadikan perpustakaan ini tempat kesukaan ramai satu kenyataan. Amin.

Sunday, January 22, 2012

Saturday, January 21, 2012

Alhamdulillah Proses Mengecat Sudah Selesai

Bismillah.

Syukur alhamdulillah dan terima kasih kepada En. Aziz yang telah bersusah payah mengecat dinding Sudut Kanak-Kanak kami.












Wednesday, January 18, 2012

Bersiap Untuk Proses Mengecat Dinding

Bismillah.

Jika diikutkan hati saya, tindakan yang paling wajar ialah mengecat dulu dinding sebelum memasang rak tapi kerana keseronokan untuk melihat rak cepat dipasang maka kakitangan perpustakaan telah memasang rak terlebih dahulu.

Tidak mengapa kerana rak buku takung air hujan ini 'bracket'nya boleh dilonggarkan skrunya dan ia boleh dijarakkan sedikit dari dinding untuk proses mengecat.

Sebelum minggu ini berakhir, En. Aziz telah membuat persiapan untuk mengecat.


Semua buku yang saya letakkan sebelum ini di dalam rak telah saya turunkan semula. Sebelum ini hanya diletakkan untuk melihat pemandangannya dan kerana ada kanak-kanak yang mencari buku untuk dibaca. 


Ini pula dinding bertentangan yang juga akan dicat tapi menggunakan warna yang berbeza dari dinding yang dipasang rak baru.


Hampir kesemua buku kanak-kanak yang ada kami alihkan dari rak dan susun di atas meja yang berada di tengah-tengah Sudut Kanak-Kanak.


Dinding yang bercermin besar juga tidak ketinggalan mendapat salutan cat baru. Banyak yang baru di sudut ini. Kami berharap sangat kanak-kanak yang datang akan makin suka untuk selalu datang.

Tunggukan hasilnya dalam sehari dua lagi.

Tuesday, January 17, 2012

Membeli Buku Baru Suku Pertama di Pesta Buku & ICT

Bismillah.

Sepertimana dua tahun lepas, pihak perpustakaan telah memperuntukkan sebanyak RM500.00 dari duit tabung sumbangan untuk membeli buku-buku baru setiap tiga bulan sekali.

Setahun kami bahagikan kepada empat suku dan untuk suku pertama, kami memilih untuk membeli buku sempena Pesta Buku & ICT yang sedang berlangsung di Balai Islam, Lundang, Kelantan.

Syukur alhamdulillah bajet yang disediakan cukup untuk membeli semua buku-buku ini.






Rasanya kami bertiga yang ke pesta buku sangat teruja dengan perolehan terbaru perpustakaan kami. Moga-moga para pengunjung juga seronok seperti kami untuk membelek dan membaca buku-buku terbaru ini.





Sunday, January 15, 2012

Naik Taraf Sudut Kanak-Kanak Dengan Rak Buku Jimat Belanja

Bismillah.

Sebesar-besar syukur saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana telah mengabulkan satu daripada hajat saya di perpustakaan ini.

Setelah beberapa tahun hajat ini tidak kesampaian kerana kurang bajet, akhirnya masuk tahun ke-7 hajat ini Allah kabulkan. Alhamdulillah.

Allah Maha Mendengar.

Hajat yang saya maksudkan ialah untuk memasang rak buku baru di Sudut Kanak-Kanak menggunakan 'rain gutter' ataupun takung air hujan.

Idea yang saya dapat sekitar tahun 2004 - 2006 melalui pencarian bahan di Internet tentang cara-cara menjimatkan kos sebuah perpustakaan komuniti, kini telah menjadi kenyataan.

Terima kasih banyak kepada rakan-rakan sekerja yang turut menyokong idea ini dan tanpa bantuan mereka, idea ini tentunya masih belum berjaya dilaksanakan.

Ini adalah antara langkah menaik-taraf Sudut Kanak-Kanak di perpustakaan kami.

Maafkan saya kerana tidak sempat merakamkan proses pemasangannya kerana saya bercuti pada hari kakitangan perpustakaan memasangnya di dinding. 

Inilah pemandangan yang anda dapat lihat pada hari Ahad 15 Jan yang lepas.










InsyaAllah dinding belakang akan dicat baru juga. Nantilah beberapa hari lagi kita akan lihat perbezaannya.

Tuesday, January 10, 2012

Wajah Baru

Bismillah.

Alhamdulillah hari ini saya sempat mengambil gambar bangunan perpustakaan kami dari luar dari beberapa sudut.

Cat baru yang digunakan ialah cat berwarna kelabu muda dan untuk menaikkan serinya, seluruh pagar dan pintu pagar juga telah dicat dengan warna yang senada.

Syukur ke hadrat Allah SWT yang mengizinkan hajat kami tercapai. Alhamdulillah.

Berikut ialah gambar-gambar yang sempat saya rakamkan.

Pandangan dari hadapan.

Pandangan dari sisi kiri perpustakaan.

Pandangan sudut kiri juga.