Peminat Perpustakaan

Saturday, August 30, 2008

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-51 dan Selamat Berpuasa Ramadhan al-Mubarak 1429 Hijrah-

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Para pengunjung semua, esok ialah Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-51. Rata-rata orang ramai telah lama memasang bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang dan juga bendera negeri masing-masing. Bagi kami di Kelantan tentulah bendera Negeri Kelantan.

Sejak awal bulan Ogos pihak berkuasa tempatan akan mengeluarkan arahan agar semua premis mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri sebagai tanda mengingati tarikh kemerdekaan negara iaitu pada tanggal 31 Ogos 1957. Setiap tahun Kerajaan Pusat merancang pelbagai acara sebagai tanda memperingati tarikh tersebut begitu juga dengan Kerajaan Negeri. Perbarisan adalah antara acara terpenting pada hari tersebut. Sehingga ke hari ini saya belum pernah menghadiri mana-mana Sambutan Hari Kebangsaan kerana sentiasa mempunyai agenda keluarga yang tersendiri. Kemungkinan tahun ini juga saya tidak berkesempatan ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV untuk turut meraikannya. Insya-Allah saya dan suami akan mendoakan agar Malaysia terus merdeka terutama dari belenggu pengaruh budaya penjajah yang hidonisme.

Sehubungan dengan itu saya dan seluruh warga kerja di Perpustakaan Awam Islam Dar Nur al-Zahra' mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan kepada semua pengunjung sama ada secara maya atau nyata. ESOK KAMI BERCUTI!

Ramadhan al-Mubarak!




Jika umur panjang, insya-Allah kita akan berkesempatan bertemu Ramadhan sekali lagi. Bagi kita ummat Islam, bulan Ramadhan ialah bulan yang sangat dinanti-nanti. Hanya di bulan ini saja kita diwajibkan berpuasa penuh selama sebulan kecuali jika ada uzur yang syar'ie. Walaupun sirah memberitahu kita bulan Ramadhan ialah satu bulan yang panas dan menguji keimanan namun, sebahagian besar Muslim akan tekun menunaikan rukun Islam ini walaupun ada di antaranya tidak pernah cukup solat lima waktu.

Kemeriahan Ramadhan amat ditunggu kerana di bulan inilah pahala amalan akan berlipat kali ganda. Kalau kita perhatikan, sememangnya di bulan Ramadhan kita akan terasa lebih rajin untuk melakukan amal ibadat seperti mengaji al-Qur'an, memperbanyakkan solat-solat sunat, bersedekah dan menjamu orang miskin dengan majlis berbuka puasa. Sememangnya bulan tersebut adalah bulan keuntungan untuk semua orang yang pandai mengambil peluang.

Orang kaya akan untung ganjaran pahala sekiranya rajin bersedekah manakala orang susah akan untung rezeki di dunia kerana menerima pemberian sedekah dari orang berada. Jika kedua-dua pihak sentiasa bersyukur, untung akan bertambah dari ganjaran oleh Allah SWT. Insya-Allah. Tidakkah kita semua ingin menjadi orang yang untung. Kalau peniaga sudah tentu inginkan keuntungan yang besar untuk perniagaan mereka inikan pula kita hamba-Nya tentulah mengharapkan untung pahala untuk akhirat kelak. Rugilah kalau kita melepaskan peluang setahun sekali ini.

Dengan itu juga kami warga Dar Nur al-Zahra' memohon ampun maaf dari sekalian pengunjung sekiranya sepanjang 11 bulan sebelum ini ada salah silap kami, maka harap dimaafkan. Semoga Ramadhan kali ini akan menjadikan kita hamba Allah yang lebih bertaqwa. Selamat Berpuasa semua!

Wednesday, August 27, 2008

Suasana Kembali Tenang

Hmm... minggu ini suasana di perpustakaan kami sudahpun tenang kembali. Maklum saja, persekolahan kembali berjalan seperti biasa. Kalau minggu lepas, kami tak menang tangan melayan pengunjung yang ramai, sehingga ada yang terpaksa membaca di sudut-sudut tertentu di perpustakaan ini. Namun, kami pasti semuanya gembira dan selesa berada di sini kecuali beberapa orang pengunjung yang memang gemar datang sekadar untuk 'membuang masa' dengan mengganggu orang lain.

Suasana di waktu pagi amat tenang, pengunjung pun tidak ramai. Yang datang kebanyakannya hanya untuk membaca akhbar harian dan ada juga sebilangan pelajar universiti yang sedang mencari-cari bahan rujukan. Di kala inilah warga kerja Dar Nur al-Zahra' akan mengambil kesempatan untuk memohon cuti. Lagipun bulan puasa akan tiba tidak berapa hari saja lagi. Tentu mereka bercuti untuk membuat persiapan menghadapinya.

Walau bagaimanapun, waktu petang, suasana akan kembali hangat dengan kunjungan pelajar-pelajar yang singgah untuk mengulangkaji pelajaran sebelum pulang ke rumah masing-masing. Kami suka menerima kedatangan mereka cuma di kalangan mereka jugalah yang sering melakukan maksiat di dalam perpustakaan kami. Kami bimbang, perbuatan mereka ini kadang-kadang apabila ditegur dan dinasihati hanya dianggap main-main. Kadang-kadang pelajar remaja ini melawan dengan menunjukkan sikap tidak hormat mereka kepada orang dewasa dan kami sebagai 'tuan rumah'. Kami sedar, mereka berkelakuan sedemikian adalah berpunca dari banyak sebab.

Ada yang kami lihat, ibu bapa mereka sangat 'sporting' dengan menghantar anak gadis mereka untuk ke sini bukan untuk belajar tetapi berjumpa dengan teman lelaki yang sedari pagi menunggu di hadapan pintu pagar perpustakaan. 'Sporting' sungguh ibu bapa zaman sekarang. Kelihatannya seperti orang yang berilmu dan berkerjaya yang elok serta penampilan mereka pun memenuhi tuntutan agama, tetapi kurang mentarbiah anak-anak. Terlalu banyak kebebasan yang diberikan. Maka anak tersebut seringkali menerima teguran kami kerana datang membawa buku tetapi mengambil peluang membuat dosa bukannya mencari pahala. Kasihan...

Kami berdoa agar semua yang berkunjung ke Dar Nur al-Zahra' akan semakin dekat dengan ilmu dan memahaminya kemudian menghayatinya dengan amalan yang baik. Inysa-Allah rahmat Allah akan bersama kita.

Monday, August 25, 2008

Sumbangan Buku, Amal Jariah Dunia & Akhirat

Perpustakaan Awam Islam Dar Nur al-Zahra'
5529, Lorong Merican
Off Jalan Telipot
15150 Kota Bharu
Kelantan Darul Naim.

Kepada:

Semua insan yang berkemampuan
Di mana saja anda berada
Semoga Allah menempatkan anda
bersama orang-orang yang dirahmati
dan mendapat keredhaan-Nya.

Assalamualaikum w.b.t.

Hamba Allah Yang Dihormati,

SUMBANGAN BUKU, AMAL JARIAH DUNIA DAN AKHIRAT

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

Sebagaimana yang kita tahu Ramadhan al-Mubarak akan datang tidak lama lagi. Semakin kita ke penghujung Syaaban, semakin terasa rindu dan cinta untuk menikmati Ramadhan sekali lagi. Insya-Allah, dengan izin-Nya kita akan dapat mengubat kerinduan di bulan yang mulia tidak berapa hari saja lagi.

Setiap orang Islam akan berebut-rebut meningkatkan amalan di tiga bulan yang utama iaitu Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Antara ketiga-tiganya, Ramadhanlah bulan yang paling dinanti-nanti. Di bulan itu juga Muslim akan berusaha untuk membanyakkan pahala. Di bulan ini juga ummat Islam suka berSEDEKAH.

Kami menjemput anda untuk bersedekah atau menyumbang kepada institusi ilmu ini iaitu Perpustakaan Awam Islam Dar Nur al-Zahra' (Zahra'). Berikut ialah bentuk sedekah atau sumbangan yang kami harapkan.
  • Sumbangan buku rujukan peperiksaan untuk STPM dan SPM (AMAT DIPERLUKAN).
  • Sumbangan buku kanak-kanak dalam Bahasa Melayu atau Inggeris (AMAT DIPERLUKAN).
  • Sumbangan buku motivasi.
  • Sumbangan buku bisnes & pengurusan.
  • Sumbangan buku pendidikan.
  • Sumbangan buku agama (QUR'AN, HADIS, SIRAH, PERUNDANGAN, KEKELUARGAAN, DAKWAH, SAINS & ISLAM, FIQH, ULAMAK NUSANTARA, AM)
  • Sumbangan kitab Arab (BALAGHAH, ULUMUL QUR'AN, DLL.)
  • Sumbangan novel remaja Islami

Memandangkan sambutan pengunjung ke Zahra' amat-amat menggalakkan, sudah tentu buku yang ada tidak dapat memenuhi kehendak pengunjung yang ramai. Kami pula kekurangan sokongan kewangan untuk sentiasa membeli buku-buku baru. Apa yang kami mampu ialah membeli buku baru dengan perbelanjaan di antara RM100 - RM200 sebulan. Wang belanja ini datangnya dari Tabung Derma Zahra' yang diletakkan di Kaunter Informasi.

BerSEDEKAHlah kepada Zahra' ini insya-Allah ganjaran pahala dari Allah SWT jua. Sesungguhnya sedekah anda akan menjadi amal jariah kerana Zahra' ialah sebuah perpustakaan wakaf. Tidak rugi bersedekah buku. Pahala berkekalan selama mana buku tersebut dibaca dan dimanfaatkan oleh ramai orang. BERSEDEKAHlah. Kami sedia menerimanya.

Akhirul Kalam, semoga anda sudi membantu kami memakmurkan rumah ilmu ini dan sama-samalah kita membantu masyarakat mencintai ilmu.

Wassalam. Terima kasih.

Yang berusaha,

Kami, Warga Kerja Perpustakaan Awam Islam Dar Nur al-Zahra'


Nota: Sumbangan boleh dihantar ke alamat di atas. Kami turut menerima buku 'second hand' tetapi pastikan masih dalam keadaan baik.

Wednesday, August 20, 2008

Ramainya Pengunjung...

Cuti sekolah kali ini nampaknya membawa ramai pengunjung kanak-kanak dan remaja ke Dar Nur al-Zahra'. Alhamdulillah saya sungguh gembira dengan perkembangan ini. Ibu bapa juga semakin ramai yang mengambil peluang bersama anak-anak mereka berkunjung ke Perpustakaan kami untuk membaca buku-buku dan juga surat khabar.

Inilah budaya yang ingin kami lihat berkembang pesat di negeri ini. Hari ini saja sebelum sampai pukul 1.00 petang, pengunjung sudah pun mencecah 100 orang. Saya yakin semakin ramai yang akan datang di sebelah petang nanti. Sekarang ni jam sudah pun menunjukkan pukul 12. 50 tengah hari dan ramai pengunjung mula keluar untuk makan tengah hari. Tapi yang baru datang juga tetap tidak putus. Saya cukup gembira. Gembira kerana walaupun cuti, masih ramai yang sudi ke perpustakaan.

Cuma apa yang saya risau ialah kerusi-meja yang disediakan mungkin tidak dapat menampung permintaan dari pengunjung yang ramai. Sebentar tadi saya naik ke tingkat 1 dan tingkat 2, nampaknya tempat duduk yang ada hampir penuh diduduki oleh pengujung. Satu perkara yang bagus, tapi kasihan kepada yang baru datang terpaksa belajar atau membaca di Ruang Keluarga yang agak santai dan sedikit bising. Ada juga yang duduk di celah-celah rak buku untuk membaca kerana sudah tiada kerusi yang kosong.

Walau bagaimanapun kami nampak para pengunjung tetap gembira untuk berada di sini. Insya-Allah kami pun akan cuba memberikan perkhidmatan yang sebaiknya dan cuba untuk menjadi kakitangan yang mesra membantu para pengujung mencari bahan ataupun memfotostat bahan yang diperlukan.

Selamat membaca semua! Jangan pula cuba-cuba mengambil kesempatan untuk berdua-duaan di dalam rumah ilmu ini. Nanti hilang pula berkatnya. Semoga anda mendapat keberkatan dan ilmu yang meninggalkan kesan mendalam dengan kehadiran anda ke sini.

Wallahua'lam.

Tetamu dari Ingress Corporation Berhad

Tarikh: 19 Ogos 2008
Masa: 9.00 pagi - 1.00 petang
Tetamu: Ust. Mohd. Rusdi Ibrahim dan Pn. Rosyatimi Abdullah dari CSR, GHRD, Ingress Corp. Bhd.

Semalam Perpustakaan kami telah menerima kunjungan dari pihak penaja utama (kalau boleh saya gelarkan) kami yang datang dari Ampang, Selangor.

Kunjungan tersebut antara lain ialah untuk membentangkan Laporan Suku Tahun Kedua Perpustakaan dan juga CSR yang telah banyak membantu kami di sini.

Berbanyak terima kasih kami ucapkan kepada Ust. Rusdi dan Ros yang telah sudi meluangkan masa mendengar laporan dan berkongsi pengalaman merancang pembangunan syakhsiah tenaga kerja di Ingress yang amat bersesuaian untuk kami di Dar Nur al-Zahra' contohi.

Perkongsian maklumat dan pengalaman tersebut amat berharga untuk kami yang bertugas di sini. Insya-Allah saya sebagai orang lama di sini akan cuba sebaik mungkin mengkaji semula kertas laporan CSR untuk dimanfaatkan di Perpustakaan kami.

Semoga jalinan perhubungan yang telah dibina ini akan semakin erat dan membuahkan kerjasama yang merangsang perkembangan ilmu dan Perpustakaan ini. Terima kasih sekali lagi dari kami.

Wallahua'lam.

Tuesday, August 12, 2008

Yea! Yea! Cuti Sekolah Datang Lagi!

Barangkali itulah yang akan dilaungkan oleh kanak-kanak mahupun remaja sekolah yang akan menikmati musim cuti sekali lagi. Teringat masa zaman kecil dulu, saya pun seronok kalau dapat bercuti walaupun bukannya ke mana-mana pun. Sekadar bercuti di rumah, boleh baca buku cerita banyak-banyak, menonton tv, sesekali ikut Ayah ke Kota Bharu atau ikut bapa saudara makan angin di Pantai Irama, Bachok. Maklum saja, keluarga kami bukannya orang senang untuk melancong ke mana-mana tempat yang jauh. Tapi saya tetap juga seronok sebab saya melancong melalui buku-buku yang saya baca.

Pelancongan saya ke Pulau Sayak saya lalui dengan penuh keseronokan seperti seorang penyiasat semasa membaca buku 'Bercuti ke Pulau Sayak'. Atau saya cuba menjadi anak yang baik seperti mana watak di dalam buku, 'Pengemis Itu Ibuku' dan 'Sesuci Kasih Ibu'. Saya dan adik-adik sering merasakan kamilah kanak-kanak yang pintar dan pandai menyelesaikan misteri seperti rakan-rakan di dalam 'The Hardy Boys' ataupun 'Nancy Drew'. Pada waktu itu, di tahun 1980an, saya hanya kenal perpustakaan sekolah saya saja iaitu Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat (jangan ketawa ya!). Saya tidak tahu pun yang di Kota Bharu ada sebuah perpustakaan yang besar dan mempunyai lebih banyak koleksi iaitu Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan. Kalaulah saya tahu...

Boleh dikatakan hampir keseluruhan koleksi buku yang ada di dalam perpustakaan sekolah telah saya pinjam dan baca. Tapi saya masih kalah kepada adik saya yang mendapat anugerah pelajar, kalau tidak silap dipanggil Pembaca Buku Terbanyak. Walaupun begitu, saya yakin hari ini saya lebih banyak membaca berbanding adik saya yang saban hari sibuk dengan pesakitnya di Wad O & G di Hospital Pulau Pinang.

Saya bersyukur sangat-sangat kerana ibu dan ayah saya yang tidak berpendidikan tinggi amat menekankan budaya membaca dan cintakan ilmu di dalam keluarga kami. Jika saya meminta wang belanja lebih untuk membeli buku, ayah tidak pernah bersoal panjang, cuma saya perlu tunjukkan buku yang telah saya beli kepadanya. Alhamdulillah, selain memastikan Al-Qur'an dibaca setiap pagi selepas Subuh dan selepas Maghrib, kami bebas untuk membaca buku cerita dengan syarat kerja-kerja sekolah telah diselesaikan. Bagaimana pula dengan zaman kanak-kanak dan remaja kini? Apabila melihat anak-anak saudara, saya dapat merasakan banyak perbezaannya.

Hari ini bahan bacaan cukup banyak dan berbagai-bagai pilihan genre dihidangkan untuk santapan minda kita semua. Tapi orang kita sangat berkira apabila anak-anak meminta wang untuk membeli buku apatah lagi kalau buku cerita. Katanya lebih baik beli buku akademik sebab sudah pasti akan digunakan untuk manfaat peperiksaan. Sedikit yang sedar bahawa membaca buku cerita amat membantu mendorong perkembangan minda yang lebih cerdas dan kreatif. Menjawab soalan karangan dalam peperiksaan akan menjadi lebih mudah kerana banyak idea atau ilham yang bersumberkan cerita-cerita yang telah dibaca. Susunan ayat dan tatabahasa juga akan menjadi lebih baik dan insya-Allah keputusan atau markah juga akan lebih baik.

Saya bangga dapat berkenalan dengan beberapa individu* yang turut mempunyai azam dan impian yang sama dengan saya iaitu ingin terus mencintai ilmu, ingin terus terlibat dalam usaha-usaha memasayarakatkan ilmu, ingin terus bertekun mendidik anak-anak cintakan buku dan merasa seronok membaca buku, juga akan terus memastikan Dar Nur al-Zahra' berkembang sebagai institusi ilmu yang menyatukan ummat.

Walaupun mungkin Perpustakaan kami tidak menganjurkan sebarang program besar di musim cuti sekolah nanti, kami menjemput anda untuk Melancong ke Perpustakaan bersama ahli keluarga. Apa salahnya kalau berkunjung ke Dar Nur al-Zahra' dijadikan satu agenda rasmi di dalam perancangan cuti kita kali ini? Kami mengalu-alukan kedatangan anda.

* Terima kasih kepada Kak Ninuk, Kak Ann, Kak Ina, Kak Je, Kak Lind, Kak Tini, Kak Nor, Ni'mah, Kak Yani, Kak Lily, Kak Wan, Kak Zae dan rakan-rakan dari Mothers yang turut sama menyokong usaha-usaha kami di sini. Jazakallahu khairan jazak.

Tuesday, August 5, 2008

Perpustakaan Untuk Semua

Bismillahirrahmanirrahim.

Para pengunjung yang dihormati,

Sudah beberapa kali saya merancang untuk memulakan penulisan saya tentang 'Bagaimana Mewujudkan dan Memulakan Sebuah Perpustakaan Asas', tetapi terpaksa ditangguhkan dan memberi laluan kepada urusan-urusan lain yang lebih utama. Walaupun laporan khas yang sedang saya sediakan berkenaan DNaZ untuk pihak pentadbiran belum siap sepenuhnya, saya ingin juga mengambil kesempatan untuk memulakan rancangan ini.

Sebagaimana yang anda tahu (jika anda sudah membaca dari awal blog ini), Dar Nur al-Zahra' bermula dalam keadaan tidak ada seorang pun daripada kami yang mempunyai latar belakang dalam bidang pengurusan perpustakaan. Saya bermula di DNaZ sebagai Pengurus Pangkalan Data (sambil menjadi Kerani/Tukang sapu/PRO/Setiausaha/Juruedit dan beberapa tugas lain yang sentiasa bertambah). Hakikatnya kerja-kerja di awal penubuhan perpustakaan ini amatlah banyak dan meletihkan badan dan minda (perlu banyak membuat kajian di Internet, berkenalan dan merujuk kakitangan di Perpustakaan Awam Negeri Kelantan, mencari bahan rujukan yang berkenaan sistem pengkelasan, dekorasi dalaman perpustakaan, meraih dana kewangan, mencari penyumbang, dll. yang perlu dimulakan dari 0/kosong/zero/null/nill).
Saya bersyukur kerana dalam pencarian dan kesukaran untuk menguruskan koleksi buku yang pada masa itu (tahun 2000) telah pun memenuhi rak-rak di tiga buah bilik bersaiz lebih kurang 18' x 18', saya terjumpa satu manual yang bertajuk 'Libraries for All! How to Start and Run a Basic Library' oleh Laura Wendell dari World Library Partnership dan UNESCO.

Alhamdulillah... oleh kerana bahan tersebut adalah percuma, maka saya telah memuat turun dan mencetaknya. Manual tersebut menjadi rujukan saya sehingga ke hari ini. Terima kasih kepada Puan Laura Wendell dan UNESCO.

Setiap kita yang ada cita-cita untuk membangunkan sebuah perpustakaan awam, amat sesuai membaca dan menggunakan manual ini. Saya tahu, masih banyak yang tidak dilaksanakan di DNaZ ini jika merujuk kepada panduan di dalam manual tersebut. Mungkin juga disebabkan oleh beberapa kelemahan kami yang masih belum dapat diatasi. Saya bercadang untuk mencetak sebuah lagi manual ini dan menyerahkannya kepada pihak pengurusan DNaZ sebagai panduan mereka. Moga-moga perpustakaan ini akan terus berkembang maju dan menjadi satu destinasi kunjungan tetap masyarakat tempatan dan menggamit tetamu luar untuk datang.

Wassalam.

Nota: Akan disambung lagi, insya-Allah.