Peminat Perpustakaan

Monday, September 29, 2008

Selamat Hari Raya Fitrah dari Kami

Selamat Hari Raya Aidil Fitri
1429 Hijrah

dari kami

Warga Kerja
Perpustakaan Awam Islam
Dar Nur al-Zahra'

Maaf Zahir dan Batin

Sunday, September 28, 2008

Walaupun tak ramai, program tetap berjaya.

Dengan nama Allah.

Entri kali ini mungkin tidak begitu panjang tapi akan dipenuhi dengan klip video dan gambar-gambar sekitar program Ceramah Ramadhan yang diadakan di perpustakaan kami semalam.

Rata-rata peserta cukup berpuas hati dengan penyampaian Ust. Saibon yang kadang-kadang serius, kadang-kadang bersahaja, kadang-kadang pula berjenaka. Ada yang kata tak puas dengar ceramah ustaz walaupun sudah duduk di kerusi tanpa berganjak hampir 2 jam.

Dengan itu saya kongsikan ceramah tersebut bersama anda sekalian. Kalau ada bunyi yang tak sepatutnya, sila abaikan. Kadang-kadang ia diluar kawalan kita... hehehe.


Klip 1
Notis: Oleh kerana saiz klip-klip vedio yang lain (masih ada 6 lagi) agak besar iaitu melebihi 30MB maka agak sukar dimuat naik ke dalam blog ini. Saya akan cuba memuat naik ke tapak yang lain dan akan 'link' ke sini.

Harap Maaf.

** akan dikemaskini kemudian... **

Wednesday, September 24, 2008

Kami Menjemput Anda ke Ceramah Ramadhan


Assalamualaikum dan Selamat Hari Nuzul al-Qur'an untuk semua.

Saya bagi pihak Perpustakaan Dar Nur al-Zahra' ingin menjemput saudara-saudari menghadiri program Ceramah Ramadhan yang akan kami adakan seperti butiran di bawah.

Tarikh: 27 September 2008, Sabtu
Masa: 9.30 pagi - 12.30 tengah hari
Tempat: Ruang Keluarga, Dar Nur al-Zahra'
Tajuk Ceramah: Remaja, & Ramadhan
Penceramah: Ust. Saibon bin Ismail, Pegawai Agama JHEAIK (Ustaz ini sangat baik penyampaiannya dan selalunya ceramah beliau tidak membosankan).

100 peserta terawat akan mendapat CENDERAHATI KHAS RAMADHAN.

Marilah kita sama-sama meningkatkan ilmu di bulan yang mulia ini.

Tuesday, September 23, 2008

Undangan ke Majlis Iftar Ramadhan

Assalamualaikum untuk semua yang Muslim dan salam sejahtera untuk yang bukan Muslim.

Terima kasih dari kami kepada Ingress cawangan Pengkalan Chepa yang telah sudi menjemput kami untuk bersama-sama mendengar Ceramah Ramadhan dan berbuka puasa kemudiannya.

Oleh kerana saya ada urusan lain maka entri ini sekadar ini sahaja.

Sambil-sambil tu silakan menonton sedutan ceramah yang kami sertai semalam.



Wassalam.

KakChik
Dar Nur al-Zahra'

Saturday, September 20, 2008

Dar Nur al-Zahra' dalam Utusan Malaysia

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pertama sekali kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Sdr. Tarmizi iaitu wartawan Utusan Malaysia yang telah sudi menulis rencana mengenai Perpustakaan kami. Terima kasih juga kepada akhbar Utusan Malaysia yang telah memuatkan rencana tersebut yang seluas 3/4 mukasurat.

Saya tadi terkejut apabila diberitahu rencana mengenai Dar Nur al-Zahra' sudah pun keluar dalam UM hari ini. Sebenarnya saya pernah meminta wartawan UM tersebut agar memaklumkan kami tarikh penerbitannya, tapi mungkin dia terlupa dalam kesibukannya sebagai wartawan.

Hampir keseluruhan tulisannya berdasarkan temuramah dengan saya pada minggu lepas dan juga maklumat yang ditampalkan di dalam papan kenyataan perpustakaan. Oleh kerana maklumat tersebut adalah maklumat 2 tahun lepas, maka ada beberapa fakta yang telah tersilap di dalam rencana tersebut. Diharap Sdr. Tarmizi dapat memperbetulkannya.

Antara kesilapannya:

1. Koleksi kami telah melebihi 17 ribu tajuk bukan 13 ribu.

2. Saya pernah berjumpa dengan Pengerusi kami cuma tidak pernah menghubungi beliau secara peribadi kerana kami tiada nombor telefon beliau.

3. Saya mula bekerja di sini pada 4 April 2000 bukan pada tahun 2001 seperti yang ditulis. (mungkin typo error)

4. Sebelum ini pun kami tidak membenarkan pinjaman kecuali atas permohonan tertentu. Walaupun perpustakaan ini perpustakaan wakaf, ramai pengguna yang tidak faham, ada yang mencuri buku-buku kami dan ada juga mengembalikannya dalam keadaan rosak. (perenggan akhir)

Itulah antara kesilapannya. Semoga Sdr. Tarmizi dan UM (kalau membaca blog ini, sudi memperbetulkannya).

Sekali lagi saya mewakili seluruh warga kerja DNaZ mengucapkan terima kasih kerana sudi menyiarkan rencana tersebut di ruangan Timur UM. Bantuan dalam bentuk ini amat-amat kami harapkan demi kecemerlangan Dar Nur al-Zahra' di masa hadapan.


Berita penuh dari Utusan Online adalah seperti di bawah.

DNaZ perpustakaan wakaf



bangunan Perpustakaan Awam Islam Dar Nur Al-Zahra' di Lorong Merican, Kota Bharu.
- Gambar ROSNI MASRI



KOTA BHARU 19 Sept. - Iqra' (Bacalah), kalimah suci yang pertama diwahyukan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W semasa baginda bermunajat di Gua Hira' pada malam 17 Ramadan lebih 1,000 tahun dulu.
Signifikan daripada Iqra' itulah yang mengeluarkan umat Islam daripada kegelapan menuju kepada kecemerlangan penguasaan ilmu pengetahuan dan menjadi pencetus pada ketinggian dan kemasyhuran tamadun dunia.
Mengambil semangat dan roh daripada kesucian kalimah itulah yang mencetus kepada penubuhan perpustakaan awam Islam Dar Nur al-Zahra (DNaZ).
Ia adalah perpustakaan masyarakat milik persendirian tunggal yang diwakafkan kepada orang ramai di negeri ini.
DNaZ mula beroperasi pada tahun 1999 secara persendirian di sebuah banglo empat bilik dengan koleksi buku melebihi 5,000 naskah daripada pelbagai bidang ilmu Islam, Sastera, Pendidikan, Sains dan Perubatan Islam.
Atas semangat untuk menjadikan DNaZ sebagai pusat hentian komuniti setempat, maka pada tahun 2000, pewakaf telah membina sebuah bangunan baru empat tingkat seluas 17,819 meter persegi dengan kos kira-kira RM2 juta bagi memuatkan lebih banyak buku-buku daripada ramai penderma dan pewakaf.
Sehingga kini setelah beroperasi secara rasmi selama lapan tahun, DNaZ telah mempunyai koleksi buku hampir 30,000 naskah yang melebihi 13,000 tajuk dalam tiga bahasa iaitu Arab, Inggeris dan Melayu.
Malah sesetengah daripadanya merupakan koleksi peribadi terhad yang boleh diperoleh di perpustakaan ini sahaja, antaranya buku karya penyair dan penulis prolifik terkenal kelahiran Kelantan tetapi mencipta nama di Sabah, Allahyarham Abdul Rahim Abdullah dengan nama penanya K. Bali.
DNaZ dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 27 September 2001 dan bermula sejak itu ia terus dibuka kepada orang ramai secara percuma tanpa dikenakan sebarang yuran keahlian.
Terletak di Lot 5529, Lorong Merican Off Jalan Telipot, Kota Bharu berhampiran dengan Pasar Raya Billion dan Hotel Renaissance, perpustakaan itu dibuka setiap hari kecuali Khamis dan Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dan sepanjang Ramadan ia beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.
Perpustakaan di bangunan empat tingkat itu didaftarkan di bawah Yayasan Kubra iaitu sebuah yayasan berdaftar yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan memperoleh pelepasan cukai.
Menyentuh sejarah penubuhan DNaZ, ia diilhamkan oleh pemilik asalnya, Datuk Rameli Musa, seorang tokoh korporat bersama isterinya, Allahyarham Noorley Noor. Rameli kini turut bertindak sebagai Pengerusi perpustakaan itu.
Setiausaha dan Pustakawan DNaZ, Nor Haniza Taib berkata, perpustakaan itu didedikasikan sebagai platform terbaik untuk berkomuniti dengan penyediaan sebuah tempat yang mempunyai bahan rujukan terbaik dan berkualiti untuk pelajar yang tidak berkemampuan.
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa tidak mengetahui secara tepat dan lengkap mengenai permulaan sebenar DNaZ itu kerana kebanyakan fail-fail mengenainya sebelum ini telah rosak akibat sistem perkomputeran perpustakaan itu diserang virus.
Tambahan pula katanya yang mula berkhidmat di di situ pada tahun 2001, pewakaf perpustakaan itu juga tidak suka menonjolkan diri dan cerita berkenaan hanya diperoleh secara lisan daripada beberapa kakitangan asal perpustakaan tersebut.
"Saya sendiri tidak pernah berjumpa dan menghubunginya secara peribadi, malah nombor telefonnya juga saya tiada," katanya yang mengagumi pengorbanan murni pasangan itu.
Rameli merupakan Naib Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Eksekutif bukan bebas di Syarikat Ingress Corporation Berhad yang beribu pejabat di Ampang, Selangor.
DNaZ diuruskan sepenuhnya secara perkhidmatan komuniti dalam bentuk wakaf dan derma orang ramai dengan diuruskan oleh enam kakitangan sepenuh masa tanpa sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri atau pusat mahupun agensi-agensi kerajaan lain.
Seorang daripadanya dibayar gaji melalui dana perpustakaan itu manakala baki lima lagi dibayar oleh beberapa buah syarikat korporat yang bermurah hati membantu DNaZ meneruskan hayatnya di bumi Kelantan ini.
Tambah Nor Haniza Taib, sejajar dengan konsep wakaf maka perpustakaan tersebut mempunyai polisi tetap iaitu semua koleksi tidak boleh dipinjam kecuali dengan permohonan tertentu.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebagai alternatif pihaknya menyediakan perkhidmatan menyalin bahan rujukan yang diperlukan oleh pengunjung.
"Ini kerana kami ingin menjaga buku-buku wakaf yang kebanyakannya merupakan koleksi terhad dan juga untuk menggalakkan orang ramai supaya gemar berkunjung ke perpustakaan ini.
"Sebelum ini memang kami benarkan urusan pinjaman tetapi malangnya apabila terdapat segelintir yang mengambil kesempatan dengan tidak memulangkan buku, ada yang kembalikan tetapi dalam keadaan amat menyedihkan, sama ada ia rosak teruk atau muka suratnya telah dikoyak," katanya.
Rencana kedua:

Pengunjung meningkat, derma buku diperlukan

KOTA BHARU 19 Sept. - Secara umumnya perpustakaan awam Islam Dar Nur al-Zahra (DNaZ) sejak dibuka secara rasmi pada tahun 2000 sehingga kini, telah menerima kehadiran lebih setengah juta orang yang merupakan satu pencapaian membanggakan bagi sebuah perpustakaan wakaf.
Sebenarnya jika dikira secara terperinci, kebarangkalian jumlah kehadiran pengunjungnya adalah berkali ganda kerana dalam sehari secara purata ia dikunjungi kira-kira 200 pengunjung berdasarkan pada pendaftaran buku kehadiran.
Setiausaha dan Pustakawan DNaZ, Nor Haniza Taib berkata, kebanyakan pengunjung yang menulis nama adalah pengunjung baru manakala bagi pengunjung setia, mereka kebanyakannya tidak lagi menulis nama sebaliknya terus menuju ke bahagian sudut bacaan atau terus memilih buku rujukan.
Beliau berkata, pola kehadiran pengunjung DNaZ ialah pada sebelah pagi sehingga waktu tengah hari dan kebiasaannya ia dikunjungi oleh orang dewasa termasuk pesara kerajaan serta pelajar universiti dan kolej.
Katanya, pada waktu tengah hari sehingga ke petang pula DNaZ akan menerima kunjungan pelajar sekolah rendah dan menengah, jumlah mereka lazimnya akan bertambah tatkala tibanya musim peperiksaan apabila mereka memilih perpustakaan sebagai tempat untuk perbincangan dan mengulang kaji pelajaran.
"Bagi kami angka kehadiran tidak penting tetapi yang paling utama ialah manfaat yang diperoleh oleh pengunjung melalui perkhidmatan yang disediakan," katanya.
Sehubungan itu katanya, DNaZ amat mengharapkan pelbagai bantuan daripada orang ramai termasuk sumbangan buku-buku dan kewangan bagi memantapkan perpustakaan dan seterusnya meneruskan survivalnya berkhidmat dengan penuh ikhlas kepada orang ramai.
Katanya, sumbangan buku yang amat diperlukan pada masa ini ialah buku rujukan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), buku kanak-kanak dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.
Antara kategori buku lain yang diperlukan ialah buku motivasi, perniagaan dan pengurusan, pendidikan, ilmu-ilmu agama sama ada dalam Bahasa Melayu atau Arab dan novel remaja Islam.
"Memandangkan sambutan pengunjung ke DNaZ adalah amat menggalakkan, sudah tentu buku yang sedia ada tidak dapat memenuhi kehendak pengunjung yang ramai. Kami pula kekurangan sokongan kewangan untuk sentiasa membeli buku-buku baru.
"Apa yang kami mampu ialah membeli buku baru dengan perbelanjaan di antara RM100 dan RM200 sebulan. Wang belanja ini datangnya dari Tabung Derma DNaZ yang diletakkan di kaunter informasi perpustakaan," katanya.
Tambah Nor Haniza, beliau berharap orang ramai dapat menderma kepada DNaZ dan amalan itu akan menjadi amal jariah kerana perpustakaan itu merupakan sebuah perpustakaan wakaf.
"Tidak rugi bersedekah buku kerana pahalanya akan berkekalan selama mana buku tersebut dibaca dan dimanfaatkan oleh orang ramai, kami juga sedia menerima buku terpakai dengan syarat ia masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan," katanya.
"Sebarang sumbangan boleh diberikan terus kepada DNaZ atau menghubungi kami di talian 09-7473829 atau faksimile 09-7484975," katanya.

KakChik
Dar Nur al-Zahra'
Untuk: darnur-alzahra.blogspot.com

Tuesday, September 16, 2008

Isikan masa lapang dengan membaca al-Qur'an

Salam pagi Ramadhan untuk semua.

Sekadar tazkirah ringkas untuk diri sendiri dan juga warga Dar Nur al-Zahra' yang dikasihi fillah. Kita kini telah pun berada di hari yang ke-16 Ramadhan 1429 Hijriah yang juga bersamaan dengan 16 September 2008. Bermakna sudah 16 hari kita ummat Islam menjalani ibadah berpuasa. Puasa wajib yang diamanahkan kepada setiap ummat Islam yang mukallaf. Kita bersyukur, alhamdulillah, kerana telah berusaha melakukan yang terbaik untuk mengisi Ramadhan kita dengan lebih banyak aktiviti yang memberikan manfaat kepada ruh dan jasad kita.

Bersolat wajib di awal waktunya, ditambah pula dengan solat-solat sunat, memurahkan hati untuk bersedekah, meringankan kaki untuk ke masjid sama ada untuk berjemaah solat atau untuk berterawih, menjaga pancaindera dari perkara-perkara terlarang (dalam hal ini, masih terdapat pengunjung di kalangan adik-adik remaja yang belum berjaya mengawal nafsu dari melakukan maksiat - 'bergewe' atau berkasih dengan berselindung di sebalik 'study group', kena usaha lebih lagi dik), dan juga bertadarus, membaca al-Qur'an siang mahupun malam.

Mungkin juga kita masih gagal untuk memperbaiki diri kita dengan sebaiknya kerana ada kekurangan atau kesilapan di dalam kita membaca al-Qur'an.
"Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Qur'an dan mengajarkannya." (HR. Bukhari)
Tahukah kita apakah kelebihan membaca al-Qur'an? Atau tahukah kita betapa beruntungnya orang-orang yang belajar tentang al-Qur'an dan mengajarkannya pula kepada orang lain? Kadang-kadang kita tidak terasa pun untuk mengetahuinya. Kita sekadar membaca al-Qur'an, itupun seadanya... Yang banyak kita pentingkan ialah kerja, kerja, kerja, letih, letih, letih. Tapi kalau kita lihat di bulan inilah kita paling mudah dan ringan badan untuk melakukan amalan yang baik. Hari tu saya melihat seorang murid mengisi masanya di perpustakaan ini dengan membaca al-Qur'an sementara ibu atau bapanya datang mengambilnya pulang. Gembira saya melihat seorang kanak-kanak yang belum 12 tahun lebih pandai mengisi masa lapangnya. Berbeza pula dengan sekelompok pelajar menengah yang hanya duduk-duduk berbual kosong di sofa di Ruang Keluarga. Alangkah ruginya peluang yang ada tersebut. Masa tak akan kembali...

Saya ingin menyeru diri sendiri dan pengunjung sekalian untuk sama-sama mengemaskini pengetahuan kita tentang cara membaca al-Qur'an yang betul dan tertib, serta mengamalkan isi kandungannya dengan berkongsi dengan rakan-rakan di sekeliling kita.
"Bacalah al-Qur'an selama ia dapat mencegahmu dari perbuatan jahat, bila ia tidak dapat menahanmu dari perbuatan itu, maka belum bererti kamu membacanya." (HR. Tabrani)
Jika kita benar-benar MEMBACA al-Qur'an, insya-Allah kita akan menghindarkan diri dari perbuatan-perbuatan yang sia-sia.

Namun, sekiranya kita masih suka membuang masa dengan berborak kosong, ketawa berdekah-dekah, sengaja menyakitkan hati rakan, mencuri hakmilik orang lain, membuang sampah merata-rata, merosakkan buku dan harta benda awam, melayan nafsu bercinta (terlarang), menganggu orang lain dengan tingkah-laku tidak bersopan, membazirkan kemudahan air dan elektrik, memakai pakaian yang tertutup tetapi terbuka (seperti seluar ketat, baju singkat dan kecil, tudung singkat & jarang) dan macam-macam lagi, bermakna belum betul cara kita membaca al-Qur'an.

Membaca yang bukan sekadar membaca tetapi belajar memahami, berusaha mengamalkan kandungannya dan menghayatinya dalam kehidupan seharian kita.

Moga Allah membantu kita memahami pentingnya al-Qur'an dalam kehidupan kita di dunia ini kerana KITA PASTI akan MENGHADAP-NYA di Akhirat nanti.

KakChik
Dar Nur al-Zahra'
Untuk: darnur-alzahra.blogspot.com

Wednesday, September 10, 2008

Mengemaskini Data Buku-Buku Perpustakaan

Salam Ramadhan untuk semua. Semoga ibadah puasa kita dari sehari ke sehari semakin baik, penuh khusyuk dan ikhlas.

Kalau anda pernah berkunjung ke Dar Nur al-Zahra', anda mungkin pernah meminta bantuan para Pustakawan untuk mencari buku-buku tertentu. Dan anda mungkin pernah bertanya sama ada kami mempunyai sistem khusus untuk mencari buku. Kami benar-benar memohon maaf kerana perpustakaan kami tidak mampu untuk menyediakan sistem tersebut kerana kosnya yang mahal. Walaubagaimanapun, insya-Allah para Pustakawan kami sudah agak mahir dan tahu kedudukan buku-buku mengikut kategori di rak-rak buku yang ada. Jangan bimbang, kami akan cuba membantu anda mencari buku yang berkenaan.

Menyedari hakikat ini, saya telah mengambil inisiatif untuk mencari program pengurusan buku yang PERCUMA di Internet yang paling hampir menepati kehendak kami. Dan dalam masa yang sama saya juga berusaha mengemaskini data-data yang telah pun direkodkan oleh Cik Akmar dan Pn. Dila semasa mereka mengkatalog buku. Saya hanya membina satu pangkalan data yang mampu dimuat-naik ke dalam program pengurusan buku tertentu yang ramah Ms Access 2003.

Sambil mengemaskini data, akhirnya saya terjumpa satu sistem yang agak baik dan boleh memuatkan jumlah buku yang tidak terhingga. Bermakna sekiranya jumlah koleksi perpustakaan kami meningkat, sistem tersebut masih boleh menampung saiz failnya. Yang paling saya pentingkan ialah maklumat yang telah dikemas-kini tersebut sentiasa selamat untuk dicapai, diedit dan ditambah pada bila-bila masa. Sistem tersebut juga mampu menghasilkan laporan untuk dicetak di samping membenarkan pengguna mengubahsuai bahagian-bahagain tertentu mengikut kesesuaian perpustakaan masing-masing.

Program tersebut sedang dalam percubaan sekarang ni. Insya-Allah jika ia berfungsi dengan lancar, kami akan menggunakannya untuk kemudahan kami dan para pengunjung Dar Nur al-Zahra'. Harap anda semua tolong doakan agar ia berjaya.

K.Chik
Pejabat
Dar Nur al-Zahra'
Untuk Blog: darnur-alzahra.blogspot.com

Monday, September 8, 2008

Hari yang hingar bingar.

Alahai budak-budak ni. Kalau periksa dah selesai mereka bukannya datang untuk merehatkan diri sambil membaca atau menonton siaran yang kami hidangkan tetapi asyik bermain di dalam perpustakaan kami.

Murid yang selesai percubaan UPSR, yang lelakinya turun-naik, turun-naik tangga atau lif. Geramlah juga... hati siapa yang tak geram kalau perbuatan mereka tu meningkatkan tahap kebisingan dan mengganggu orang lain. Jelingan dan nasihat saya ni dibuat tak endah saja. Bukan murid dari sekolah biasa tetapi sekolah rendah islam. Nampaknya masih banyak yang kurang dalam pendidikan mereka.

Pelajar menengah pula terutama yang perempuannya, tak pandai nak jaga suara mereka. Kalau bercakap di tingkat 2, saya yang di tingkat bawah ni pun boleh mendengarnya. Hilai ketawa yang menggunakan bilik air pula tak ingat agaknya mereka tu sedang berpuasa. Kadang-kadang terasa juga letihnya berhadapan dengan kerenah pelajar-pelajar yang menggunakan perpustakaan ini. Bukannya kami tidak memberitahu mereka peraturan kami, bukannya kami tak paparkan besar-besar peraturan tersebut, bukannya kami tak ajar, bukannya kami tak nasihat, tapi degilnya mereka. Adakah hati-hati mereka sudah keras dari mendengar teguran dan nasihat. Bukannya kami ni menengking atau memarahi mereka dengan suara yang kuat dan keras. Insya-Allah kami lembut dalam tegas.

Suasana hingar bingar sekarang ni dah berkurang. Jam pun sudah menunjukkan pukul 3.20 petang. Tak lama lagi waktu operasi untuk hari ni akan tamat. Maka tunggu sajalah bagaimana pula suasananya. Saya berharap mereka turun dengan terkawal. Harapan saya...

KakChik
Kaunter Informasi
Dar Nur al-Zahra'
Untuk: darnur-alzahra.blogspot.com

Tuesday, September 2, 2008

Tazkirah Ramadhan: Jagalah Aurat Kita

Salam Ramadhan untuk semua.

Semoga hari kedua kita berpuasa ini kita semua semakin bertenaga untuk meningkatkan amalan. Bagi yang bekerja, sama-samalah kita berusaha menunaikan amanah tugas kita sebaik mungkin agar kita tidak berhutang dengan majikan kita dan dituntut jam bekerja di akhirat kelak. Walliyauzubillah. Ini juga peringatan untuk diri saya yang sering kali terlalai.

Baiklah, bersesuaian dengan bulan yang mulia ini, dan mudahnya untuk Allah mengurniakan ganjaranNya kepada hamba-hamba yang rajin berusaha mendekatiNya, marilah kita sama-sama memperingati diri tentang AURAT kita. Para saudari Muslimah inilah bulan terbaik untuk kita kembali memeriksa diri kita dalam menjaga peribadi kita. Bagaimanakah pemakaian kita setiap hari apabila berhadapan dengan orang-orang bukan Muhrim terutama apabila keluar dari rumah untuk ke pejabat, ke pasar, ke sekolah, ke bank, ke klinik atau ke pasar Ramadhan? Adakah kita sentiasa menjaga penampilan kita? Atau adakah sekadar memakai ala kadar sahaja?

Marilah kita memeriksa diri kita. JOM!

(Klik kedua-dua gambar untuk imej yang lebih besar.)
Semoga kita dapat bersama-sama menjaga diri kita. Bila kita hendak ke mana-mana cuba kita cek dulu perkara-perkara berikut:
  • Baju yang aku pakai ni ketat ke longgar?
  • Kain ni ketat kah?
  • Tudung ni insya-Allah dah labuh melepasi dada, tak jarang pun.
  • Ada belah mana-mana tak?
  • Seluar yang aku pakai ni ketat ke?
  • Kalau pakai baju pendek, tentu nampak bentuk peha dan punggung. Tak baik ni.
  • Baju ni dah labuh, kalau berjalan tak nampak punggung.
  • Baju ni dan labuh, kalau duduk tak nampak belakang.
  • Baju ni tak jarang... tak nampak bentuk badan.
  • dan sebagainya.

Periksalah dulu sebelum keluar rumah, agar kita tidak dipandang hina oleh orang lain. Periksalah dulu agar kita tidak menyeksa keimanan orang lain yang memandang. Periksalah dulu agar kita tidak mudah diganggu manusia-manusia mungkar. Periksalah dulu agar diri kita terjaga dari kemungkaran. Periksalah dulu agar diri kita dipandang bermaruah.

Wassalam.