Peminat Perpustakaan

Sunday, April 24, 2011

Tetamu dari MACEE: FULLBRIGHT Program

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih mengizinkan kita hidup di dunia ini. Masih bernafas, dapat menghirup udara bumi yang kadang menyegarkan dan ada masanya menyesakkan. Hakikatnya, kita masih diberi peluang oleh Yang Maha Mencipta untuk melaksanakan amanah kita sebagai Khalifah di dunia ini. Bermakna, peluang untuk kita melakukan amal makruf nahi mungkar masih terbuka luas. Oleh itu, kita mestilah manfaatkannya dengan sebaik mungkin.

En. Hanif, Dr. Foley, Cik Nurul dan Pn. Nor Haniza semasa lawatan pada 18 April lepas.

Dalam menjalankan amanah di perpustakaan awam wakaf ini, menerima tetamu rasmi yang datang untuk mengenali perpustakaan kami adalah satu anugerah yang amat berharga. Oleh kerana perpustakaan ini bukanlah di bawah pengawasan Perpustakaan Negara atau Perpustakaan Negeri, maka kami ketinggalan dalam banyak perkara berkaitan dunia perpustakaan. Kami banyak bergerak sendirian namun mempunyai hubungan yang agak baik dengan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan. Jadi, kelainan perpustakaan kami mungkin menjadi tarikan orang luar untuk datang melawat.

Minggu lepas, atas budi baik pihak Perpustakaan Awam Negeri Kelantan, seorang tetamu warga Amerika Syarikat telah datang berkunjung ke perpustakaan kami. Beliau ialah Dr. Sean Foley, seorang Timbalan Profesor di Jabatan Sejarah dari Middle Tennessee State University yang sedang bertugas di ISTAC, UIAM. Dr. Foley akan berada di Malaysia sehingga hujung tahun ini untuk menyiapkan tugasan beliau yang ditaja oleh di bawah Program FULLBRIGHT mungkin berkenaan Islam di Malaysia. Allahu'alam.

Kunjungan beliau hanya mengambil masa yang sebentar kerana tidak dirancang yang mana kami sendiri tidak dimaklumkan lebih awal. Walaubagaimanapun, selaku wakil Perpustakaan dar Nur al-Zahra', saya telah membawa beliau dan dua orang wakil dari PPAK untuk melawat sekitar perpustakaan ini. Dr. Foley agak memeranjatkan saya dengan kemampuan beliau menggunakan Bahasa Arab. Beliau kelihatan teruja bila dibawa melawat tingkat dua perpustakaan yang dipenuhi kitab-kitab berBahasa Arab.

Buku yang dihadiahkan oleh Dr. Sean Foley.

Sebelum lawatan berakhir, kami saling bertukar maklumat dan beliau berjanji untuk menghadiahkan beberapa buku yang beliau hasilkan untuk perpustakaan kami. Kebetulan beliau membawa bersama sebuah buku mengenai masjid-masjid di Amerika yang diterbitkan di dalam Bahasa Malaysia. Insyaallah kami mungkin akan berhubung lagi selepas ini. Terima kasih kepada Dr. Foley kerana sudi berkunjung ke perpustakaan kami dan terima kasih juga kepada pihak PPAK yang telah membawa beliau ke sini.

2 comments:

  1. Assalamualaikum kakchik.
    Dah berapa kali nak singgah,alhamdulillah dapat singgah juga akhirnya.
    Wah teruja ain melihat kunjungan pihak luar ke perpustakaan akak.Alhamdulillah, usaha kecil akak selama ini kelihatan semakin mbesar dengan jayanya, ibarat pokok kecil yang ditatang dan dibaja dengan rapi hingga mbesar dan menghasilkan buah yang elok...
    All the best kakchik!!!

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikummussalam Ain.
    Selamat datang ke blog Perpustakaan Dar Nur al-Zahra'. Terima kasih ya sebab sudi singgah di sini. Kalau sudi, Ain berilah respon atau input yang sesuai untuk perpustakaan kami ya.

    ReplyDelete

Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.