Peminat Perpustakaan

Sunday, April 17, 2011

Tetamu dari SMK Telok Mas, Melaka

Assalamualaikum dan salam sejahtera, salam membaca untuk semua.

Bergambar kenangan sebelum para tetamu bertolak ke destinasi seterusnya.

Alhamdulillah bertemu lagi kita di hari Ahad yang cerah ini. Cuaca yang sebegini baik amat sesuai untuk minda yang cerdas bekerja. Di saat ini hampir sebahagian warga Kelantan berada di tempat kerja, di sekolah, di pasar dan di rumah masing-masing. Hari ini hari bekerja untuk kami di Negeri Serambi Mekah ini. Terasa sungguh bersemangat bila kembali ke pejabat dalam cuaca yang cerah dan ceria seperti hari ini. Insyaallah hari ini kerja adalah lebih produktif berbanding minggu lepas.

Semalam, cuaca pun ceria seperti hari ini dan ianya sangat membantu kami dalam menyambut rombongan tetamu dari SMK Telok Mas, Melaka. Jauh datangnya tetamu kami kali ini berbanding sebelum-sebelum ini. Rombongan seramai 30 orang pelajar, 3 orang guru pengiring dan beberapa orang kanak-kanak. Alhamdulillah, dengan tangan terbuka kami menyambut kunjungan rasmi yang pertama untuk tahun ini.

Gambar dari sudut berbeza.

Sebagai wakil pihak pentadbiran, saya telah menyampaikan taklimat ringkas mengenai latar belakang Dar Nur al-Zahra' kepada peserta rombongan. Kesempatan yang ada diambil untuk memberikan sedikit motivasi kerohanian kepada mereka yang terdiri dari pelajar berusia 15 hingga 17 tahun, agar memanfaatkan perpustakaan yang ada di Melaka sebagai tempat kedua penting selain rumah sendiri. Selepas taklimat, peserta rombongan dibawa melawat ke beberapa ruangan yang ada untuk melihat suasana, bergambar kenang-kenangan dan sebagainya.

Tempoh satu jam berjalan lancar dengan kerjasama yang amat baik dari paar pelajar dan guru-guru pengiring yang cukup 'sporting'. Rasanya hubungan menjadi lebih akrab antara pihak kami dan ahli rombongan apabila mereka dijamu dengan sedikit hidangan minum pagi sebelum mereka bertolak ke destinasi seterusnya iaitu ke Pasar Besar Siti Khadijah di Kota Bharu,.

Pihak Perpustakaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh pelajar dan guru SMK Telok Mas yang telah sudi berkunjung ke Perpustakaan kami. Semoga hubungan yang dibina akan merapatkan lagi ukhuwwah antara dua negeri yang jauh ini. Insyaallah jika kalian berkesempatan ke Kelantan lagi, silakan singgah di sini, kami pasti akan melayan dan membantu dengan sebaik mungkin.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.