Peminat Perpustakaan

Tuesday, April 5, 2011

Isu Pengharaman Tarian Poco-Poco (1)

Keratan akhbar Berita Harian:
BH Online

Mufti perlu kata sepakat sebelum buat fatwa

Oleh Shamrahayu A Aziz
2011/04/05

Ketidakseragaman undang kekeliruan di kalangan masyarakat

PERKARA berkaitan fatwa sering memenuhi ruang media di negara kita. Suatu ketika dulu, fatwa berkaitan yoga menarik perbincangan, bukan saja di kalangan orang Islam di negara ini, tetapi juga orang bukan Islam dari luar negara.

Sebuah stesen televisyen Jerman pernah menemuramah saya mengenai fatwa yoga. Entah kenapa perkara akidah agama Islam ini menarik perhatian mereka saya pun tidak pasti.

Minggu lalu, fatwa mengenai tarian poco-poco di Perak mendapat tempat di media. Bagi tujuan tulisan di ruangan ini saya tidak merujuk kepada fatwa berkaitan poco-poco saja. Saya juga tidak mahu mempersoalkan perkara halal atau haram sesuatu isu seperti yoga atau poco-poco ini. Untuk isu halal atau haram itu saya serahkan kepada pihak yang pakar dalam ilmu akidah Islam.

Dalam ruangan ini saya cuma ingin berkongsi mengenai persoalan berkaitan keseragaman fatwa di negara kita. Persoalan ini sering diajukan kepada saya ketika berceramah atau membuat kenyataan di akhbar.

Perlulah saya sebut bahawa, perbezaan fatwa antara negeri bukan perkara baru di negara kita. Fatwa berkaitan rokok, yoga dan program motivasi ESQ, contohnya menarik pelbagai perdebatan.

Walaupun perbezaan fatwa antara negeri ini adalah perkara lumrah, ramai masyarakat Islam menyatakan kepayahan mereka untuk menerima perbezaan pendapat di kalangan mufti.

Pada mata masyarakat, mufti haruslah sentiasa bersatu kata. Dalam kata lain, masyarakat Islam Malaysia mahukan keseragaman fatwa di seluruh bahagian negara ini. Persoalan yang bersarang di minda masyarakat Islam negara ini ialah kenapa perbezaan itu berlaku?

Ketika menjawab persoalan ini, saya sentiasa menyatakan bahawa perkara yang perlu diketahui, disedari dan dihargai masyarakat Islam di Malaysia ialah Islam adalah urusan negeri. Oleh itu, perkara berkaitan fatwa ialah urusan negeri. Seterusnya, terpulanglah kepada pentadbir, terutama mufti, yang terbabit dalam urusan Islam di negeri untuk membuat keputusan berkaitan agama Islam.

Kenyataan undang-undang seperti ini tidak dapat membuat masyarakat Islam berpuas hati. Saya akui, ada benarnya apa yang dirasakan itu. Sudah wujud beberapa tindakan untuk mengawal selia dan menggalakkan kepada keseragaman fatwa.

Penubuhan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia sejak awal 1970 adalah contoh terbaik. Namun, ia belum dapat menyelesaikannya. Pernah juga dicadangkan supaya Malaysia mempunyai seorang saja mufti atau Malaysia melantik Mufti Utama atau ‘Grand Mufti’.

Pelbagai komplikasi, sama ada dari aspek undang-undang atau pentadbiran yang melatari sistem pentadbiran dan cadangan ini.

Oleh itu, apakah tindakan sewajarnya yang perlu dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (yang terdiri daripada mufti sendiri dan beberapa panel yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja), atau mereka yang berkaitan dalam menyelesaikan perkara ini?

Bagi kepentingan umum, secara ideal, ada baiknya Jawatankuasa Fatwa menghendaki setiap mufti mencapai kata sepakat dalam membuat garis panduan mengenai sesuatu isu sebelum mufti membuat fatwa berkaitan.

Bagi mufti, elok juga sekiranya hanya mengeluarkan fatwa bagi negerinya selepas sesuatu perkara itu diputuskan oleh panel muzakarah dan selepas garis panduan selesai dibuat dan dipersetujui.

Selain itu, garis panduan yang dibuat oleh panel muzakarah perlulah disebar luaskan menerusi media cetak atau online. Selepas itu, barulah setiap mufti memberi pendirian masing-masing untuk diterima pakai di negeri masing-masing.

Walaupun terdapat kemungkinan mufti masih berbeza pendapat, sekurang-kurangnya masyarakat mendapat gambaran sebenar mengenai aspek tertentu yang menjadi ukuran atau penilaian mufti.

Amat benar sekiranya ada kalangan pembaca yang arif dalam bidang undang-undang berpendapat bahawa cadangan saya ini terlalu ideal kerana kedudukan mufti sebagai orang paling berhak mengeluarkan fatwa mengenai sesuatu di negeri masing-masing. Oleh itu, kita tiada mekanisme undang-undang untuk menyekat mufti di setiap negeri bagi membuat fatwa bagi negeri masing-masing.

Saya akui itu. Ironinya, sekiranya perkara penting ini tidak dapat diselesaikan menerusi mekanisme undang-undang, maka mekanisme pentadbiran perlu mengambil tempat kerana ia akan dapat memberi lebih manfaat kepada semua pihak.

Saya sedar, sudah banyak usaha dalaman yang dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini. Namun, sampai hari ini, masalah sama terus berulang.

Bagi masyarakat pula mungkin tindakan yang perlu diambil dalam menyelesaikan kekeliruan mereka dalam isu ketidakseragaman fatwa ini ialah dengan menerima kenyataan dan menghargai kedudukan Islam sebagai urusan negeri.

Justeru, dalam apa juga tindakan atau perbuatannya, masyarakat hendaklah sentiasa menyesuaikannya dengan lokasi dan dipadankan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh mufti negeri. Kedudukan fatwa di setiap negeri hendaklah sentiasa dihormati.

Masyarakat juga hendaklah sentiasa proaktif dalam mencari maklumat berkaitan sesuatu perkara atau garis panduan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa.

Maklumat ini akan menghalang masyarakat daripada berterusan mempersoalkan kedudukan mufti dan fatwa. Sekiranya ahli masyarakat berterusan mempersoalkan fatwa, ia akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada mufti dan juga agama Islam sendiri.

Selain daripada itu, masyarakat juga mestilah menerima autoriti mufti. Mereka tidak harus atau mempersoalkan keputusan mufti sewenang-wenangnya atau menghentam mufti dengan menggunakan bahasa kesat tanpa segan silu.

Masyarakat perlu menghormati alim ulama termasuk mufti. Sekiranya masyarakat mempunyai persoalan mengenai keputusan mereka, gunakanlah mekanisme yang betul, bukan dengan cara mengambil pendekatan tidak bertamadun itu.

Penulis ialah Penolong Profesor di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.