Assalamualaikum wbt.
Para rakan dan tetamu yang diraikan. Setelah sekian lama blog ini tidak dapat dikemaskini kerana sebab tertentu, kini kami kembali menulis di sini bagi berkongsi cerita, berita dan maklumat dengan anda mengenai perpustakaan kami iaitu Dar Nur al-Zahra'.
Hari ini sudah masuk hari ke-5 seluruh ummat Islam di Malaysia berpuasa. Biasanya di bulan Ramadhan ini tidak banyak aktiviti yang kami anjurkan kerana kami tahu kita semua ingin menambah ibadat masing-masing terutamanya membaca Al-Quran. Bagi adik-adik yang bakal menghadapi peperiksaan yang besar, setiap petang Dar Nur al-Zahra' dikunjungi untuk bertemu rakan-rakan dan sama-sama mengulangkaji pelajaran.
Ada yang datang bawa keluarga untuk sama-sama memakmurkan perpustakaan ini. Baguslah! Sememangnya di waktu-waktu beginilah kami merasakan satu keseronokan kerana melihat begitu ramai di kalangan kita yang suka berkunjung ke perpustakaan.
Ada yang datang mencari buku tertentu tapi sayangnya kami pula tidak mempunyai buku tersebut di dalam koleksi kami. Tapi insya-Allah kami akan bantu mereka dengan memberi pandu arah untuk mendapatkan buku yang dimaksudkan. Kami akan sarankan agar mereka ke Perpustakaan Awam Negeri Kelantan atau ke mana-mana perpustakaan yang kami tahu boleh dikunjungi oleh orang awam.
Yang pastinya, kami bersyukur kerana selepas hampir 7 tahun Dar Nur al-Zahra' beroperasi, kedatangan pengunjung amatlah membanggakan dengan purata hampir seratus orang sehari. Semoga Allah memberi kami kekuatan untuk terus berusaha meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan dan aktiviti kami demi mengajak orang ramai mencintai ilmu.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.