Peminat Perpustakaan

Saturday, January 2, 2010

Wujudkan perpustakaan di mana-mana

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, kita kini sudah pun berada di tahun baru hijrah 1431 dan kini di hari kedua tahun 2010. Sempena tahun baru ini Dar Nur al-Zahra' akan terus berusaha untuk memantapkan lagi prestasi perkhidmatan kami kepada semua pengunjung. Kami juga berharap pada tahun ini semakin ramai orang yang akan berkunjung ke perpustakaan ini untuk menambah ilmu dan mencari rujukan.

Semalam saya ada membaca di dalam Kosmo Online mengenai perpustakaan di dalam pasaraya. Walaupun saya pernah mendengar mengenainya namun itulah kali pertama saya melihat sedikit gambar dan berita mengenai salah sebuah perpustakaan berkenaan di negara ini. Rujukan beritanya seperti di bawah:

Perpustakaan dalam pasar raya


Perpustakaan Siber Ilmu AEON Jusco yang dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang menerima sekurang-kurangnya 100 pengunjung setiap hari.






MEMBACA sambil membeli-belah. Bunyinya tidak pelik, tetapi menarik terutama bagi ulat buku yang pada masa sama ingin menghabiskan masa bersantai di kompleks beli-belah.

Menyedari penyediaan perkhidmatan itu mampu memberi nilai tambah kepada pengunjung, pihak pengurusan Pusat Membeli-belah AEON Jusco Seberang Perai City di Bandar Perda, Bukit Mertajam tampil bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP).

Pusat beli-belah adalah sebuah lokasi yang paling ramai dikunjungi masyarakat pelbagai peringkat usia dan latar belakang tanpa mengira waktu. Kerjasama kedua-dua pihak terbabit dimeterai pada 22 Ogos 2008 apabila sebuah perpustakaan mini beroperasi di AEON Jusco.

Dikenali sebagai Perpustakaan Siber Ilmu AEON Jusco, ia disediakan secara percuma oleh pengurusan AEON Jusco Seberang Perai City - PPAPP dengan koleksi hampir 4,000 naskhah bahan bacaan, lebih 300 bahan media termasuk CD-Rom, kaset dan video serta hampir 350 majalah di setiap rak kawasan berkeluasan 398 meter persegi.

Setelah lebih setahun dibuka, jumlah pengunjungnya melebihi 150 orang pada cuti hujung minggu dan cuti sekolah termasuklah ketika menjelang musim peperiksaan.

Kemudahan

Walaupun hanya mempunyai keluasan menyamai sebuah rumah pangsapuri, ia masih mampu menampung limpahan pengunjung daripada pelbagai lingkungan usia.

Ini kerana setiap bahan yang terdapat di dalam perpustakaan berkenaan diletakkan di setiap sudut berbeza bagi memberi kemudahan kepada pengunjung.

Malah sudut bagi kanak-kanak juga diasingkan daripada sudut pengunjung remaja dan dewasa bagi membolehkan mereka menikmati keadaan yang selesa ketika mentelaah setiap bahan bacaan yang dicapai.

Begitu juga dengan sudut media menempatkan kaca televisyen yang turut diasingkan daripada ruangan membaca yang sudah semestinya mengutamakan suasana yang lebih tenteram dan sunyi.



PUSAT beli-belah AEON Jusco Seberang Perai menawarkan kemudahan perpustakaan kepada pengunjungnya.



"Kami yakin dengan pembukaan perpustakaan mini di pusat beli-belah seperti di AEON Jusco Seberang Perai City ini, kami mampu mencapai matlamat untuk menjadikan membaca sebagai satu amalan dalam kehidupan masyarakat kita.

"Kami juga merasakan ia sebagai satu kemudahan kepada masyarakat untuk mengunjungi perpustakaan di samping mereka membeli-belah," kata seorang Penolong Pegawai Perpustakaan PPAPP.

Menjadi perpustakaan ketiga yang dibuka di pusat membeli-belah di Pulau Pinang selepas di Komtar (Kompleks Tunku Abdul Razak) di George Town dan Kompleks Mayang di Bayan Baru, kewujudan Perpustakaan Siber Ilmu AEON Jusco dilihat mampu memberi nilai tambah kepada PPAPP dalam usaha menambat hati masyarakat terhadap budaya membaca.

Tabiat membaca

Malah PPAPP turut yakin dengan langkah bijak yang diambil melalui kerjasama AEON Jusco Seberang Perai City. Ia dilihat mampu menambah minat masyarakat untuk mendekatkan diri dengan gedung ilmu yang menempatkan 1,001 pengetahuan.

PPAPP yang diterajui pengarahnya, Shukriah Yon komited bagi menjayakan usaha memikat hati masyarakat dengan menjadikan tabiat membaca sebagai satu amalan dalam kehidupan mereka.

Menanam minat membaca dalam kalangan masyarakat bukanlah satu perkara yang mudah, apatah lagi ketika dunia sedang menongkah arus alam siber. Kempen sahaja belum cukup untuk menjadikan aktiviti membaca sebagai satu tabiat dalam kehidupan masyarakat.



KESELESAAN antara faktor penting yang ditekankan di Perpustakaan Siber Ilmu AEON Jusco Seberang Perai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.



Justeru tidak hairanlah sejak ditubuhkan pada Ogos 1972 sehingga kini, PPAPP sudah mempunyai lima cawangan perpustakaan di seluruh negeri (tidak termasuk sebuah perpustakaan cawangan yang sedang dalam pembinaan di Bertam, Kepala Batas) dan sebuah perpustakaan kanak-kanak.

Jabatan itu turut mengoperasikan dua perpustakaan dalam kategori pekan, 50 perpustakaan Komuniti Siber Ilmu dalam kategori desa selain 28 lagi perpustakaan sama milik Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang dikawal-selia oleh PPAPP.

Jumlah tersebut tidak termasuk 12 buah bas yang dijadikan perpustakaan bergerak, tiga buah Perpustakaan Siber Ilmu yang dibuka di pusat beli-belah di Pulau Pinang dan sebuah perpustakaan negeri yang beroperasi di Seberang Jaya.

Melihat kepada kejayaan perpustakaan mini di pusat beli-belah, pengurusan PPAPP kini mengorak langkah untuk membuka lebih banyak perpustakaan konsep sama dengan kerjasama pihak pengurusan kompleks masing-masing bagi menyemarakkan lagi budaya membaca.

Menarik sekali!

Saya memang sukakn sesuatu yang baru terutama kalau ia ke arah menggalakkan masyarakat kita suka membaca. Usaha syarikat AEON ini amatlah dihargai kerana kini kita mempunyai alternatif kepada perpustakaan konvensional yang sedia ada. Pada saya, untuk menggalakkan masyarakat kita sukakan buku dan suasana ilmu, penggiat-penggiat buku dan ilmu mestilah kreatif dalam menarik minat mereka.

Kalaulah saya berkemampuan, sudah tentu saya berusaha menurut jejak langkah syarikat tersebut dengan membuka sebuah perpustakaan di dalam mana-mana pusat membeli-belah di negeri ini. Insyaallah, suatu hari nanti mungkin hajat ini menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.