Dari Berita Harian 17hb. Ogos 2010 bersamaan 7 Ramadhan 1431 Hijrah.
Isi masa Ramadan
Oleh Jami'ah Shukri
bhnita@bharian.com.my
2010/08/16
Baca buku sementara tunggu waktu berbuka
MENYEMPURNAKAN ibadat puasa menahan lapar dan dahaga bermula selepas Subuh sehingga tenggelamnya matahari dianggap begitu mencabar khususnya bagi kanak-kanak.
Sepanjang tempoh hampir sembilan jam berhadapan dengan situasi berlapar dan dahaga untuk golongan itu, termasuk kanak-kanak yang baru belajar berpuasa mungkin boleh dilaksanakan sekiranya mereka mempunyai kekuatan, semangat dan galakan daripada diri sendiri dan ibu bapa.
Ibu bapa perlu bijak menangani pergerakan, aktiviti dan kerenah anak supaya mereka tidak mudah mengalah dan berbuka puasa sebelum waktu sepatutnya. Tidak mustahil apabila ada segelintir anak yang tidak sudah-sudah keluar masuk ke dapur meminta kebenaran ibu untuk berbuka awal.
Ada juga anak yang asyik melihat jam dan berkira-kira berapa lama lagi waktu berbuka, selain cuba mencuri makan dan minum kerana tidak tahan godaan terutama apabila melihat adik kecil makan dan minum di depannya.
Dalam konteks ini, ibu bapa mungkin boleh melakukan inisiatif tertentu seperti menyediakan pelbagai aktiviti berfaedah dan berkualiti untuk anak, sama ada dilakukan secara bersendirian atau bersama keluarga dianggap supaya dapat melekakan mereka daripada memikirkan untuk makan atau minum.
Lazimnya bagi kanak-kanak atau remaja, sepanjang hari mereka sibuk ke sekolah pada waktu pagi atau petang, kecuali pada cuti hujung minggu. Walaupun masa mereka sebenarnya sudah diisi dengan mengikuti pelajaran di sekolah, namun, apabila pulang ke rumah mereka masih ada berbaki masa sementara menunggu waktu berbuka puasa.
Ketika itu, dianggap waktu paling mencabar anak untuk memastikan tidak melakukan perkara yang membatalkan ibadat itu, sebaliknya mampu menyempurnakan sehingga waktu berbuka.
Oleh itu, antara aktiviti berkualiti boleh dilakukan bagi mengisi masa lapang oleh kanak-kanak serta remaja ini ialah dengan membaca buku yang bermanfaat dan bersesuaian dengan suasana Ramadan. Aktiviti itu tidak saja dapat meningkatkan ilmu pengetahuan, malah akan mendapat pahala yang berlipat kali ganda kerana mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah.
Lambakan buku bersesuaian dengan jiwa dan naluri kanak-kanak serta remaja, memang banyak di pasaran. Mungkin, selain membaca al-Quran, buku berunsur keagamaan yang dihasilkan dalam bentuk fiksyen atau komik yang ringan mengenai kisah dan teladan nabi, sahabat nabi, tokoh Islam, ulama atau lain memberikan satu suntikan yang bermanfaat untuk golongan berkenaan bagi memupuk sifat suka membaca.
Justeru, antara syarikat buku menyediakan bahan ilmiah termasuk PTS Publications dan Distributors Sdn Bhd begitu prihatin, memahami dan menyelami dunia kanak-kanak serta remaja mengenai bahan yang mereka gemari.
Sesungguhnya kehadiran Ramadan al-Mubarak sewajarnya bukan alasan setiap umat Islam mengelakkan daripada berpuasa, sebaliknya ia perlu diisi dengan program yang bermakna bagi memastikan ibadat dijalani tidak sia-sia.
Eksekutif Pegawai Perhubungan Awam, PTS Publications dan Distributors Sdn Bhd, Roslan Isa, sependapat Ramadan seharusnya bulan ditunggu umat Islam tanpa mengira usia dan latar belakang.
Katanya, Ramadan lebih menyeronokkan jika diisikan program dengan bijak di samping menjalani Rukun Islam yang lima.
Menyedari hakikat itu, sebagai syarikat penerbitan buku terunggul di negara ini, sempena Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang, PTS menerbitkan 52 judul buku baru pelbagai kategori yang sesuai dijadikan bahan bacaan sepanjang Ramadan termasuk tujuh judul untuk kanak-kanak serta remaja.
“Saya yakin buku yang diterbitkan ini mampu menarik minat remaja dan kanak-kanak membacanya kerana digarap dengan bahasa mudah difahami serta ilustrasi penuh berwarna-warni.
“Dengan saiz sederhana juga memudahkan pembaca kecil ini membawa ke mana saja. Saya fikir Ramadan ini memang masa paling tepat kepada kanak-kanak ini mengisi masa lapang sementara menunggu waktu berbuka puasa dengan aktiviti membaca.
“Mungkin kanak-kanak boleh memperuntukkan setengah jam waktu sebelum berbuka puasa, membaca bahan bacaan ini. Daripada mereka tidur atau melayan mata daripada mengantuk adalah lebih baik dipenuhi dengan aktiviti membaca.
“Apa yang penting, mereka tidak saja dapat menambah ilmu, malah mampu melipatkan ganda pahala dengan melakukan aktiviti berfaedah ini, selain terhibur dan ceria dengan cerita yang dipaparkan.
“Kita juga mengharapkan, segala ilmu yang diperoleh daripada bahan bacaan itu dapat disebarkan kepada rakan lain. Kita memang digalakkan berkongsi ilmu dan sudah pasti pahalanya akan berlipat kali ganda. Mungkin bagi rakan yang belum memiliki buku, anak kita boleh meminjamkan kepadanya atau mereka boleh membeli di kedai buku, ” katanya.
Buku diterbitkan itu sarat dengan cerita menarik yang diolah dengan baik bagi memenuhi cita rasa dunia kanak-kanak dengan menyulamkan kisah dan teladan sehingga menyebabkan pembaca terus teruja menamatkan dengan segera.
Siri Kisah Si Puteri (Riang Ria Dunia Persahabatan dan Gaun Merah Jambu), umpamanya adalah berdasarkan cerita fiksyen sesuai untuk kanak-kanak ingin meneroka dunia puteri di zaman silam.
“Selama ini, kanak-kanak di negara ini lebih didedahkan kepada cerita fiksyen Cinderella, Snow White dan Little Red Riding Hood yang berlatar belakang watak Barat, tetapi berbeza dengan Kisah Si Puteri, yang berperwatakan keislaman. Dalam Kisah Si Puteri ini, ia mengandungi beberapa kisah berbeza dan mampu dihabiskan dalam tempoh singkat.
“Buku 101 Akhlak Rasulullah pula, dianggap menarik kerana memaparkan contoh akhlak Rasulullah yang boleh dicontohi. Anak pasti tidak akan bosan menatap buku ini kerana turut disertai aktiviti mudah.
“Buku bertajuk ‘Putera Fariri’ dan ‘Buku Resipi Ajaib’ serta ‘Tiket Bola Sepak Untuk Putera Haziq’ pula sesuai bagi anak lelaki. Semua bahan bacaan ini dapat mendidik serta memupuk mereka ke arah kebaikan dan berakhlak mulia.” katanya.
Bersempena kedatangan Aidilfitri, komik bertajuk ‘Baju Raya Dari Syurga’ dan ‘Komik-M Raya’ dengan lakaran karakter kartun yang pasti akan meningkatkan minat anak untuk membaca dan sekali gus menambahkan lagi suasana kemeriahan menyambut bulan mulia itu.
Justeru, sebagai ibu bapa sewajarnya lebih bertanggungjawab untuk mencari bahan bacaan yang ilmiah dan sesuai dengan anaknya.
Sementara ibu bapa keluar membeli-belah untuk persiapan Aidilfitri, mungkin mereka boleh singgah di mana-mana kedai buku bagi mendapatkan bahan bacaan ini. Malah mereka yang berminat boleh membeli secara dalam talian di alamat bookcafe.com.my.
Semoga memberi manfaat kepada kita semua.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.