Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my
2010/08/16
Astro Tutor TV rangsang pelajar siap sedia hadapi UPSR
TABIAT malas membaca sedikit sebanyak tetap ada dalam diri kanak-kanak dan remaja apabila diminta mengulang kaji pelajaran di rumah, walaupun ibu bapa mengasak secara bertubi-tubi dengan menyuruh mereka belajar atau melakukan kerja sekolah diberikan guru.
Sumber gambar di sini. |
Dalam konteks ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting menggalakkan anak mengulang kaji pelajaran dan tidak seharusnya cepat naik berang apabila enggan mengulang kaji pelajaran, sebaliknya memberi sokongan dengan menggunakan pendekatan tertentu bagi meningkatkan minat mereka terus belajar dan sekali gus mendapat keputusan dalam peperiksaan.
Sudah lumrah, segelintir kanak-kanak dan remaja memang tidak suka mengulang kaji pelajaran, sebaliknya lebih gemar menghabiskan masa menatap skrin kaca televisyen seakan tiada jemu di hatinya terutama apabila ada program yang diminati. Jika ibu bapa tidak tegas, seharian pastinya tumpuan mata terus melekat di depan televisyen.
Hakikatnya, kewujudan televisyen yang menyediakan pelbagai rancangan memang ada kebaikan dan keburukannya kepada masyarakat termasuk kanak-kanak dan remaja. Sebenarnya televisyen mampu merangsang golongan itu untuk belajar lebih berkesan menerusi program bersesuaian terutama jika ia dibuat dalam bentuk santai dan bersifat hiburan.
Televisyen sebenarnya, boleh dianggap sebagai medium alternatif dalam mendapatkan sumber maklumat dan ilmu. Kajian di peringkat global menunjukkan secara purata, pelajar mampu mengingati sebanyak 50 peratus apabila mereka melihat dan mendengar berbanding 10 hingga 20 peratus apabila mereka membaca.
Kajian berkenaan juga menunjukkan teknologi baru memberi kesan pembelajaran yang lebih hebat dengan membenarkan pengguna untuk memiliki interaktiviti yang besar. Kajian lain pula menunjukkan pembelajaran multimodal melalui media seperti televisyen dan internet terbukti mencetuskan retensi mental dalam jangka panjang.
Oleh itu, ramai kalangan penerbit menyediakan pelbagai program televisyen bercorak pendidikan untuk memberikan alternatif kepada pelajar mendapatkan bahan pembelajaran dan pendidikan (P&P) untuk pelajar.
Menyedari kesan positif daripada disiplin menonton televisyen atau interaktif di internet, saluran pendidikan Astro Tutor TV dijangka mampu melonjakkan minat pelajar mengikuti pembelajaran secara berkesan kerana modul yang disusun bersesuaian dengan tahap pembelajaran pelajar dalam membantu persiapan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Pengurus Saluran Astro TVIQ, Sharifah Noraidah Syed Ismail, berkata saluran berkenaan dipancarkan sejak pertengahan Julai lalu menerusi Saluran 100 adalah bertepatan dengan musim peperiksaan yang bakal dihadapi pelajar, khusus mereka yang akan menduduki UPSR, tidak lama lagi.
Katanya, Astro Tutor TV diadakan khusus untuk membantu pelajar yang ingin menduduki UPSR yang sarat dengan kandungan sukatannya sama dengan pembelajaran di sekolah.
“Program ini disiarkan berterusan selama 24 jam, tetapi sirinya adalah berbeza kerana ada banyak mata pelajaran ditawarkan kepada pelajar yang ingin mengikuti tutorial secara bersendirian di rumah, tanpa gangguan sesiapa,” katanya ketika ditemui Astro, di Bukit Jalil, baru-baru ini.
Sharifah Noraidah berkata, antara subjek ditawarkan adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Ia akan diulang tayang bagi memberi peluang pelajar yang terlepas siarannya mengulangkaji pada siaran akan datang.
“Pelajar tidak perlu risau kerana subjek berkenaan akan ditayang berulang kali jika terlepas siaran pada awal pagi, mereka boleh mengikuti siaran sebelah petang.
“Melalui pendekatan yang holistik, program ini menyediakan topik persiapan menghadapi peperiksaan. Program diatur membantu pelajar menguasai tajuk sukar termasuk nasihat mengenai strategi pembelajaran, motivasi diri, pengurusan masa dan kepentingan menjaga kesihatan menjelang peperiksaan,” katanya.
Kesemua empat subjek UPSR itu boleh didapati dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris manakala Sains dan Matematik pula akan disediakan di dalam Bahasa Melayu dan Mandarin tidak lama lagi.
“Penyiaran subjek ini juga seperti serampang dua mata. Selain dapat mengikuti subjek tutorial, pelajar dapat mempelajari bahasa kerana mereka boleh memilih sama ada Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris,” katanya.
Lebih menarik lagi, saluran ini menyediakan pembelajaran bersifat interaktif apabila mereka boleh menyertai kuiz mini dengan menekan butang merah melalui alat kawalan jauh.
Dengan satu sentuhan butang, fakta dan formula akan segera muncul di skrin seperti serangkai kad imbasan. Pembelajaran interaktif ini tidak terhenti di skrin televisyen anda kerana laman sesawang Astro Tutor TV turut menyediakan ulangan pembelajaran, kuiz dan ujian percubaan secara dalam talian.
Sharifah Noraidah berkata, program di Astro Tutor TV digarap dengan bantuan guru berpengalaman dalam bidang akademik dan motivasi.
Pembelajaran akademik diseimbangkan juga dengan kandungan segmen Bijak Belajar, Lulus! dan Silap lagi ialah siri format pendek menggunakan ibu jari sebagai ’watak’ yang mengajar pelajar bagaimana untuk mengelakkan kesalahan yang biasa dilakukan di dalam peperiksaan dengan cara humor.
Bijak Belajar mengaplikasikan strategi guna-cuba seperti pemetaan fikiran dan kad imbasan, manakala Di dalam Lulus!, lima orang pelajar berketerampilan berkongsi rahsia peribadi mereka mengenai pengurusan masa dan motivasi diri.
Sharifah Noraidah menambah, ibu bapa juga sepatutnya melihat program orientasi saluran ini bagi membantu anak lebih memahami subjek disiarkan selain sebagai memberi galakkan mereka terus belajar.
“Sekiranya anak tidak faham, mereka boleh merujuk kepada ibu bapa. Astro mengesyorkan ibu bapa menjadi sebahagian daripada pembelajaran itu dan menggalakkan anak mencuba kuiz interaktif.
“Sokongan dan dorongan ibu bapa dapat meningkatkan pembelajaran anak. Di negara maju program seumpama itu yang menjadikan televisyen dan halaman sesawang e-pembelajaraan sebagai medium untuk membantu pelajar mengulangkaji,” katanya.
---------------------------------
Nota DNaZ: Kami kongsikan artikel ini bukan kerana mempromosikan Astro Tutor TV tapi sekadar mahu memberitahu bahawa TV juga boleh dimanipulasikan dalam menggalakkan anak-anak minat untuk membaca.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.