Peminat Perpustakaan

Tuesday, October 5, 2010

Program Wakaf Buku PTS

Artikel dipetik daripada blog http://kalamkhalifah.blogspot.com/ oleh Tuan Zahiruddin Zabidi, penulis buku PTS

Gambar hiasan dari Cerita Penulis Buku
Bulan Ramadan yang berlalu pergi mencatatkan 1001 kenangan dalam ingatan. Selain daripada dapat lagi bertemu dengan ibadah-ibadah sunat dan wajib yang hanya didapati dalam bulan Ramadan seperti berpuasa dan bertarawih, amalan-amalan sunat lain juga rancak berlangsung.

Masing-masing daripada kalangan umat Islam berebut-rebut menggondol ganjaran pahala dengan tawaran yang hebat daripada Allah sehinggakan pahala ibadah sunat diganjarkan dengan pahala ibadah wajib dan sebagainya. Ini tidak termasuk jika seseorang itu dipilih Allah bertamu kepada malam lailatul-qadr, malam seribu bulan.

Tidak salah jika dikatakan bulan Ramadan adalah bulan yang paling dinanti-nantikan oleh anak-anak yatim yang kurang bernasib baik dan sebagainya. Semoga bulan Ramadan juga menjadi bulan hiburan buat mereka walaupun agak tidak patut mereka hanya diberi perhatian pada bulan Ramadan sahaja.


Sedekah

Antara amalan sunat yang sangat dituntut dalam bulan Ramadan antaranya adalah sedekah. Rasulullah sendiri sebagaimana yang dilaporkan oleh isterinya Aisyah, menjadi sangat pemurah dalam bulan Ramadan.

Rasulullah menjelaskan melalui katanya yang direkod Imam Bukhari yang diambil daripada Abu Dzar yang bermaksud,“Beberapa orang sahabat Nabi Muhammad pernah berkata kepada beliau, ‘Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka.’

Jawab Rasulullah, “Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah.”

Mereka bertanya, ‘Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?’

Jawab Rasulullah, “Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala.”

Beberapa ayat al-Quran juga menjelaskan mengenai kelebihan bersedekah.

Allah menjelaskan dalam Surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud, “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

Dalam surah yang sama ayat 261 pula Allah menjelaskan kelebihan bersedekah dengan firmannya yang bermaksud, “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan Nya.”

Banyak lagi ayat al-Quran mahupun hadis Rasulullah yang menjelaskan tentang kelebihan bersedekah. Ini ditambah pula dengan kehadiran Ramadan yang menjanjikan segala amalan dinilai dengan nialaian yang berganda-ganda.

Di Malaysia juga tidak dinafikan ramai individu dan kumpulan-kumpulan tertentu yang mengambil peluang mengadakan program infaq mereka sendiri kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan lain-lain. Kebiasaannya sedekah ini adalah berbentuk makanan dan pakaian dan perkara yang berkaitan dengannya. Tidak kurang juga dengan membiayai perbelanjaan mereka menyambung pelajaran, membayar bil-bil tempat mereka dan sebagainya.

Namun, tanpa sedar masih ada sisi sedekah yang sangat penting kurang mendapat perhatian daripada masyarakat kita. Ianya adalah sejenis sedekah yang mampu menjana pahala yang berpanjangan sekaligus memberi mereka ilmu bagi digunakan di dunia dan akhirat.


Sedekah Ilmu

Beberapa pemerhatian dan soal selidik dibuat sekitar rumah anak yatim Lembah Kelang dan pihak kami mendapati hampir 90% daripada rumah anak-anak yatim ini tidak mempunyai perpustakaan bahkan sudut membaca sekalipun. Apatah lagi buku-buku bagi mengisi gizi tumbesaran minda dan sakhsiah mereka itu sendiri.

Ini adalah satu kerugian yang besar kerana peluang bagi anak-anak ini diasuh minat membaca adalah sangat besar.Mereka yang menginap di asrama mempunyai banyak lebihan masa yag wajar dididik agar lebih berminat membaca buku daripada asyik menonton televisyen dan sebagainya.

Justeru, pihak rumah penerbitan PTS Publication & Distributor Sdn. Bhd. bersetuju menjalankan program infaq Ramadan dengan menyedekahkan buku-buku yerpilih kepada rumah-rumah anak yatim tersebut.

Penyerahan yang dilakukan secara berperingkat mengikut rumah sukan masing-masing bebas memilih lokasi rumah anak yatim yang mahu mereka serahkan buku-buku beserta sebuah rak. Selain buku, pihak pengurusan juga berbesar hati memberikan sejumlah wang RM800 kepada setiap rumah sukan bagi digunakan sewajarnya bertujuan juga disedekahkan kepada rumah anak yatim tersebut. RM800 itu juga boleh ditukar dengan buku tambahan bagi mereka yang tidka mahu memberikan selain daripada buku dalam proses infaq mereka itu.


Berkongsi Program Sedekah Ilmu

Berita baik kepada sesiapa sahaja di luar sana yang berminat memberikan infaq ilmu yang diyakini pahalanya berpanjangan ini adalah pihak PTS juga sudah membuka penyertaan kepada mereka yang berminat bagi turut menyumbang sama dalam program ‘Wakaf Buku PTS 2010’ ini.

Dengan hanya bermodalkan RM200, para penyumbang boleh memilih sendiri pakej yang mereka ingini serta lokasi yang mahu dihantarkan buku-buku tersebut. Buku-buku tersebut juga sudah didiskaunkan sebanyak 20% bagi setiap pakej. Ini dilihat sebagai satu peluang kepada mereka di luar sana turut berpeluang menyumbang dalam program wakaf ini.

Program yang bermula 17 Ogos lalu dan akan berakhir pada 31 Disember 2010 ini dijangka akan mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat di luar sana yang mencintai kebajikan dan ilmu.

Bagi maklumat lanjut, tuan puan boleh melayari alamat http://www.bookcafe.com.my/my/senarai-wakaf-ramadan-2010-my/ atau terus menghubungi pejabat PTS di nombor 03-6188 0316.

4 comments:

  1. Salam,
    Saya suka membaca dan simpan koleksi buku. Ada masanya, beberapa tajuk buku saya terdiri dari tajuk yang sama kerana tersalah beli. Ingatkan belum ada dalam koleksi, rupanya dah ada.

    Jenis buku tu: ilmiah dalam bidang sains sosial. Namun ianya bukan buku yang terkini. Sekiranya pihak perpustakaan sudi menerima buku-buku tersebut, saya berbesar hati untuk memberi tetapi kiranya hanya disimpan dalam stor sahaja kerana kononnya "buku bukan terkini", saya lebih suka menyimpannya di rak buku saya berbanding stor.

    ReplyDelete
  2. Thanks Niza for alerting me about this wakaf buku program...exactly what i have been looking for...just made a purchase to be 'wakafed' for RS Kelantan.

    ReplyDelete
  3. Wkslm anyss.
    Kami berbesar hati untuk menerimanya asalkan usianya tidak lebih dari 10 tahun cetakan.
    Nanti anyss boleh berhubung dengan kakchik ya.

    ReplyDelete
  4. You are welcome kak an. Alhamdulillah. I hope more people will be interested in doing this wakaf program. It's good for our life on this world and after death.

    ReplyDelete

Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.