Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung.
Sumber: Mama Homeschool |
Alhamdulillah, setelah tiga tahun perpustakaan ini agak sepi dari sebarang aktiviti untuk kanak-kanak, pada tahun 2011 ini kami kembali menganjurkan sesi Read Aloud & Storytelling pada setiap pagi Sabtu minggu kedua dan keempat setiap bulan.
Kami mengambil tempoh yang agak lama untuk mengadakan semula aktiviti ini kerana tenaga utama di belakang program ini menyambung pelajaran sepanjang masa tersebut dan tidak ada pengganti yang boleh mengendalikan aktiviti Read Aloud & Storytelling ini.
Para peserta dan ibu bapa masing-masing. |
Oleh kerana program baharu dimulakan maka promosi masih agak perlahan dan tidak meluas. Insyaallah untuk sesi-sesi seterusnya kami akan mengadakan promosi yang lebih luas agar penyertaan akan bertambah. Apapun, pihak kami amat bersyukur kerana program yang berjalan pada pagi tadi berlangsung dengan lancar. Alhamdulillah.
Pn. Nor Haniza sedang memperkenalkan buku yang akan dibacakan. |
Sebagai Reader, Pn. Nor Haniza telah membacakan sebuah buku cerita bergambar bertajuk Faisal and Friends & the Litter yang ditulis oleh Anne Acchelshall. Buku tersebut berkisar tentang seekor katak bernama Faisal serta kawan-kawannya Saleem seekor belalang dan Leila seekor rama-rama yang bermain dengan sampah-sarap.
Apabila kawan-kawannya ditimpa musibah barulah Faisal berusaha mendapatkan bantuan menyelamatkan mereka. Hasil dari pengalaman tersebut mereka telah mendapat pengajaran yang mendalam. Akhirnya Faisal dan kawan-kawan berusaha memastikan persekitaran mereka bersih dari sampah-sarap.
Kelihatannya tindak balas dari para peserta amat baik berdasarkan kaedah interaksi dua hala yang digunakan semasa sesi bercerita berjalan. Alhamdulillah. Insyaallah untuk sesi yang akan datang, buku yang akan dibaca mungkin akan dipilih dari jenis yang pendek ceritanya agar sedikit aktiviti susulan dapat dilaksanakan selepas bercerita.
Sebuah keluarga yang hadir. |
Kami mempunyai harapan besar yang program ini akan berjaya dengan sambutan para ibu bapa. Nampaknya mereka juga ada pengalaman dalam menjalankan aktiviti sebegini di rumah. Insyaallah sebelum tahun ini berakhir, program Read Aloud & Storytelling akan mempunyai lebih ramai Reader sukarela yang akan sama-sama menghidupkan aktiviti bersama kanak-kanak di perpustakaan ini.
Allahua'lam.
Laporan oleh: Pn. Nor Haniza Hj. Taib, Setiausaha
No comments:
Post a Comment
Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.