Peminat Perpustakaan

Thursday, October 8, 2009

Ribut kencang dan hujan lebat




Bermula jam 4 petang, cuaca mula berubah menjadi gelap dengan angin mula bertiup kencang. Kami sudah jangka sebelah petang hujan akan turun dengan lebat tapi yang kami tidak jangkakan ialah ribut yang begitu kuat disertai kilat dan guruh.

Tiba-tiba bekalan elektrik pula terputus. Kemungkinan salah satu tiang elektrik telah pun rebah dipukul ribut.

Kami agak bimbang untuk meninggalkan perpustakaan tambahan dalam keadaan sebelah dari pintu utama masih lagi belum berganti. Sekarang ini dihadang oleh lapisan plywood untuk sementara.

Masih ada ramai pengunjung yang tidak sempat pulang sebelum hujan turun. Terpaksalah bergelap bersama kami di ruangan bawah. Kami nak benarkan mereka balik pun tidak berani kerana cuaca terlalu buruk, merbahaya.

Wednesday, October 7, 2009

Lawatan oleh Tadika Islam Progresif

Assalamualaikum wbt.

Setelah agak lama blog ini tidak dikemaskini, hari ini saya kemaskinikan dengan sedikit laporan bergambar mengenai lawatan yang kami terima pagi tadi.

Zahra' memang sudah biasa menerima lawatan khas dari pelbagai institusi pendidikan termasuklah dari beberapa buah taman didikan kanak-kanak (Tadika). Pagi tadi murid-murid dari Tadika Islam Progresif telah berkunjung ke perpustakaan kami bersama guru mereka.

Lawatan mereka kami sambut dengan senang hati dan saya sebagai tuan rumah telah memberi sedikit taklimat penggunaan perpustakaan kepada anak-anak tersebut. Kemudiannya mereka dibawa melawat ke beberapa bahagian utama di dalam Zahra' dan diakhiri dengan satu sesi bercerita bersama saya.

Alhamdulillah kelihatannya anak-anak tersebut amat gembira berkunjung ke Zahra' kerana inilah kali pertama mereka mengenali perpustakaan. Kami doakan agar anak-anak tersebut terus membesar sebagai seorang anak yang gemar ke perpustakaan atau mana-mana pusat ilmu yang ada.

Oleh kerana kami semua ada tugasan masing-masing kami terlupa untuk merakam kenangan semasa lawatan dan sesi bercerita hinggalah rombongan ini mahu pulang. Oleh kerana itu, hanya gambar-gambar semasa mereka bersiap untuk bertolak pulang sahaja yang berjaya dirakam sebagai kenangan.

Sebagai saguhati, Pn. Adila telah menyediakan bungkusan minuman dan makanan ringan untuk mengalas perut anak-anak yang keletihan selepas melawat Zahra'.

Beginilah keadaan mereka di hadapan pintu utama perpustakaan sebelum bertolak pulang.

Kami ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Tadika Islam Progresif atas usaha murni memperkenalkan perpustakaan kami kepada pelajar mereka. Insyaallah anak-anak tersebut akan bertambah nahu mereka dengan satu perkataan baru yang sangat bermakna iaitu PERPUSTAKAAN.

Semoga mereka sudi datang lagi selepas ini. Terima kasih.

Wednesday, September 30, 2009

Terkejut Besar

Assalamualaikum dan salam Syawal kepada semua yang berkunjung ke sini.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana selepas bercuti seminggu sempena Hari Raya Aidil Fitri tempohari, kami telah kembali semula menyambung tugas memikul amanah di Zahra' ini.


Pecah berderai

Operasi perpustakaan pun kembali berjalan seperti biasa dan pengunjung pun dari hari pertama dibuka semula hingga ke hari ini semakin ramai. Mungkin juga kerana musim peperiksaan semakin hampir maka ramai golongan pelajar yang singgah untuk mengulangkaji.

Kelihatannya tiada perkara yang lain dari yang lain berlaku di sini hinggalah petang semalam.

Sudah takdir Allah, peristiwa yang tidak sesiapa sangka akan berlaku telah terjadi dan ianya agak membimbangkan kami semua.


Kalau dilihat betul-betul baru nampak yang mana tiada.
kaca menimpa kasut-kasut pengunjung.

Lebih kurang jam empat petang semalam, salah satu daun pintu kaca telah jatuh dan pecah berderai. Tidak boleh diselamatkan lagi.

Penyebabnya, ada beberapa kemungkinan tapi biarlah apa pun sebabnya yang pasti daun pintu itu perlu diganti dengan yang baru.

Bukan mudah ataupun cepat untuk menggantikan sekeping daun pintu yang diperbuat dari kaca khas. Terpaksa ditempah dari Kuala Lumpur.


Saling membantu membersihkan kaca yang pecah.

Penyelesaian sementara ialah kami akan menutup bahagian kiri pintu utama dengan plywood sehinggalah pintu yang baharu siap pada minggu hadapan.

Apa yang lebih penting ialah tiada sebarang kemalangan besar ke atas sesiapa pun berlaku. Syukur.

Allahu'alam.