Setiap kali hendak menulis dalam blog ini memang saya perlu berfikir panjang. Bukan apa, bukan mudah untuk menjadikan apa yang bermain-main di minda ke dalam bentuk tulisan yang seronok dibaca bukan hanya diri sendiri malah mungkin orang yang berkunjung ke sini.
Baiklah, saya tuliskan saja mengikut apa yang terlintas di fikiran ketika ini. Perpustakaan kami, Dar Nur al-Zahra' ini sebenarnya sudah biasa menerima pelajar-pelajar universiti dan kolej untuk menjalani latihan praktikal mereka. Semasa saya di universiti dulu, latihan saya dipanggil latihan industri yang memakan masa 6 bulan ataupun separuh semester. Tapi hari ini, pelajar universiti/kolej hanya menjalani latihan yang hampir serupa selama dua bulan sahaja. Saya tidak pasti pula sama ada mereka akan menjalani latihan praktikal yang lain selepas ini.
Hampir setiap tahun ada saja pelajar yang ingin menjalani latihan praktikal mereka di sini. Begitu juga tahun ini. Kami menerima 9 permohonan dari para pelajar yang sedang belajar di tiga buah universiti iaitu dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sains Malaysia dan dari Universiti Teknologi Malaysia (UiTM). Permohonan paling banyak adalah dari USIM. Kami sebenarnya bersetuju untuk menerima empat orang pelatih tapi akhirnya hanya dua orang yang datang iaitu Siti dan Ayuni dari USIM.
Kedatangan dua pelatih ini sedikit sebanyak telah membantu pihak kami di dalam urusan pengkatalogan buku dan perkhidmatan pelanggan di kaunter. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dan berterima kasih kerana sepanjang dua bulan mereka di sini, mereka telah menyelesaikan tugas mengkatalog kitab-kitab berbahasa Arab yang telah tertangguh beberapa bulan kerana perletakan jawatan pegawai perpustakaan bahagian tersebut. Mereka juga telah menjadi sebahagian dari kami yang bekerja untuk memajukan Dar Nur al-Zahra'. Terima kasih. Syukran.
Hari ini merupakan hari kedua terakhir bagi mereka berdua di perpustakaan kami. Sebagai tanda terima kasih kami kepada mereka, saya bagi pihak Datuk Pengerusi dan Dato' Pengarah bercadang membawa mereka makan tengah hari di Restoran Hayaki atau Four Seasons. (Kakitangan yang lain juga dijemput bersama).
Kepada USIM kami ucapkan terima kasih kerana menghantar wakil untuk melihat perkembangan pelatih-pelatih mereka. Sebagai tuan rumah, kami amat menghargai kerjasama dari pihak universiti/kolej untuk memantau pelajar mereka.
Kami mendoakan agar pengalaman dan latihan yang mereka perolehi di sini akan membantu mereka di masa hadapan kelak. Walaupun pengalaman menjalani latihan di perpustakaan kami mungkin jauh berbeza dengan tempat lain kerana kelainan sistem pengurusan dan perkhidmatan di Dar Nur al-Zahra', kami berharap mereka mendapat serba sedikit gambaran alam pekerjaan di bidang perpustakaan dan pengurusan maklumat. Selain itu, pendedahan kepada pelbagai buku dan kitab yang bagus dan menarik diharapkan akan menjadikan Siti dan Ayuni pelajar-pelajar yang sentiasa mencintai ilmu.
Terima kasih adik-adik kerana membantu kami sepanjang menjalani latihan di sini. Jangan serik untuk berkunjung ke sini lagi walaupun bukan sebagai pelatih tetapi datanglah sebagai kenalan dan rakan kami.
Di kesempatan ini juga, saya mewakili seluruh kakitangan Dar Nur al-Zahra' ingin memohon berbanyak-banyak maaf sekiranya sepanjang adik-adik di sini ada berlaku terkasar bahasa, terkurang bantuan di sana sini atau layanan yang tidak memuaskan hati. Kami berharap segala apa yang diperolehi, dilalui, dialami, dikenali mahupun dirasai sepanjang adik-adik di sini akan kekal di sudut hati adik-adik. Mana yang baik dibuat panduan, yang buruk dijadikan sempadan. Itulah kami di Dar Nur al-Zahra' ini.
Dari:
Kak Chik, Kak Mar, Kak Dila, Pokcik Mat, Pokcik Aziz dan Mokcik.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.