Peminat Perpustakaan

Tuesday, July 22, 2008

Kempen Membaca dan Pesta Buku Kelantan

Kempen Membaca 2008

Entah berapa kali sejak awal bulan ini saya melayari internet untuk mencari bahan berkenaan Kempen Membaca 2008 tapi sehingga ke saat saya menaip inipun masih tiada maklumat yang jelas tentang perkara ini.

Saya mencari kata kunci berikut,

kempen membaca (2008), bulan membaca (2008), reading month in Malaysia, galakan membaca

dan sebagainya yang mempunyai perkataan 'membaca' di dalamnya. Semuanya menghampakan.

Apa sebenarnya telah berlaku kepada usaha murni ini? Adakah tahun ini sudah diadakan lagi sambutan ini? Saya cuba ke laman Perpustakaan Negara Malaysia, tapi, itulah, tidak ada pun sebarang berita atau artikel.

Yang saya jumpa ialah laman ini dari Wikipedia, Dilema Budaya Membaca Masyarakat Malaysia. Cuba klik untuk lihat apa yang ditulis. Berikut ialah sedikit sedutan yang saya ambil dari laman tersebut.

"Isu tabiat membaca di kalangan masyarakat Malaysia sentiasa hangat. Laporan Tabiat Membaca yang dibuat oleh UNESCO untuk sesi cerapan 1999 menunjukkan rakyat Malaysia membaca dua buah buku setahun; berbanding hanya dua muka surat dalam laporannya untuk sesi cerapan 1996. Walaupun terdapat peningkatan minat membaca yang agak tinggi, nilai ini masih rendah berbanding negara-negara maju. Pihak kerajaan amat bimbang akan situasi ini dan sememangnya kebimbangan ini relevan kerana hanya dengan masyarakat yang berilmu sahaja, negara dapat maju dan gemilang. atas dasar itu, beberapa tindakan yang positif dan konkrit perlu dilaksanakan segera untuk membendung fenomena tidak sihat ini."

Menarik sangat untuk kita hayati apa yang ditulis di dalam laman Wikipedia itu. Adakah perkara ini dipandang penting oleh setiap kita yang boleh membaca ini? Entah mengapa, masyarakat kita terutama orang Melayu amat lemah minat membacanya. Saya tidak melihat di tempat lain, tetapi di perpustakaan ini sendiri. Saya gembira kerana kami sudah mempunyai ramai pengunjung tetap yang datang terutamanya untuk membaca akhbar dan buku-buku terbaru. Akan tetapi, jumlah paling ramai ialah pelajar sekolah menengah yang secara jujurnya hanya datang apabila musim peperiksaan sudah dekat seperti sekarang ini.

Buku yang mereka baca boleh dikatakan hanyalah fokus kepada buku-buku teks dan rujukan peperiksaan (almaklum peperiksaan sudah dekat). Amat jarang saya nampak remaja sekolah datang untuk membaca buku-buku lain yang agak banyak pilihannya. Banyak buku yang menarik dan sesuai untuk mereka di sini, tapi mereka mungkin tidak berminat.

Saya sedang memikirkan cara-cara yang mungkin akan menarik minat mereka untuk gemarkan buku. Anda ada cadangan? Silalah bantu kami jika ada sebarang cadangan yang sesuai.

Pesta Buku Kelantan (PBK)

(Pesta Buku Antarabangsa KL 2008)


Sedih sekali, tahun ini saya tidak berkesempatan untuk berkunjung ke Pesta Buku Kelantan yang diadakan di Balai Islam Lundang selama 6 hari iaitu dari 14 hingga 20 Julai (telah pun selesai dua hari lepas). Oleh kerana tarikh tersebut bertembung dengan tarikh peperiksaan Sem Mei saya di OUM maka saya langsung tidak ambil pusing akan hal-hal lain. Dalam hati memang terasa sangat hendak ke PBK tetapi masa cukup mencemburui saya. Terkilan sungguh!

Sebenarnya setiap tahun saya mesti ke PBK sama ada menjadi peserta atau pun membeli buku. Saya pun tidak tahu bagaimana sambutan masyarakat Kelantan terhadap PBK tahun ini. Mungkin kurang sambutannya kerana orang ramai mula nak berjimat akibat kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Entahlah...

3 comments:

  1. Saya bersetuju dengan bahawa amat sukar untuk menggalakkan masyarakat mengunjungi perpustakaan seperti mereka menggunjungi pasaraya. Perkara ini berlaku bagi perpustakaan di institusi pendidikan tinggi apatah lagi bagi perpustakaan awam. Saya amat bersetuju dengan pendapat mengatakan akhbar mesti memainkan peranan. Sediakan satu segmen dalamnya khusus untuk mempamirkan aktiviti membaca ini!

    ReplyDelete
  2. En./Cik Anon,

    Terima kasih di atas pandangan tuan/puan. Memang agak panjang perjalanan kita untuk mengajak masyarakat ke perpustakaan dan pihak akhbar jarang yang memberi tumpuan kepada aktiviti yang tidak menguntungkan mereka. Untuk menyediakan satu segmen itu kami pun tiada kemampuan untuk membeli ruang di dalam akhbar yang harganya beratus hingga beribu ringgit.

    ReplyDelete
  3. Saya juga amat sedih melihat anak bangsa kita yang kurang berminat untuk mengunjungi perpustakaan berbanding dengan pusat beli-belah. Senario ini jelas, apabila saya mengunjungi perpustakaan awam, bilangannya amat sedikit. Walau bagaimanapun, melalui Kempen Membaca diharap masyarakat kita menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya. Oleh itu, peranan pihak media massa amat diharapkan dengan memaparkan lebih banyak dan kerap artikel yang berkualiti untuk tatapan pembaca.

    ReplyDelete

Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.