Peminat Perpustakaan

Monday, April 13, 2009

Sedang dibaca

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini sekadar berkongsi buku yang sedang saya baca yang terdapat di dalam perpustakaan kami. Bukunya adalah seperti yang ada di dalam gambar di sebelah.

Sudah lama saya mengambil masa untuk mula membaca buku ini tapi baru minggu ini saya berpeluang memulakannya. Walaupun hampir setiap hari saya bekerja bersama pelbagai jenis buku yang menarik, namun bukanlah mudah untuk duduk sejenak untuk membacanya. Kalau di awal saya bekerja dulu saya punya agak banyak masa untuk berbuat demikian tapi kini sangat berbeza. Mungkin kerana ketika itu belum ramai kakitangan dan pengunjung yang datang ke Zahra' ini dan kerja pun masih belum bertimbun. Tapi hari ini dalam kesibukan, saya tetap berusaha untuk membaca mana-mana buku yang bagus yang ada di dalam Zahra'.

Saya tidak pandai menulis ulasan buku dan akan terkial-kial untuk menyudahkan satu ulasan yang saya rasa boleh dibenarkan orang lain membacanya. Oleh sebab itulah saya jarang melakukannya.

Berdasarkan apa yang saya baca sepintas lalu, buku Ibn Qayyim ini memfokuskan kepada perkara DOSA yang memang amat mudah dilakukan oleh manusia. menurut beliau, DOSA ini memiliki daya tarikan yang tersendiri bagi manusia. Sesiapa sahaja boleh melakukannya sama ada secara sedar atau tidak. Sesetengah orang menganggap DOSA ini satu permainan yang sungguh mengasyikkan ataupun ibarat makanan yang sungguh lazat bagi orang yang kelaparan atau air segar bagi mereka yang sedang kedahagaan. Kita sering alpa yang DOSA itu apabila semakin banyak dilakukan akan bertimbun menjadi tabir yang menghalang kita dari melihat kebenaran yang terpampang di hadapan kita.

Ibn Qayyim mengatakan setiap kali satu DOSA dilakukan ibarat satu tompok hitam di atas hamparan hati manusia. Semakin banyak DOSA semakin bertambah tompokan hitam tersebut. Maka hati pun menjadi semakin kelam kerana banyaknya tompokan hitam itu.

DOSA yang manusia lakukan, tidak terhingga banyaknya, berbagai ragam dan berbagai jenis sehingga nyaris mengotori langit Allah. Beliau ibaratkan DOSA itu sebagai penyakit yang boleh mematikan yang merebak ke seluruh pelusuk bumi. Kalau bukan kerana rahmat-Nya sudah tentu tidak akan bersisa satu apa pun benda di atas dunia ini kerana dihukum Allah atas dosa manusia.

Lau adakah ubat penawar dan terapinya? Yang pasti, allah tidak menurunkan penyakit, melainkan juga menurunkan ubat penawarnya.

Ketika seseorang melakukan dosa, kederhakaan atau maksiat, apa kira-kira yang melintas di dalam sanubarinya? Adakah perasaan senang dan gembira kerana dapat menikmati keseronokan? Atau adakah seronok melakukan DOSA itu hingga lupa bahawa kita sedang melawan Zat Yang Maha Segalanya?

Makin seronok rasanya membaca buku ini. Tapi entah bila dapat dihabiskan bacaannya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.