Peminat Perpustakaan

Monday, November 8, 2010

Akhbar: Perpustakaan, Pusat Sumber Perlu Kreatif Tarik Minat Membaca Golongan Mud

Perpustakaan, Pusat Sumber Perlu Kreatif Tarik Minat Membaca Golongan Muda

Oleh AU YEONG HOW

KUALA LUMPUR: Perpustakaan dan pusat sumber di negara ini perlu kreatif serta fleksibel bagi menarik minat membaca di kalangan generasi muda.

John Hickok dari Perpustakaan Pollack, Universiti California, Amerika Syarikat berkata, ini kerana selera pembaca telah berubah dan perpustakaan tidak lagi berfungsi sebagai pusat himpunan buku-buku, majalah dan surat khabar semata-mata. Beliau yang juga Pustakawan berkata, pusat sumber harus tahu minat pembaca di samping memainkan kepelbagaian fungsi sebagai pusat siber, pusat pembelajaran dan maklumat yang menyeronokkan. "Adakah kita mahu lihat perpustakaan terus jadi 'dinasour' kerana pelajar ingat perpustakaan ketinggalan zaman atau muzium buku? "Atau kita boleh mempelbagaikan fungsinya sebagai pusat siber, pusat pembelajaran dan maklumat yang menyeronokkan. Ia harus menggabungkan penggunaan multimedia, video dan permainan untuk memenuhi citarasa golongan pembaca muda sekali gus menarik kunjungan mereka ke perpustakaan," katanya. Beliau berkata demikian dalam ceramahnya bertajuk, "US And International Networking: Opportunities for Malaysian Libraries" di sini, Isnin.

Turut menyampaikan ceramah ialah Pengarah, Lincoln Resource Centre, Gerard George. Memberikan contoh tentang minat generasi terhadap bahan bacaan berbentuk komik di Singapura, Hickok berkata, republik tersebut melancarkan program literasi buku komik untuk menarik perhatian golongan muda. Katanya, golongan remaja dan kanak-kanak dalam lingkungan umur 10 dan 14 tahun yang menggemari komik, anime dan mangga mula kembali berkunjung ke perpustakaan kerana bahan bacaan kegemaran mereka disediakan. Ekoran itu, kata beliau, bilangan pengunjung ke perpustakaan meningkat secara drastik dan begitu juga dengan kadar literasi penduduk negara tersebut. Dalam pada itu, Hickok berpendapat, perpustakaan terutamanya di sekolah negara ini harus memanfaatkan akses Internet yang lebih luas berbanding negara-negara jiran serantau. "Jika anda mempunyai teknologi sebegini dan tidak menggunakan Internet untuk mencapai sumber dalam talian di mana sahaja, maka ia adalah suatu pembaziran. Anda perlu merebut peluang tersebut," jelasnya. Sementara itu, beliau tertarik dengan perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor kerana pusat sumber dilengkapi dengan permainan dan mainan teka-teki. "Pelajar datang, belajar dan bersantai di perpustakaan. Ia menarik. Saya sukakannya," katanya.

Berita dari mStar Online

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.