Pertama sekali kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Sdr. Tarmizi iaitu wartawan Utusan Malaysia yang telah sudi menulis rencana mengenai Perpustakaan kami. Terima kasih juga kepada akhbar Utusan Malaysia yang telah memuatkan rencana tersebut yang seluas 3/4 mukasurat.
Saya tadi terkejut apabila diberitahu rencana mengenai Dar Nur al-Zahra' sudah pun keluar dalam UM hari ini. Sebenarnya saya pernah meminta wartawan UM tersebut agar memaklumkan kami tarikh penerbitannya, tapi mungkin dia terlupa dalam kesibukannya sebagai wartawan.
Hampir keseluruhan tulisannya berdasarkan temuramah dengan saya pada minggu lepas dan juga maklumat yang ditampalkan di dalam papan kenyataan perpustakaan. Oleh kerana maklumat tersebut adalah maklumat 2 tahun lepas, maka ada beberapa fakta yang telah tersilap di dalam rencana tersebut. Diharap Sdr. Tarmizi dapat memperbetulkannya.
Antara kesilapannya:
1. Koleksi kami telah melebihi 17 ribu tajuk bukan 13 ribu.
2. Saya pernah berjumpa dengan Pengerusi kami cuma tidak pernah menghubungi beliau secara peribadi kerana kami tiada nombor telefon beliau.
3. Saya mula bekerja di sini pada 4 April 2000 bukan pada tahun 2001 seperti yang ditulis. (mungkin typo error)
4. Sebelum ini pun kami tidak membenarkan pinjaman kecuali atas permohonan tertentu. Walaupun perpustakaan ini perpustakaan wakaf, ramai pengguna yang tidak faham, ada yang mencuri buku-buku kami dan ada juga mengembalikannya dalam keadaan rosak. (perenggan akhir)
Itulah antara kesilapannya. Semoga Sdr. Tarmizi dan UM (kalau membaca blog ini, sudi memperbetulkannya).
Sekali lagi saya mewakili seluruh warga kerja DNaZ mengucapkan terima kasih kerana sudi menyiarkan rencana tersebut di ruangan Timur UM. Bantuan dalam bentuk ini amat-amat kami harapkan demi kecemerlangan Dar Nur al-Zahra' di masa hadapan.
Berita penuh dari Utusan Online adalah seperti di bawah.
Rencana kedua:DNaZ perpustakaan wakaf
KOTA BHARU 19 Sept. - Iqra' (Bacalah), kalimah suci yang pertama diwahyukan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W semasa baginda bermunajat di Gua Hira' pada malam 17 Ramadan lebih 1,000 tahun dulu.
Signifikan daripada Iqra' itulah yang mengeluarkan umat Islam daripada kegelapan menuju kepada kecemerlangan penguasaan ilmu pengetahuan dan menjadi pencetus pada ketinggian dan kemasyhuran tamadun dunia.
Mengambil semangat dan roh daripada kesucian kalimah itulah yang mencetus kepada penubuhan perpustakaan awam Islam Dar Nur al-Zahra (DNaZ).
Ia adalah perpustakaan masyarakat milik persendirian tunggal yang diwakafkan kepada orang ramai di negeri ini.
DNaZ mula beroperasi pada tahun 1999 secara persendirian di sebuah banglo empat bilik dengan koleksi buku melebihi 5,000 naskah daripada pelbagai bidang ilmu Islam, Sastera, Pendidikan, Sains dan Perubatan Islam.
Atas semangat untuk menjadikan DNaZ sebagai pusat hentian komuniti setempat, maka pada tahun 2000, pewakaf telah membina sebuah bangunan baru empat tingkat seluas 17,819 meter persegi dengan kos kira-kira RM2 juta bagi memuatkan lebih banyak buku-buku daripada ramai penderma dan pewakaf.
Sehingga kini setelah beroperasi secara rasmi selama lapan tahun, DNaZ telah mempunyai koleksi buku hampir 30,000 naskah yang melebihi 13,000 tajuk dalam tiga bahasa iaitu Arab, Inggeris dan Melayu.
Malah sesetengah daripadanya merupakan koleksi peribadi terhad yang boleh diperoleh di perpustakaan ini sahaja, antaranya buku karya penyair dan penulis prolifik terkenal kelahiran Kelantan tetapi mencipta nama di Sabah, Allahyarham Abdul Rahim Abdullah dengan nama penanya K. Bali.
DNaZ dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 27 September 2001 dan bermula sejak itu ia terus dibuka kepada orang ramai secara percuma tanpa dikenakan sebarang yuran keahlian.
Terletak di Lot 5529, Lorong Merican Off Jalan Telipot, Kota Bharu berhampiran dengan Pasar Raya Billion dan Hotel Renaissance, perpustakaan itu dibuka setiap hari kecuali Khamis dan Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dan sepanjang Ramadan ia beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.
Perpustakaan di bangunan empat tingkat itu didaftarkan di bawah Yayasan Kubra iaitu sebuah yayasan berdaftar yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan memperoleh pelepasan cukai.
Menyentuh sejarah penubuhan DNaZ, ia diilhamkan oleh pemilik asalnya, Datuk Rameli Musa, seorang tokoh korporat bersama isterinya, Allahyarham Noorley Noor. Rameli kini turut bertindak sebagai Pengerusi perpustakaan itu.
Setiausaha dan Pustakawan DNaZ, Nor Haniza Taib berkata, perpustakaan itu didedikasikan sebagai platform terbaik untuk berkomuniti dengan penyediaan sebuah tempat yang mempunyai bahan rujukan terbaik dan berkualiti untuk pelajar yang tidak berkemampuan.
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa tidak mengetahui secara tepat dan lengkap mengenai permulaan sebenar DNaZ itu kerana kebanyakan fail-fail mengenainya sebelum ini telah rosak akibat sistem perkomputeran perpustakaan itu diserang virus.
Tambahan pula katanya yang mula berkhidmat di di situ pada tahun 2001, pewakaf perpustakaan itu juga tidak suka menonjolkan diri dan cerita berkenaan hanya diperoleh secara lisan daripada beberapa kakitangan asal perpustakaan tersebut.
"Saya sendiri tidak pernah berjumpa dan menghubunginya secara peribadi, malah nombor telefonnya juga saya tiada," katanya yang mengagumi pengorbanan murni pasangan itu.
Rameli merupakan Naib Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Eksekutif bukan bebas di Syarikat Ingress Corporation Berhad yang beribu pejabat di Ampang, Selangor.
DNaZ diuruskan sepenuhnya secara perkhidmatan komuniti dalam bentuk wakaf dan derma orang ramai dengan diuruskan oleh enam kakitangan sepenuh masa tanpa sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri atau pusat mahupun agensi-agensi kerajaan lain.
Seorang daripadanya dibayar gaji melalui dana perpustakaan itu manakala baki lima lagi dibayar oleh beberapa buah syarikat korporat yang bermurah hati membantu DNaZ meneruskan hayatnya di bumi Kelantan ini.
Tambah Nor Haniza Taib, sejajar dengan konsep wakaf maka perpustakaan tersebut mempunyai polisi tetap iaitu semua koleksi tidak boleh dipinjam kecuali dengan permohonan tertentu.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebagai alternatif pihaknya menyediakan perkhidmatan menyalin bahan rujukan yang diperlukan oleh pengunjung.
"Ini kerana kami ingin menjaga buku-buku wakaf yang kebanyakannya merupakan koleksi terhad dan juga untuk menggalakkan orang ramai supaya gemar berkunjung ke perpustakaan ini.
"Sebelum ini memang kami benarkan urusan pinjaman tetapi malangnya apabila terdapat segelintir yang mengambil kesempatan dengan tidak memulangkan buku, ada yang kembalikan tetapi dalam keadaan amat menyedihkan, sama ada ia rosak teruk atau muka suratnya telah dikoyak," katanya.
Pengunjung meningkat, derma buku diperlukan
KOTA BHARU 19 Sept. - Secara umumnya perpustakaan awam Islam Dar Nur al-Zahra (DNaZ) sejak dibuka secara rasmi pada tahun 2000 sehingga kini, telah menerima kehadiran lebih setengah juta orang yang merupakan satu pencapaian membanggakan bagi sebuah perpustakaan wakaf.
Sebenarnya jika dikira secara terperinci, kebarangkalian jumlah kehadiran pengunjungnya adalah berkali ganda kerana dalam sehari secara purata ia dikunjungi kira-kira 200 pengunjung berdasarkan pada pendaftaran buku kehadiran.
Setiausaha dan Pustakawan DNaZ, Nor Haniza Taib berkata, kebanyakan pengunjung yang menulis nama adalah pengunjung baru manakala bagi pengunjung setia, mereka kebanyakannya tidak lagi menulis nama sebaliknya terus menuju ke bahagian sudut bacaan atau terus memilih buku rujukan.
Beliau berkata, pola kehadiran pengunjung DNaZ ialah pada sebelah pagi sehingga waktu tengah hari dan kebiasaannya ia dikunjungi oleh orang dewasa termasuk pesara kerajaan serta pelajar universiti dan kolej.
Katanya, pada waktu tengah hari sehingga ke petang pula DNaZ akan menerima kunjungan pelajar sekolah rendah dan menengah, jumlah mereka lazimnya akan bertambah tatkala tibanya musim peperiksaan apabila mereka memilih perpustakaan sebagai tempat untuk perbincangan dan mengulang kaji pelajaran.
"Bagi kami angka kehadiran tidak penting tetapi yang paling utama ialah manfaat yang diperoleh oleh pengunjung melalui perkhidmatan yang disediakan," katanya.
Sehubungan itu katanya, DNaZ amat mengharapkan pelbagai bantuan daripada orang ramai termasuk sumbangan buku-buku dan kewangan bagi memantapkan perpustakaan dan seterusnya meneruskan survivalnya berkhidmat dengan penuh ikhlas kepada orang ramai.
Katanya, sumbangan buku yang amat diperlukan pada masa ini ialah buku rujukan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), buku kanak-kanak dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.
Antara kategori buku lain yang diperlukan ialah buku motivasi, perniagaan dan pengurusan, pendidikan, ilmu-ilmu agama sama ada dalam Bahasa Melayu atau Arab dan novel remaja Islam.
"Memandangkan sambutan pengunjung ke DNaZ adalah amat menggalakkan, sudah tentu buku yang sedia ada tidak dapat memenuhi kehendak pengunjung yang ramai. Kami pula kekurangan sokongan kewangan untuk sentiasa membeli buku-buku baru.
"Apa yang kami mampu ialah membeli buku baru dengan perbelanjaan di antara RM100 dan RM200 sebulan. Wang belanja ini datangnya dari Tabung Derma DNaZ yang diletakkan di kaunter informasi perpustakaan," katanya.
Tambah Nor Haniza, beliau berharap orang ramai dapat menderma kepada DNaZ dan amalan itu akan menjadi amal jariah kerana perpustakaan itu merupakan sebuah perpustakaan wakaf.
"Tidak rugi bersedekah buku kerana pahalanya akan berkekalan selama mana buku tersebut dibaca dan dimanfaatkan oleh orang ramai, kami juga sedia menerima buku terpakai dengan syarat ia masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan," katanya.
"Sebarang sumbangan boleh diberikan terus kepada DNaZ atau menghubungi kami di talian 09-7473829 atau faksimile 09-7484975," katanya.
KakChik
Dar Nur al-Zahra'
Untuk: darnur-alzahra.blogspot.com
No comments:
Post a Comment
Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.