Peminat Perpustakaan

Tuesday, September 16, 2008

Isikan masa lapang dengan membaca al-Qur'an

Salam pagi Ramadhan untuk semua.

Sekadar tazkirah ringkas untuk diri sendiri dan juga warga Dar Nur al-Zahra' yang dikasihi fillah. Kita kini telah pun berada di hari yang ke-16 Ramadhan 1429 Hijriah yang juga bersamaan dengan 16 September 2008. Bermakna sudah 16 hari kita ummat Islam menjalani ibadah berpuasa. Puasa wajib yang diamanahkan kepada setiap ummat Islam yang mukallaf. Kita bersyukur, alhamdulillah, kerana telah berusaha melakukan yang terbaik untuk mengisi Ramadhan kita dengan lebih banyak aktiviti yang memberikan manfaat kepada ruh dan jasad kita.

Bersolat wajib di awal waktunya, ditambah pula dengan solat-solat sunat, memurahkan hati untuk bersedekah, meringankan kaki untuk ke masjid sama ada untuk berjemaah solat atau untuk berterawih, menjaga pancaindera dari perkara-perkara terlarang (dalam hal ini, masih terdapat pengunjung di kalangan adik-adik remaja yang belum berjaya mengawal nafsu dari melakukan maksiat - 'bergewe' atau berkasih dengan berselindung di sebalik 'study group', kena usaha lebih lagi dik), dan juga bertadarus, membaca al-Qur'an siang mahupun malam.

Mungkin juga kita masih gagal untuk memperbaiki diri kita dengan sebaiknya kerana ada kekurangan atau kesilapan di dalam kita membaca al-Qur'an.
"Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Qur'an dan mengajarkannya." (HR. Bukhari)
Tahukah kita apakah kelebihan membaca al-Qur'an? Atau tahukah kita betapa beruntungnya orang-orang yang belajar tentang al-Qur'an dan mengajarkannya pula kepada orang lain? Kadang-kadang kita tidak terasa pun untuk mengetahuinya. Kita sekadar membaca al-Qur'an, itupun seadanya... Yang banyak kita pentingkan ialah kerja, kerja, kerja, letih, letih, letih. Tapi kalau kita lihat di bulan inilah kita paling mudah dan ringan badan untuk melakukan amalan yang baik. Hari tu saya melihat seorang murid mengisi masanya di perpustakaan ini dengan membaca al-Qur'an sementara ibu atau bapanya datang mengambilnya pulang. Gembira saya melihat seorang kanak-kanak yang belum 12 tahun lebih pandai mengisi masa lapangnya. Berbeza pula dengan sekelompok pelajar menengah yang hanya duduk-duduk berbual kosong di sofa di Ruang Keluarga. Alangkah ruginya peluang yang ada tersebut. Masa tak akan kembali...

Saya ingin menyeru diri sendiri dan pengunjung sekalian untuk sama-sama mengemaskini pengetahuan kita tentang cara membaca al-Qur'an yang betul dan tertib, serta mengamalkan isi kandungannya dengan berkongsi dengan rakan-rakan di sekeliling kita.
"Bacalah al-Qur'an selama ia dapat mencegahmu dari perbuatan jahat, bila ia tidak dapat menahanmu dari perbuatan itu, maka belum bererti kamu membacanya." (HR. Tabrani)
Jika kita benar-benar MEMBACA al-Qur'an, insya-Allah kita akan menghindarkan diri dari perbuatan-perbuatan yang sia-sia.

Namun, sekiranya kita masih suka membuang masa dengan berborak kosong, ketawa berdekah-dekah, sengaja menyakitkan hati rakan, mencuri hakmilik orang lain, membuang sampah merata-rata, merosakkan buku dan harta benda awam, melayan nafsu bercinta (terlarang), menganggu orang lain dengan tingkah-laku tidak bersopan, membazirkan kemudahan air dan elektrik, memakai pakaian yang tertutup tetapi terbuka (seperti seluar ketat, baju singkat dan kecil, tudung singkat & jarang) dan macam-macam lagi, bermakna belum betul cara kita membaca al-Qur'an.

Membaca yang bukan sekadar membaca tetapi belajar memahami, berusaha mengamalkan kandungannya dan menghayatinya dalam kehidupan seharian kita.

Moga Allah membantu kita memahami pentingnya al-Qur'an dalam kehidupan kita di dunia ini kerana KITA PASTI akan MENGHADAP-NYA di Akhirat nanti.

KakChik
Dar Nur al-Zahra'
Untuk: darnur-alzahra.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.