Akhir-akhir ini kuantiti pengguna yang mengunjungi Zahra' sangatlah ramai sehinggakan suasana menjadi agak tidak tenang tambahan pula semakin galak di antara mereka mengambil peluang melanggar peraturan kami.
Staf Zahra' terutama Kak Mar dan Pn. Dila sudah sampai naik geram dan kekurangan tahap kesabaran dalam menangani kerenah mereka yang tidak 'faham bahasa' ini. Kami di sini bukannya suka mengambil tahu hal peribadi orang lain, tapi perbuatan sesetengah adik-adik yang muda belia ini sudah agak melampau di dalam sebuah rumah ilmu yang sepatutnya dipenuhi dengan rahmat dan berkat agar ilmu dapat masuk ke dalam dada.
Musim peperiksaan... sepatutnya adik-adik mengambil peluang untuk mengulangkaji secara sendirian ataupun berkumpulan, sambil itu beringat-ingatlah dengan peraturan yang ada. Jika sudah dinasihat, tidak boleh belajar hanya berdua lelaki dan perempuan, ikutilah... kami nasihatkan demi kebaikan adik-adik. Kasihan pengguna lain yang tidak dapat menumpukan perhatian akibat perbuatan anda yang hanya mementingkan diri sendiri. Beringatlah yang anda datang ke 'rumah' orang, di rumah ini ada tuan rumah dan ada juga tetamu lain... tidak boleh kita ikut kata nafsu kita sahaja. Selain tuan rumah ada lagi TUAN kepada tuan rumah yang sepanjang masa memerhatikan tindak-tanduk kita.
Bermula semalam, pihak Zahra' telah menguatkuasakan peraturan yang telah dikemaskini:
- Tempat belajar/membaca berasingan untuk lelaki (L) dan perempuan (P) - lelaki di tingkat 1 manakala perempuan di tingkat 2. untuk Ruang Keluarga, sudah diasingkan meja-meja L dan P. Sebenarnya peraturan ini sudah ada cuma semakin dilupakan... maaf atas kelalaian pihak kami.
- Tempat parkir motorsikal adalah di belakang Zahra' - tidak boleh lagi meletakkan motorsikal anda sesuka hati di bawah 'porch' pintu utama Zahra'. Teguran lembut kami dibalas dengan memek muka sombong dan sindiran anda. Cuba bayangkan kalau berlaku kecemasan, alangkah susahnya untuk pihak keselamatan masuk ke dalam Zahra'.
- Makanan dan minuman kecuali air mineral & gula-gula tidak dibenarkan dibawa masuk - makanlah di luar Zahra'. Kalau semut, tikus mula membiak di dalam Zahra' anda juga yang tidak selesa. Selain itu, kasihanlah kepada Mokcik yang perlu mencuci kotoran yang anda tinggalkan. Bukankah kebersihan itu sebahagian dari iman? Dan kitakan orang Islam... orang Islam seharusnya pembersih.
- Pakailah pakaian yang menutup aurat sebenar-benarnya - tidak boleh pakai baju ketat, tidak boleh pakai t-shirt kecil, tidak boleh pakai kain belah, tidak boleh pakai seluar pendek, pakailah tudung melepasi paras dada, pakailah baju yang labuh, besar & longgar, pakailah seluar panjang yang longgar, pakailah baju kurung atau mana-mana pakaian yang sederhana, tidak menjolok mata - agar penampilan anda tidak menyeksa orang lain. Kita datang untuk belajar/membaca, bukan untuk 'mencuci mata' dan membuat DOSA.
- Tolong jangan CURI buku atau apa sahaja harta Zahra' - ingatlah harta Zahra' ialah harta wakaf, untuk dikongsi manfaatnya bersama orang lain, bukan untuk dijadikan milik kita. Tidakkah anda ingin membuat pahala?
- Pelajar yang ponteng untuk datang ke Zahra' tidak dibenarkan masuk - maaf kalau menggunakan istilah ini, "kami akan halau anda keluar!" kerana anda masih di dalam waktu sekolah. Patuhilah peraturan insya-Allah hidup & masa depan kita akan lebih baik dunia mahupun akhirat.
- Tolong jaga volum suara anda - jangan ingat suara kita sahaja yang perlu orang dengar dan jangan ingat kita berada di pasar, beri kerjasama, jadikan suasana di dalam Zahra' tenang dan merangsang emosi, rohani dan minda.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.