Peminat Perpustakaan

Saturday, November 8, 2008

Menghormati buku untuk barakah ilmu.

Cuba kita tengok sejenak almari atau rak buku di rumah kita. Bagaimana kita menyusun buku di rak atau di almari? Apakah kita menyusun mengikut sesuka hati atau adakah kita mempunyai sistem atau peraturan tertentu yang memudahkan kita mengesan dan mencari buku yang disusun itu? Jika koleksi buku kita masih kecil, kita mungkin tidak menghadapi masalah, tetapi kalau koleksi buku itu semakin besar seperti yang sering terjadi kepada pencinta buku atau ulat buku, kita akan menghadapi masalah besar.

Cipta sendiri sistem menyusun buku...

Kalau kami di Zahra' menggunakan Islam Outline of Classification Scheme (IOCS) kerana banyaknya buku-buku bidang agama, mungkin anda boleh mencipta sendiri sistem yang mudah anda fahami. Di Zahra' sistem IOCS ini telah pun dupermudahkan kerana koleksi buku di sini hanya di sekitar 30 ribu tajuk dan pertambahannya agak perlahan.

Keperluan kepada sistem penyusunan buku yang piawai sebenarnya adalah satu ADAB untuk menjaga dan menghormati buku. Dalam sejarah tradisi ilmu silam, sama ada Islam, Yunani atau China, terdapat beberapa adab menghormati buku. Kesemua tradisi ini mengajar kita agar menghormati ilmuwan, orang bijak pandai, alim ulama dan secara logiknya ia juga menggambarkan akan perlunya penghormatan pada buku. Buku dihormati bukan kerana fizikalnya tetapi isi dalamannya yang mencerdaskan umat manusia. Tidak hairanlah dalam tradisi ilmu Islam, adab menjaga dan menghormati buku amat ditekankan.

Mengapa perlu menyusun buku?

Mengikut saranan Musa Al-Almawi (meninggal 1573), buku perlu disusun mengikut subjeknya dan buku yang paling penting harus ditempatkan paling atas. Susunan berikut perlu dipatuhi, pertama ialah kitab-kitab suci, buku sains fiksyen, buku sejarah, buku ilmu alam dan seterusnya. Kesemua itu adalah sumber ilmu yang perlu dihormati.

Ibn Jamaah menambahkan saranan yang lebih terperinci,
"Jika ada dua buah buku tentang subjek yang sama, maka buku yang lebih banyak mengandungi kajian Quran dan Hadis hendaklah ditempatkan di atas. Jika dalam hal ini keduanya sama, maka tingkat pentingnya pengarang yang lebih tua umurnya dan lebih dicari ilmunya di tempat lebih atas. Kalaupun dalam hal ini keduanya sama, maka buku yang lebih benar penulisannya harus diutamakan di atas."

Tambah beliau lagi,
Buku-buku berukuran besar hendaknya tidak diletakkan di atas buku-buku berukuran kecil, agar tumpukan buku tidak sering roboh. Judul buku hendaklah ditulis pada pinggir luarnya. Sebuah daftar judul bab harus ditulis di dalam sampul yang berhadapan dengan lidah jilidan. Jika tidak, maka penulisan daftar tersebut akan terbalik.

Susun buku bukan kerja remeh.

Ternyata urusan menyusun-atur buku di rak telah begitu lama disebut oleh ilmuwan kita. Urusan menyusun bukanlah urusan remeh-temeh kerana ini akan memudahkan sesiapa sahaja yang mencari sesebuah buku. Tidak perlu hairan kerana dalam tradisi Islam buku memang menjadi alat utama penyebaran ilmu pengetahuan.

Bagaimana cara menghormati buku?

Nasihat Musa Al-Almawi,
Buku tidak boleh dijadikan tempat menyimpan lembaran-lembaran kertas atau benda-benda lain yang serupa. Buku tidak boleh dijadikan bantal (rupanya al-Almawi telah menjangkakan tabiat buruk sebahagian di antara kita), dijadikan kipas, sandaran punggung atau alas berbaring, atau digunakan untuk membunuh lalat. Untuk menandakan halaman buku tidak boleh DILIPAT. Orang-orang bodoh sering melakukan hal itu (sekali lagi al-Almawi sudah menjangka kebiasaan buruk kita). Untuk penanda bacaan harus digunakan selembar kertas atau yang serupa itu, tetapi tidak boleh daripada potongan kayu atau apa pun yang dibuat daripada bahan yang keras.
Jadi, hormatilah buku sebaik-baiknya kerana barakahnya akan bersama kita si pembacanya.
Insya-Allah.

Petikan: Resipi Kejayaan untuk Pustakawan

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas sokongan anda kepada Dar Nur al-Zahra'. Jemput singgah lagi.